Alumni Hebat UKM

YBHG. PROF (ADJ) DATUK DR HJ MOHD JAMIL BIN MUKMIN (Fakulti Sains Kemasyarakatan & Kemanusiaan 2006) ialah Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) dan Naib Pengerusi  Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). Beliau berkelulusan dalam  ijazah Doktor Falsafah Sejarah di Fakulti Sains Kemasyarakatan & Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Usia beliau melebihi setengah abad, namun jiwa patriotiknya masih lagi perkasa memperjuangkan martabat agama Islam, bangsa Melayu dan tanah air tercinta. Perjuangan beliau bersesuaian dengan tanggungjwab yang dipikul bersama Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP). Beliau memiliki minat yang mendalam dalam penulisan.  Beliau pernah berkhidmat dalam pelbagai agensi kerajaan peringkat daerah, negeri dan Persekutuan di dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) dari tahun 1970 hingga 1994 sebelum bersara secara pilihan. Pelbagai cabaran yang beliau hadapi dalam meneruskan  perjuangan beliau.

Di atas perkhidmatan beliau dengan kerajaan dan pertubuhan sukarela yang cemerlang selama hampir 40 tahun itu, beliau telah menerima berbagai anugerah di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa dan anugerah yang tertinggi ialah Darjah Mulia Seri Melaka(DMSM) yang membawa gelaran Datuk daripada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang DiPertua Negeri Melaka pada tahun 2001.  Beliau juga telah menerima anugerah Darjah Dato’ Wira Mindanoa (DWM)  yang membawa gelaran Dato’ Wira daripada Royal Sultanate of Marawi City, Mindanoa, Filipina pada tahun 2002.  Beliau telah dianugerahkan Profesor Adjung dari Kolej Universiti Islam Melaka, Malaysia pada awal tahun 2013.