Siri Wacana ATMA: Sukarkah Baca Al-Quran di Alam Melayu?

Siri Wacana ATMA: Sukarkah baca Al-Quran di Alam Melayu? Perkongsian Kaedah Tahfiz Tionghua dan Kaedah Haraki


Sinopsis

Belajar membaca Al Quran sering dianggap sukar oleh orang Melayu sendiri. Apatah lagi kalau bukan Melayu, lagilah dianggap sukar untuk belajar membacanya. Tetapi inovasi dalam pedagogi pengajaran dan pembelajaran al Quran dikenali sebagai kaedah Haraki mampu menjadikan pelajar yang bukan Melayu boleh membaca al Quran dalam tulisan jawi selepas melalui latihan dalam tempoh enam jam. Justeru jika bukan Melayu mampu membaca al-Quran dalam tempoh waktu latihan berkenaan, bukankah orang Melayu yang umumnya beragama Islam lebih mampu menguasai bacaan al-Quran dengan lebih baik? Kaedah Haraki telah membuktikannya.

Pengajian tahfiz al-Quran juga dianggap hanya boleh berjaya dalam negara ini khususnya dan dalam Alam Melayu pada amnya jika ia dibuat dalam bahasa Melayu dan dalam suasana sekitar yang terdiri dari orang Melayu. Sejauh manakah sukar nya bagi pelajar untuk menguasai bacaan dan menghafaz al-Quran dalam masyarakat terdiri dari 100% orang Tionghua dan 100% berbahasa Mandarin?

Tujuan wacana ini ialah untuk mengajak pelbagai pihak melihat inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran al-Quran dengan mengambil kira konteks yang lebih luas dan terbuka. Kaedah lama jelas ada kesannya dalam pendidikan, tetapi kaedah baru perlu diteroka bagi meningkatkan keberkesananya dalam pengajian al-Quran. Malah bukan Melayu juga boleh mempelajari bacaan dengan baik akan suatu yang amat asing sebelum ini bagi mereka. Begitu juga dengan persekitaran pembelajaran dan hafazan al-Quran tidak mustahil boleh berjaya pelajar walaupun dikelilingi oleh satu bahasa yang asing bagi mereka. Adalah diharapkan masyarakat awam dapat mengikuti dan menyokong usaha-usaha inovasi dan kreatif dalam perkembangan dan kemajuan pengajian al-Quran dalam bahasa lain dari bahasa Melayu dan di luar komuniti Melayu. Secara tidak langsung, keharmonian kaum akan dibina melalui saluran pendidikan al-Quran.

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my