Alumni Hebat UKM

Mohd Radzi Amin (Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan 2012) Alumni hebat UKM yang mampu menyandang 22 jawatan dalam pelbagai pertubuhan dan agensi dalam satu masa dan beliau juga masih berusaha menamatkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD). Beliau berkelulusan dalam Sarjana Sains Sosial (Analisis Strategi & Keselamatan) di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Beliau aktif menerajui pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).  

Beliau ialah  pegawai di Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa). Selain itu, beliau juga menggalas jawatan lain antaranya Pengerusi Gerakan Belia 4B negeri, Ahli Jemaah Pengarah Peladang Kawasan, Naib Yang Dipertua Majlis Belia Daerah, Pengerusi Muslim Bikers dan Ketua Pemuda Umno Cawangan Sri Serdang. Beliau turut dilantik sebagai Setiausaha Gabungan NGO daerah, Pengerusi Penaja Pertubuhan Muar Tourism, Pengerusi Persatuan Penduduk Komuniti Perpaduan Bakri, Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian dan pelbagai lagi.

Beliau langsung tak pernah terfikir akan dapat kepercayaan dalam kalangan individu penting apabila melantik beliau menerajui pelbagai kelab dan pertubuhan sejak lebih sedekad lalu. Bukanlah mudah bagi beliau untuk memikul banyak amanah dan tanggungjawab.  Namun beliau berusaha untuk melaksanakannya secara adil dengan membahagikan masa dengan baik, selain mengutamakan pelajaran di peringkat PhD. Segala tugas dan amanah yang
diperolehnya ketika ini adalah kerana mengamalkan prinsip bertanggungjawab, selain memegang kepada kata-kata
bahawa ‘kecerdikan mampu mengatasi kepandaian’.