APEL UKM

 Universiti Kebangsaan Malaysia

APA ITU APEL.A?

Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (Accreditation of Prior Experiential Learning, APEL) merupakan satu proses sistematik yang melibatkan identifikasi, dokumentasi dan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu.

APEL.A memberi peluang kepada mereka yang mempunyai pengalaman kerja tetapi kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi.

Secara umumnya, penilaian APEL.A melibatkan penilaian terhadap ilmu yang diperoleh oleh seseorang menerusi pendidikan formal mahupun menerusi pengalaman terdahulu.

APEL.A DI UKM

UKM menerima 2 tahap kemasukan APEL.A iaitu:

  • Program Ijazah Sarjana Muda (APEL T-6)
  • Program Ijazah Sarjana (APEL T-7)

Bagi program Ijazah Sarjana Muda (APEL T-6), sebanyak 52 program pengajian yang boleh dimohon menggunakan sijil APEL.A. Bagi program Ijazah Sarjana (APEL T-7), hanya program pengajian berbentuk Mod Kerja Kursus (Coursework) dan Mod Campuran (Mixed Mode) sahaja yang diterima.

PUSAT PENILAIAN APEL (PPA)

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diberi kelulusan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk mengendalikan Pusat Penilaian APEL pada Januari 2023. Pengiktirafan UKM sebagai Pusat Penilaian APEL merupakan pencapaian besar dalam menyahut wacana Pembelajaran Sepanjang Hayat seperti yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Budaya pembelajaran sepanjang hayat mampu menaik taraf kualiti pendidikan masyarakat di Malaysia daripada peringkat pendidikan rendah ke peringkat kelayakan yang lebih tinggi. Hal ini sekaligus memastikan lebih banyak peluang pendidikan tersedia dan dapat diakses oleh individu untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.

Konsep APEL memainkan peranan penting dalam melahirkan individu yang berkemahiran tinggi serta berkualiti untuk pembangunan negara pada masa hadapan. Konsep terkini APEL dilihat sebagai satu pecahan dari wacana Pembelajaran Sepanjang Hayat kerana pendekatan APEL ini menyediakan laluan alternatif kepada semua lapisan masyarakat yang mempunyai pengalaman bekerja tetapi kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi.

Pusat Penilaian APEL UKM berperanan untuk menjalankan semua proses penilaian ke atas calon berpandukan pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu yang bertujuan untuk memberikan penganugerahan pensijilan APEL.A bagi calon yang berjaya. PPA UKM berperanan untuk menerima dan memproses permohonan APEL bagi kemasukan ke program Sijil (APEL T-3), Diploma (APEL T-4), Sarjana Muda (APEL T-6) dan Sarjana (APEL T-7). Pusat ini turut menekankan proses penilaian yang sistematik, mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh MQA. PPA UKM akan melaksanakan proses penilaian APEL.A sepenuhnya yang merangkumi ujian aptitud, porfolio dan temu duga (bagi Tahap 7 sahaja). PPA UKM akan mengemukakan keputusan penilaian APEL.A pemohon kepada MQA bagi tujuan rekod. MQA akan mengeluarkan makluman keputusan rasmi dan mengeluarkan sijil APEL.A kepada calon yang berjaya.

Sijil APEL.A memberi peluang kepada calon untuk memohon program pilihan di institusi pengajian tinggi. Walau bagaimanapun, calon disyorkan untuk menyemak terlebih dahulu samada sijil APEL.A diterima untuk kemasukan ke program yang dimohon di institusi yang dipilih.