Alumni UKM Usahawan Berjaya

Nur Diyana Mazlan (Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina 2015) ialah seorang usahawan barang basah yang menggunakan platform atas talian. Beliau berkelulusan dalam Sarjana Kejuruteraan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).  Beliau dan pasangan diibaratkan pasar bergerak yang menyediakan keperluan harian seperti ikan, ayam, daging dan makanan laut segar menerusi dalam talian. idea untuk menjalankan perniagaan pakej barangan basah bermula sebaik sahaja menamatkan pengajian beliau di UKM.

Beliau menerima 10 tempahan sahaja dalam masa sehari ketika diawal perniagaan namun kini telah meningkat sebanyak 50 tempahan dalam masa sehari dan bertambah sekali ganda pada hujung minggu. Pada permulaan beliau hanya mengiklankan di laman Instagram sahaja tetapi tidak mendapat sambutan yang baik. Namun beliau tidak berputus asa dan mengiklankan di laman sosial lain seperti Facebook. Menurut Nur Diyana, walaupun kerjaya ini nampak mudah dan tidak mengeluarkan modal besar, perniagaan seperti ini memerlukan kekuatan dari segi mental dan fizikal kerana ia sangat memenatkan.