Siri Wacana Cendekiawan ATMA: Status Sekolah Tahfiz dalam Pendidikan Negara: Di mana & Ke mana Akhirnya?


Sinopsis

Pendidikan Islam di Alam Melayu telah bermula serentak dengan kedatangan agama Islam ke Tanah Melayu. Ia telah mengubah cara hidup orang-orang Melayu dengan world view dan pradigma tauhid kepada Allah SWT. Penerimaan Islam yang dipelopori istana dan raja Melayu telah mempengaruhi pentadbiran kedaulatan kerajaan pada masa tersebut termasuk dalam aspek pendidikan Islam melalui hubungan akrab dengan ulama, penggunaan ruang istana sebagai tempat perbincangan tentang agama selain daripada masjid sehinggalah membawa kepada kemunculan institusi pondok sebagai institusi formal pertama bagi orang-orang Melayu. Perkembangan pemodenan tidak memberikan cabaran kepada institusi ini pada peringkat awal kerana kebijaksanaan pemerintah, ulama dan cendekiawan Melayu yang dapat memanfaatkan pengaruh moden dan mengekalkan nilai tradisi keilmuan agama dalam sistem kehidupan masyarakat Melayu terutama pada zaman penjajahan Portugis, Belanda dan Jepun dan di awal penjajahan Inggeris.

Bibit-bibit cabaran besar kepada dunia pendidikan Melayu apabila penjajah memperkenalkan sistem pendidikan Inggeris secara perlahan-lahan bagi menggantikan budaya pendidikan tradisi Islam yang kemudiannya terhakis sedikit demi sedikit. Terdapat dua faktor besar yang memberikan cabaran tersebut iaitu pembatasan kuasa raja-raja Melayu dalam hal ehwal Islam dan pengenalan sistem pendidikan terpusat dalam amalan federalisme di Tanah Melayu. Dua mekanisme struktur ini, dari sudut lain membawa kebaikan kepada negara, pada masa yang sama merugikan pembangunan agama Islam jangka panjang kerana ‘salah faham’ dalam mentafsirkan pendidikan dan kewajipannya secara menyeluruh. Asas utama bermulanya perpecahan tersebut apabila salah satunya dberikan nilai ekonomi dalam pentadbiran manakala satu lagi diabaikan.

Tujuan utama Wacana ini ialah bagi membincangkan kedudukan Sekolah Tahfiz, atau Pondok Tahfiz samada yang diusahakan oleh pihak swasta mahupun bantuan kerajaan, masalah dan cabaran dihadapi, termasuk dari aspek kurikulum, sumber manusia, kewangan, pengiktirafan, dan pembangunan sumber manusia dalam negara bersandarkan kepada impak kewujudan sekolah tahfiz yang banyak dalam negara.

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my