Prasiswazah

(PROGRAM DDS BUAT MASA INI HANYA TERBUKA UNTUK WARGANEGARA MALAYSIA SAHAJA)

Program Ijazah Doktor Pergigian telah dimulakan pada sesi 1997/98 dengan pengambilan pelajar tahun pertama seramai 24 orang yang telah mendaftar pada 22 Mei dan memulakan kursus pada 26 Mei 1997. Mulai sesi 1998/1999 pengambilan pelajar tahun satu ditambah kepada 48 orang dan pada sesi 2001/2002 kepada 96 orang. Pengambilan pelajar dikurangkan semula kepada 65 orang mulai sesi 2004/2005. Pada tahun 2009, jumlah pengambilan dikurangkan lagi kepada 55 orang pelajar. Sehingga kini, Fakulti Pergigian UKM telah mengeluarkan 12 kumpulan graduan pergigian yang berjumlah 699 orang.

Program Ijazah Doktor Pergigian menjalani proses pengiktirafan setiap lima tahun. Lawatan oleh panel dari Agensi Kelayakan Malaysia pada tahun 2012 telah memberi pengiktirafan kepada program untuk lima tahun lagi.

Program DDS UKM merupakan program lima tahun yang dibahagikan kepada dua fasa dimana para pelajar akan mempelajari elemen teori, praktikal dan klinikal. Kurikulum DDS direka mengikut prinsip pembelajaran secara hasil dan prinsip pembelajaran berdasarkan kompetensi. Kursus-kursus sains asas perubatan yang diajar oleh pensyarah di Fakulti Perubatan dan Fakulti Sains Kesihatan menekankan aspek yang berkaitan masalah penyakit pergigian dan perubatan khususnya.

Objektif Pendidikan Program DDS:

  • Berpengetahuan dan memiliki kemahiran klinikal pergigian berkualiti tinggi seiring dengan keperluan global.
  • Berkomunikasi secara berkesan dan menunjukkan kualiti kepimpinan dalam kerja berpasukan.
  • Berkebolehan menyelesaikan masalah kesihatan oral berdasarkan bukti, berfikiran kritis, beretika, berakhlak dan berkeperibadian nasional.
  • Mengaplikasikan kemahiran pengurusan maklumat dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat untuk meningkatkan tahap profesionalisme.
  • Mampu menunjukkan kemahiran keusahawanan dalam merancang program kesihatan oral untuk masyarakat.

 

Hasil Pembelajaran Program (HPP):

Hasil pembelajaran program (HPP) DDS dirumus berdasarkan kepada 8 domain iaitu:

1. Pengetahuan
2. Kemahiran Praktikal and Klinikal
3. Kemahiran Sosial, Kerja Berkumpulan dan Ketanggungjawaban
4. Nilai, Etika, Moral dan Profesionalisme
5. Kemahiran Komunikasi dan Hubungan Interpersonal
6. Kemahiran Saintifik dan Pemikiran Kritis
7. Pembangunan Profesional Berterusan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat
8. Kemahiran Pengurusan dan Keusahawanan