Alumni Hebat UKM

Dato’ Dr Azizon Othman (Fakulti Perubatan 1995) ialah Pakar Perunding Kanan Patologi (Hematologi) dan Ketua Jabatan Patologi di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban. Beliau berkelulusan dalam Sarjana Patologi (Hematologi) di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Semasa kecil, beliau sering diejek dan dihina rakan sepermainan kerana kecacatan kedua-dua tangannya. Ketika menjalani latihan perubatan, beliau pernah dituduh tidak menjalankan prosedur sepatutnya kepada pesakit disebabkan kecacatannya itu. 

Namun beliau sangat tabah dan menerima setiap penghinaan ke atas dirinya sebagai pembakar semangat untuk berjaya dalam hidup. Beliau telah membuktikan pada masyarakat bahawa kecacatan dan latar belakang keluarga yang miskin tidak mampu menghalang orang cacat seperti beliau untuk berjaya dalam hidup. Beliau telah berkhidmat selama lebih dari 30 tahun dalam bidang perubatan dan pernah menerima tiga Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Beliau juga telah menerima Pingat Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan sekali gus membuktikan bahawa orang kurang bernasib baik juga boleh berjaya sama atau lebih baik daripada orang yang normal.