Siri Wacana Cendekiawan ATMA: Dari Dasar Bumiputera ke Transformasi 50: Apa Sudah Jadi & Apa Akan Jadi Dengan Ekonomi Orang Melayu?


Sinopsis

Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Negara (DPN) dianggap pada umumnya sebagai “Dasar Bumiputera”. Terminologi “Dasar Bumiputera” adalah tidak formal tetapi tetap digunakan bagi merujuk kepada kedua-dua dasar berkenaan. DEB telah dilancarkan pada tahun 1970 dan dirancangkan untuk berlangsung selama 20 tahun yang berikutnya. Pada waktu itu, orang Melayu hanya menguasai kira-kira 2.4 peratus kekayaan ekonomi, sedangkan golongan bukan Melayu menguasai 34.3 peratus, dan orang asing menguasai 63.3 peratus. Oleh yang demikian, DEB meletakkan sebagai matlamatnya mengagihkan kekayaan ekonomi secara yang lebih saksama, dengan nisbah 30-40-30. Bagaimanapun pada tahun 1990, didapati bahawa pemilikan kuasa ekonomi Melayu hanya mencapai kira-kira 20 peratus – dan dasar tersebut telah diteruskan dalam bentuk DPN yang tidak ditetapkan jangka waktunya, tetapi mempunyai beberapa perubahan dari segi penekanan dan aspek-aspek pelaksanaannya. Seterusnya RMK atau Rancangan Malaysia ke 1, 2 dan seterusnya ke 11 hari ini merancang strategi pelaksanaan dengan lebih baik bagi membantu golongan yang ketinggalan di seluruh peringkat termasuk golongan bumiputera dan bukan bumiputera dalam bidang ekonomi, pendidikan, dan pekerjaan. Pada umumnya, melalui RMK golongan bumiputera terus mendapat bantuan dan sokongan dari kerajaan untuk menguasai bidang-bidang yang dulunya didominasi oleh satu-satu kaum sahaja. Seterusnya Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera dilancar pada 2011 dan sidang Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada 2013 dengan tujuan yang jelas bagi membantu dan membela golongan bumiputera yang terpinggir dari sudut ekonomi. Persoalan yang perlu diteliti ialah apakah hasil pelaburan (ROI) kerajaan melalui pelbagai program “Dasar Bumiputera” yang telah dijalankan lebih 50 tahun ini? Apakah bukti kejayaannya dalam membantu ekonomi orang Melayu? Sejauhmanakah kelemahannya? Apakah aspek-aspek dalam dasar ini yang dianggap berjaya dan gagal? Apa sudah jadi dengan kedudukan usahawan Melayu? Bagaimana dengan profesion orang Melayu dalam strata ekonomi nehgara? Apakah kita mempunyai rekod atau data empirikal mengenai semua ini? Bagaimanakah polisi sedia ada boleh ditambah baik untuk program yang leboih baik agar tidak mengulangi kelemahan lama? Apakah persiapan kita untuk berhadapan dengan era Revolusi Industri ke 4 ini dalam merancang program pembangunan ekonomi bumiputera dengan lebih baik dalam gagasan TN50 (Transformasi Nasional 2050)?

Tujuan Wacana ini ialah untuk mengupas isu-isu ekonomi orang Melayu selepas beberapa dasar diperkenalkan yang bertujuan bagi membantu menaiktaraf ekonomi orang Melayu sejak 1970an. Apakah yang telah dicapai, apa yang belum dicapai, mengapa ia belum capai, apa lagi yang boleh dibuat jika perlu? Bagi memastikan apa yang dirancang dapat dicapai dengan baik dan bukannya tanam tebu dibibir mulut, apakah langkah seterusnya dalam memperkasakan ekonomi orang Melayu dalam tempoh 30 tahun akan datang? Apakah TN50 memilik perancangan ekonomi yang lebih baik untuk orang Melayu atau akan mengulangi kisah silam yang menghampakan ekonomi orang Melayu?

 

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my