Wacana Cendekiawan ATMA: Kerajaan Naning: Antara Lipatan Sejarah & Kelangsungan Kuasa

 

Sinopsis:

Naning adalah sebuah daerah yang terletak di dalam negeri Melaka. Ia bersempadan dengan Rembau, Negeri Sembilan dan berhampiran dengan Taboh. Di bahagian utaranya, Sungai Buloh dan Melekek di bahagian selatan. Naning masih lagi wujud hingga ke hari ini. Menurut sejarah, Naning pernah dijajah oleh Inggeris di sekitar tahun 1832 dan diperintah oleh Belanda semenjak tahun 1757 sehingga tahun 1824 iaitu setelah termeterainya Perjanjian Inggeris-Belanda.

Naning adalah sebuah mukim atau daerah yang dibuka oleh orang Minangkabau dalam kurun ke 15. Dikisahkan orang-orang Minangkabau yang mudik ke Sungai Linggi telah pergi membuka kawasan Naning , bernikah kahwin dengan penduduk asli di sana dan akhirnya wujudlah sebuah “nagari” yang di namakan Naning. Naning juga adalah antara “nagari” terawal yang menjadi anggota gabungan “Nagari Sembilan” yang bermuafakat untuk menjemput Raja dari Pagar Ruyong, Sumatera bagi menjadi Raja kepada “Nagari Sembilan”.

Hari ini kita semakin kurang mendengar apa jadi dengan Naning, budaya dan adat Naning, pembesar-pembesar Naning dan kaum kerabat keluarga Naning. Sumbangan Naning dalam masyarakat Melayu di Malaysia khususnya hampir tiada diperkatakan, apatah lagi dengan kuasa pembesar Naning yang samar-samar dalam lipatan sejarah hingga hari ini.

Wacana ilmiah ATMA kali ini akan berfokus kepada hasil kajian manuskrip mengenai Naning, budaya dan adat Naning dan sejarah Naning dan kuasa pemerintahan dalam wilayah Naning.