Siri Wacana ATMA: Memartabat Warisan Arkeologi Maritim di Malaysia

 

Sinopsis

Sejarah awal semenanjung Tanah Melayu terutamanya sekitar abad pertama masihi hingga abad ke 17 masihi, terdapat banyak bukti arkeologi yang menjelaskan isu tersebut iaitu tentang peranan laluan sutera maritim ini terhadap impak geo-ekonomi, geo-politik dan geo-sosial di rantau ini. Melalui kajian arkeologi sama ada di darat atau pun di bawah air, terdapat banyak bukti peninggalan pelbagai jenis artifak yang membuktikan wujudnya tamadun awal di Alam Melayu ini melalui medium laluan tersebut. Artifak seperti kapal karam, seramik, kepingan wang syiling, logam, kaca, manik dan sebagainya sering ditemukan semasa kajian arkeologi dibuat.

Arkeologi Maritim adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kajian masa lepas manusia. Istilah ini mula diperkenalkan oleh Jacques Spon pada abad ke-17 dan berasal dari perkataan Yunani, arkhailogia yang membawa maksud discourse about ancient things. Umumnya, arkeologi merupakan satu bidang ilmiah yang mengkaji kebudayaan dan persekitaran masa lampau manusia berasaskan tinggalan budaya benda (material culture) dan ekofak. Lantaran sejarah perkembangan manusia yang panjang menghasilkan kepelbagaian tinggalan budaya benda dan persekitaran fizikal, maka wujud juga kepelbagaian kajian bidang arkeologi. Secara langsung membawa kepada kelahiran sub-subdisiplin baharu bersesuaian dengan sifat ilmu arkeologi yang dinamik dan pantas berkembang seiring dengan teknologi, idea, dan sentiasa mengarah kepada penemuan terbaharu.

Pengertian dan matlamat asasnya tetap kekal sebagai ilmu yang mengkaji dan merekonstruksi masa lampau. Hanya sebagai asas kepada bidang arkeologi yang mengkhusus kepada kajian di bawah air. Bermakna, arkeologi bawah air hanyalah satu pelabelan untuk semua kajian arkeologi yang dijalankan di tapak bawah air ataupun istilah induk bagi disiplin arkeologi yang tapaknya bersifat akuatik.

Beberapa isu terutamanya dari aspek pengurusan arkeologi maritim di Malaysia seperti pakar, pengurusan, peruntukan dana kewangan, potensi, agensi yang bertanggungjawab (JWN dan JMM), peranan pihak swasta akan dikupas secara tuntas dalam merangsang dan memartabat bidang ini di Malaysia kini dan di masa hadapan.

Sejajar dengan beberapa perkembangan penyelidikan Arkeologi Maritime di Malaysia sejak awal tahun 1990 sehingga 2000an, difikirkan suatu kewajaran untuk merancang satu penyelidikan arkeologi maritime di Malaysia secara holistik. Penemuan secara tidak sengaja beberapa buah kapal karam yang terletak di perairan Malaysia menjadi pemangkin kepada tercetusnya idea untuk merealisasikan hasrat ini.

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my