Alumni Hebat UKM

Mohd Faizal Aziz (FST 2001) ialah seorang Pegawai Sains Kanan di Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoeletronik (IMEN), Universiti Kebangsaan Malaysia dan juga pengasas kepada portal MajalahSains.Com. Beliau telah membangunkan portal ini pada tahun 2009. Ia memberikan satu impak yang besar kerana beliau telah membangunkan satu-satunya portal sains dalam Bahasa Melayu pertama di negara di peringkat awal.

Tertimbulnya idea untuk membangunkan portal ini ialah apabila beliau melihat lambakan portal-portal sains dan teknologi berbahasa Inggeris di Internet.  Beliau berpendapat, pembaca terutamanya di kawasan luar bandar lebih mudah memahami penulisan Bahasa Melayu dan tercetus idea untuk menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara di dalam portal itu. Ini sedikit sebanyak dapat mencetus minat murid-murid dan pembaca di kawasan luar bandar.

Pada tahun 2009, beliau mengumpulkan puluhan artikel yang pernah tersiar untuk diterbitkan di dalam satu portal yang dinamakan sebagai MajalahSains.Com. Sambutan terhadap portal ini sangat mengejutkan. Purata kunjungan yang diterima ialah sekitar 8 hingga 12 ribu sehari dan bergantung kepada isu-isu yang diutarakan.