Siri Wacana Cendekiawan ATMA: Sejarah Institusi Raja-Raja Melayu di Nusantara: Antara Kuasa dan Kedaulatan

SINOPSIS

Kewujudan raja-raja Melayu di wilayah Nusantara Melayu atau di Pentas Sunda ini adalah suatu yang sudah sebati dengan kehidupan orang Melayu. Di mana ada kawasan dan penduduk, di situ ada Raja, di mana ada Raja di situ ada kerajaan. Sejarah dunia telah mengungkapkan kewujudan kerajaan Melayu tua pada abad pertama iaitu Kerajaan Melayu Funan, kerajaan Melayu Champa pada abad ke 2, kerajaan Melayu Kedah Tuan pada abad ke 5, kerajaan Melayu  Gangga Negara pada abad ke 6, Kerajaan Melayu Srivijaya pada abad ke 7,  kerajaan Angkor abad ke 8 dan kerajaan Majapahit pada abad ke 13, dan seterusnya kerajaan Empayar Melaka Abad ke 14.

Setelah penjajah barat datang ke Nusantara, maka berlakulah penghapusan sistem beraja secara berperingkat melalui campur tangan pemerintahan, pembunuhan, rampas kuasa, dan sistem demokrasi.  Kini sistem beraja yang tinggal berkuasa di sisi Perlembagaan negara ialah di Semenanjung Malaysia dan Brunei. Di Indonesia dan Filipina, raja dan sultan hanya menjadi pemimpin budaya dalam komuniti tempatan dan tidak ada kuasa di sisi Perlembagaan.

Wacana ini bertujuan untuk meneliti semula sejarah institusi Raja-Raja Melayu di Nusantara dan melihat bagaimana kedaulatan dan kuasa Raja-Raja diungkapkan dalam pemerintahan dahulu dan dalam konteks suasana hari ini di Nusantara termasuk di Malaysia.  Tidak dinafikan bahawa antara benteng terakhir kelangsungan kedaulatan dan kekuasaan orang Melayu juga ialah dengan adanya institusi Raja-Raja Melayu.  Dalam konteks Malaysia pula, jika tiada lagi institusi Raja-Raja Melayu ini, maka apakah 7 wasiat Raja-Raja Melayu juga akan berkubur? Apakah Raja-Raja Melayu di Malaysia akan menjadi Raja atau Sultan dalam komuniti tempatan sahaja? Inilah antara persoalan yang perlu dijawab oleh ahli panel dalam wacana kali ini.

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA)
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 Bangi
www.atma.ukm.my
pghatma@ukm.edu.my