Siri Wacana ATMA- Syair Burung Medium Pendidikan untuk Anak-Anak

“Syair Unggas Bersoal-Jawab sebagai ajaran agama untuk anak” terdapat banyak versi, baik dalam bentuk naskah mahupun litografi. Syair Burung memenuhi satu fungsi besar sastera Islam iaitu memberikan pendidikan. Wacana ini akan mengetengahkan versi-versi sedia ada mengenainya, dan akan cuba menjawab satu pertanyaan; mengapa teks ini dahulu sangat popular di kalangan masyarakat Melayu dan varian lainnya di Nusantara. Adakah kerana ia memuatkan ajaran agama Islam yang asas atau apakah ia hadir dalam bentuk syair yang mudah diakses sesuai dengan pengisiannya yang mesra anak-anak.

Pewacana, Profesor Dr Edwin Wierenga adalah ahli akademik Belanda yang menggulati bidang filologi dan pengajian Islam dengan pengkhususan Islam di Asia Tenggara. Sejak tahun 2004, beliau menjawat jawatan Profesor Sastera dan Bahasa Asia Tenggara dan Kajian Islam di Universiti Cologne, Jerman. Terdapat banyak penerbitan beliau mengenai sastera Melayu tradisional dan moden, antara yang lain dua katalog naskhah Melayu dan Minangkabau di koleksi Perpustakaan Universiti Leiden.