Siri Wacana ATMA- Nilai Bahasa Melayu di China: Antara Keperluan dan Tuntutan

Sinopsis

China mempunyai mencecah 2,879 buah universiti dan kolej (tidak termasuk Hong Kong dan Makau) yang menawarkan sarjana muda, sarjana dan ijazah kedoktoran. China kini menjadi hos kepada kira-kira hampir 500 ribu pelajar antarabangsa dari lebih 200 buah negara dan kawasan seluruh dunia belajar di China. Angka tersebut telah meningkat hampir 13% daripada tahun 2016. BFSU atau Beijing Foreign Studies University merupakan sebuah universiti yang berprestij di Beijing, China dan ditadbir oleh Kementerian Pendidikan China. Majoriti pelajar asing adalah dari negara-negara Asia, Amerika Syarikat (30 ribu orang), Rusia (17 ribu orang), dan Perancis (13 ribu orang).

BFSU adalah universiti terawal menawarkan jurusan pengajian Melayu di peringkat ijazah sarjana muda, dan kini ada sembilan lagi universiti lain yang menawarkan jurusan yang sama. Sekaligus, universiti di China telah memartabatkan Bahasa Melayu di luar Nusantara Melayu.

Lulusan pengajian Melayu BFSU sebahagiannya menjadi pegawai diplomatik, jurubahasa, penyiar di Bahagian Bahasa Melayu Radio Antarabangsa China, wartawan agensi berita Xinhua, pegawai di pelbagai syarikat China di alam Melayu, pemandu pelancong dan pegawai bank (termasuk Bank of China di Kuala Lumpur). Dengan beberapa contoh in, jelas ia menunjukkan nilai bahasa Melayu adalah suatu yang amat menarik untuk diteliti kerana ia memberi peluang pekerjaan kepada rakyat China yang boleh kuasai bahasa Melayu dengan baik dan lancar, sama ada di dalam negara China mahupun di luar negara China.

Bahasa Melayu terus berkembang maju melalui persidangan antarabangsa dalam bahasa Melayu yang diadakan di negara China, penerbitan ribuan buku dan makalah dalam bahasa Melayu di negara berkenaan selain daripada radio yang mengudarakan bahasa Melayu di negara yang terkenal dengan kain sutera.

Wacana kali ini akan mendedahkan kedudukan bahasa Melayu di negara China dan nilainya dalam pendidikan, perniagaan, peluang pekerjaan, hubungan antarabangsa, penerbitan dan komunikasi harian di negara China mahupun di luar China. Bagi tujuan ini tiga ahli panel dijemput bagi mengupas tajuk yang diberikan.

Salah seorang ahli panel adalah rakyat dari negara China, belajar bahasa Melayu di Beijing dan boleh bertutur dengan fasih tanpa pelat China. Beliau tidak belajar bahasa Melayu di Malaysia atau Indonesia. Namanya Zhang Xian, dan memakai nama Melayu, Melor, dan bertugas sebagai penterjemah bahasa Melayu di China Radio International, Beijing. Kini menjadi Felo Tamu selama 10 bulan di ATMA UKM. Melor akan berkongsi maklumat mengenai perkembangan Bahasa Melayu dan budaya Melayu di tempat beliau pernah belajar serta pengalaman mempelajari dan menguasai bahasa Melayu dengan amat baik.

Ahli panel kedua Prof Datuk Dr. Awang Sariyan adalah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Melor kepada ATMA. Prof Datuk Dr Awang Sariyan, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). pernah menyandang Kursi Pengajian Melayu (2008-2011) di BSFU Beijing China, Beliau akan mengupas perkembangan Bahasa Melayu di negara China dengan mendalam, serta berkongsi pengalaman dan pengetahuan beliau sepanjang berada di China dari sudut polisi bahasa kebangsaan di China, sosio-budaya Melayu termasuk pakaian, persembahan, lagu, dan makanan Melayu di negara China, serta kedudukan bahasa Melayu dalam hubungan dua negara Malaysia dan China.

Ahli panel ketiga ialah Prof. Dr Ridhuan Tee Abdullah, pensyarah dan pendakwah bebas dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu. Dilahirkan dalam keluarga etnik Cina dan dibesarkan di Kg Kota Setia, Teluk Intan, Perak. Walaupun persekitaran kehidupan di luar rumah dikelilingi oleh orang Melayu dan budaya Melayu, beliau diasuh dalam suasana keluarga penuh kecinaan. Beliau adalah pelajar etnik Cina yang pertama mengambil subjek agama Islam di peringkat SRP dan SPM tanpa pengetahuan keluarga. Prof. Rihduan akan berkongsi pengalaman beliau yang mempunyai kenalan yang ramai dari negara China yang boleh berbahasa Melayu dengan lancar dan amat menghargai Bahasa Melayu.

Untuk makluman, ATMA sering didatangi pelajar-pelajar dari China untuk belajar bahasa Melayu sebagai bahasa asing sejak 2000 bagi tujuan membuat penyelidikan dalam bidang berkaitan yang menggunakan bahasa Melayu. Ada yang belajar bahasa Melayu dari tahap 1 hingga ke tahap 6, dan ada juga yang sudah fasih tetapi masih mahu mengikuti kursus bahasa Melayu lanjutan bagi mendalami aspek sosio-budaya Melayu tempatan.

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my