BAHAN & KAEDAH

 

3.1 KAJIAN TAKSONOMI

Kajian taksonomi telah dilakukan di lima buah lokasi terpilih di perairan Mersing, Johor. Sebanyak empat lokasi terletak di Pulau Aur iaitu di Teluk Berhala, Teluk Meriam, Teluk Bai dan Teluk Teluran serta satu lokasi di Pulau Pemanggil iaitu di Teluk Buau (Rajah 3.1). Kaedah yang telah dijalankan merangkumi pengumpulan spesimen, pembersihan spesimen daripada bendasing, pengawetan, pengecaman, penyediaan imej bergambar serta kaedah penyimpanan yang bersesuaian.

 

a) Pengumpulan Spesimen

Pengumpulan spesimen dilakukan pada zon litoral dan sublitoral, meliputi 50-200 m secara horizontal dari pantai ke tengah laut. Alatan SCUBA digunakan bagi mengumpul rumpai laut yang berada di kawasan yang dalam. Habitat rumpai laut yang menjadi tumpuan ialah pada kawasan berpasir, berlumpur, berbatu serta dataran batu karang.

 

Rumpai laut yang kecil dikutip bersama-sama substratumnya manakala alga marin yang besar diambil bersama-sama keseluruhan talusnya. Rumpai laut yang melekat kuat pada batu, pasir, kayu, batu karang dan cengkerang haiwan dipisahkan daripada substratnya menggunakan pisau. Maklumat-maklumat penting seperti tarikh, lokaliti, habitat, habit dan warna spesimen dicatatkan. Alga yang kecil dan mudah hancur dimasukkan ke dalam vial manakala alga besar dimasukkan ke dalam beg plastik.

 

b) Pengawetan

Spesimen yang telah dikumpul, dipisahkan daripada bendasing seperti pasir dan alga bentik lain bagi memudahkan pengecaman. Kehadiran bendasing yang tidak disingkir akan mengelirukan dan menyukarkan proses pengecaman. Bendasing ini disingkirkan secara lembut bagi mengelakkan talus rumpai laut daripada terkoyak. Rumpai laut kemudiannya dibilas menggunakan air laut. Beberapa titis larutan formalin 4% dimasukkan ke dalam bekas berisi spesimen bagi tujuan pengawetan.

c) Pengecaman

Pengecaman peringkat awal di lakukan di lapangan bagi mengenalpasti genus rumpai laut berkenaan. Pengecaman dilakukan berdasarkan keadaan morfologi spesimen seperti bentuk, saiz dan warna talus. Pengecaman selanjutnya dilakukan di makmal bagi mendapatkan nama spesies yang lengkap. Proses ini melibatkan penelitian ciri-ciri morfologi seperti percabangan talus, saiz talus, jenis pelekap dan pengapuran.

 

Kajian secara anatomi pula dilakukan secara hirisan keratan rentas bagi menentukan ciri-ciri yang tidak dapat dikesan melalui kajian morfologi. Kaedah ini dilakukan bagi mengesan ciri-ciri diagnostik spesimen tersebut. Slaid sementara disediakan bagi tujuan ini. Pengecaman spesies dilakukan berpandukan buku-buku Ahmad (1995), Trono & Ganzon-Fortes (1988), Surrey-Gent (1987), Tseng (1984), Teo & Wee (1983), Chapman (1980), Chapman (1979), Major (1977), Levring et. al (1969), Burkill et. al (1968), Dawson (1966), Pham (1966), Chapman (1964) dan Taylor (1960).

d) Penyimpanan

Spesimen yang telah diawet, disimpan dalam bentuk spesimen basah di Herbarium Fikologi UKMB untuk rujukan. Kaedah ini dapat mengekalkan bentuk talus dalam jangkamasa panjang. Namun, spesimen yang disimpan menggunakan kaedah spesimen basah akan mengalami masalah pelunturan warna akibat penggunaan formalin. Untuk melewatkan proses pelunturan, kesemua spesimen disimpan di tempat yang gelap. Kaedah spesimen kering pula dilakukan terhadap spesimen besar seperti Halymenia. Kaedah ini dilakukan dengan melekatkan rumpai laut ke atas kertas herbarium. Spesimen yang telah kering akan dilengkapi dengan label di penjuru kanan bawah kertas herbarium.

 

e) Penyediaan Imej Bergambar

Imej setiap spesimen diambil menggunakan kamera digital Olympus model C3030. Gambar ini kemudiannya disunting menggunakan perisian Camedia Master, Adobe Photoshop dan Corel Draw. Untuk mendapatkan kualiti gambar yang terbaik, pencetakan di lakukan menggunakan kertas Kodak Ink Jet Photo dan pencetak Canon Bubble Jet (Colour) model 8200.

 

3.2 KAJIAN EKOLOGI

Kajian ekologi telah dilakukan di Pusat Oseanografi Sains Samudera Universiti Putra Malaysia yang terletak di pantai Cunningham, Batu 7, Port Dickson (Rajah 3.2). Kajian ini dijalankan menggunakan kaedah transek garis dan cerapan data persekitaran.

 

Untuk kajian ini, pensampelan sebanyak dua kali telah dilakukan bagi mendapatkan data yang diperlukan. Pensampelan pertama dilakukan pada 03 September 2001 manakala pensampelan kedua dilakukan pada 30 Oktober 2001. Bulan September mewakili musim hujan manakala bulan Oktober mewakili musim panas. Kedua-dua pensampelan dilakukan di kawasan kajian yang sama. Ini bertujuan untuk melihat perbezaan komposisi rumpai laut di kawasan kajian.

 

3.2.1 Transek Garis

Kaedah transek garis dilakukan dengan meletakkan tali meter sepanjang 35 m bermula di bahagian atas pantai menganjur ke laut. Kerja-kerja pemasangan transek mula dilakukan apabila air surut kerana pada waktu ini, rumpai laut yang berada di dalam air akan terdedah kepada daratan. Air yang cetek memudahkan pengecaman serta membantu menstabilkan kedudukan kuadrat. Kaedah transek garis dilakukan bagi melihat penzonan, peratus litupan dan frekuensi relatif rumpai laut di kawasan kajian. Sebanyak tujuh buah kuadrat bersaiz 50 x 50 cm telah diletakkan di sepanjang garisan kuadrat dengan sela sebanyak 5 m. Kuadrat segi empat tepat ini diletakkan secara berselang-seli (kiri-kanan) antara satu sama lain (Rajah 3.3).

Rumpai laut yang terdapat di dalam kuadrat dicatatkan peratusan litupannya serta dikumpulkan untuk tujuan pengecaman. Peratusan litupan dikira berdasarkan bilangan petak kuadrat yang menyentuh rumpai laut tersebut. Satu kuadrat 50 x 50 cm mempunyai 25 petak kecil. Oleh itu, satu petak kecil bersamaan dengan 4%. Manakala satu kuadrat penuh diberi nilai 100%. Spesies yang didapati kurang daripada 1% diberi nilai 0.5 (Slingsby & Cook, 1986). Selain itu, lakaran kasar dan imej bergambar spesies yang berada di dalam kuadrat diambil bagi membantu analisa hasil.

3.2.2 Pengiraan

Data yang diperolehi daripada pensampelan transek garis digunakan untuk mendapatkan peratus litupan, kekerapan, frekuensi dan frekuensi relatif. Persamaan yang digunakan adalah berdasarkan Slingsby & Cook (1986). Persamaan yang digunakan adalah seperti berikut :-

1) Peratus Litupan =

Jumlah peratus dalam kuadrat x Bilangan kuadrat

 

100

 

2) Kekerapan =

Bilangan kuadrat spesies berkenaan x 100

 

Jumlah semua kuadrat

 

3) Frekuensi =

Bilangan kuadrat spesies dijumpai

 

Jumlah kuadrat

 

4) Frekuensi relatif =

Frekuensi spesies x 100

 

Jumlah frekuensi

 

 

Indeks Kesamaan Jaccards pula digunakan bagi mendapatkan peratusan persamaan spesies bagi beberapa spesies utama di antara dua kawasan berbeza. Nilai indeks yang tinggi menunjukkan kedua-dua tempat mempunyai banyak spesies yang sama.

 

5) Indeks Jaccards =

c

 

A + B - c


Dengan

A = Jumlah spesies di kawasan 1

B = Jumlah spesies di kawasan 2

c = Jumlah spesies yang sama di kedua-dua tempat

 

3.2.3 Data Sekitaran

Untuk setiap pensampelan, beberapa parameter asas seperti suhu air laut, saliniti, oksigen terlarut dan konduktiviti telah diambil. Data-data ini digunakan bagi menganalisis faktor-faktor yang mungkin mempengaruhi taburan rumpai laut di kawasan kajian.

 

a) Suhu Air Laut, Saliniti dan Konduktiviti

Meter oksigen YSI 30 model 30/25 FT telah digunakan bagi mendapatkan nilai suhu air laut, saliniti dan konduktiviti di kawasan ini. Penduga (probe) dimasukkan ke dalam air laut selama 1-2 minit, pada kedalaman 0.5-3 meter. Bacaan diambil pada tiga tahap yang berbeza iaitu pada permulaan transek garis, di tengah-tengah serta di penghujung transek. Pengiraan bagi ketiga-tiga parameter ini diambil sebanyak tiga kali pada setiap tahap.

 

b) Oksigen Terlarut

Nilai oksigen terlarut pula diambil menggunakan meter YSI 55 (model 55/25 FT). Untuk mendapatkan nilai oksigen terlarut, penduga direndam ke dalam air selama 1-2 minit pada kedalaman 0.5-3 meter. Bacaan diambil pada tiga tahap yang berbeza iaitu pada permulaan transek garis, di tengah-tengah serta di penghujung transek. Pengiraan bagi ketiga-tiga parameter ini diambil sebanyak tiga kali pada setiap tahap.

3.3 KAJIAN NUMERIKAL

Kajian numerikal telah dijalankan menggunakan sebanyak 56 spesimen rumpai laut. Spesimen ini terdiri daripada rumpai laut yang dikumpulkan daripada Teluk Buau, Teluk Bai, Teluk Teluran, Teluk Meriam dan Teluk Berhala.

 

3.3.1 Pemilihan Ciri-ciri

Pemilihan ciri-ciri pada OTU dilakukan menggunakan spesimen terbaik daripada kesemua 56 spesies rumpai laut yang telah berjaya dikumpulkan. Sebanyak 105 ciri-ciri merangkumi ciri-ciri morfologi, ekologi, fisiologi dan biokimia telah digunakan bagi menjalankan kajian numerikal ini (Jadual 3.1).

 

3.3.2 Analisis

Semua data ciri-ciri dimasukkan ke dalam program Microsoft Excel. Data ini kemudiannya dianalisis menggunakan perisian Multi-Variate Statistical Package (MVSP) bagi mendapatkan analisis kelompok. Analisis kelompok ini diwakili oleh dendrogram yang menunjukkan perkaitan antara setiap spesies yang dikaji.

Jadual 3.1 : Senarai Ciri-ciri Pada OTU

BIL.

CIRI-CIRI UTAMA

CIRI-CIRI

BIL.

1

Anak cabang

Ada, Tiada

2

2

Bentuk cabang

Jalur, Seperti pelepah, Tidak tentu, Dikotomi/trikotomi, Ringkas, Pada banyak permukaan.

6

3

Tekstur cabang utama

Bergerigi di hujung, Licin, Sedikit kasar.

3

4

Pina

Ada, Tiada.

2

5

Dasar pina

Tercerut, Tidak tercerut.

2

6

Bentuk pina/jalur di apeks

Licin, Meruncing, Mukronat, Obtus.

4

7

Kekerapan pina/jalur

Jarang-jarang, Kerap.

2

8

Pangkal pina/jalur

Lebih besar di apeks, Saiz yang sekata.

2

9

Ramulus

Ada, Tiada.

2

10

Kekerapan ramulus (tangkai yang sama)

Longgar, Padat, Sederhana padat.

3

11

Bentuk ramulus

Bak cakera, Globos, Klavat, Peltat, Sfera.

5

12

Bilangan ramulus (setiap anak cabang)

< 5 biji, 5-10 biji, > 10 biji.

3

13

Susunan ramulus

Berselang-seli, Bertentangan, Mencapah, Pinat, Searah pada satu satah.

5

14

Keadaan tangkai

Ada pengecutan, Tiada pengecutan.

2

15

Cabang asimilator

Agak Panjang, Bercabang, Mudah, Pendek.

4

16

Habitat

Di atas batu, Di atas batu karang, Kawasan berlumpur, Kawasan berpasir.

4

17

Hamparan

Longgar, Padat.

2

18

Jenis stolon

Bercabang, Berlingkar, Leper, Menjalar, Mudah, Prostrat, Teret.

7

19

Koloni

Jarang-jarang, Padat.

2

20

Ramulus sesil pada tangkai pendek

Ada, Tiada.

2

21

Rizoid di bawah stolon

Teratur, Tidak teratur.

2

22

Tangkai

Agak panjang, Bahagian hujung tidak sekata, Leper, Mudah, Pendek, Teret.

6

23

Warna keseluruhan talus

Hijau, Perang, Merah, Biru-hijau.

4

24

Warna rizoid

Hijau, Hijau cerah, Hijau gelap, Hijau kekuningan, Tanpa warna (jernih).

5

25

Pigmen

Klorofil b, Xantofil, Klorofil c, -karoten, Fukoxantin, Klorofil d, Fikosianin, Fikoeritrin, a-karoten.

9

26

Kedudukan plastid

Dalam tilakoid, Terasing.

2

27

Makanan simpanan

Kanji, Laminarin, Manitol, Floridean.

4

28

Dinding sel

Asid arginik, Xilan, Pektin.

3

29

Tumbuhan berkalsit

Berkalsit, Tidak berkalsit.

2

30

Tumbuhan bak gelatin

Bak gelatin, Tidak bak gelatin.

2

31

Pundi udara

Ada, Tiada.

2

 

JUMLAH KESELURUHAN CIRI-CIRI

105