Wacana Gila-Gila Bahasa dalam Media

 

Sinopsis

Wacana Cendekiawan ATMA bertajuk Gila-Gila Bahasa dalam Media Penyiaran anjuran ATMA UKM pada 25 Ogos 2020

Media penyiaran adalah platform di mana maklumat dan ilmu disampaikan kepada orang awam dengan menggunakan bahasa. Penyampai atau pengacara adalah personaliti penting dalam media penyiaran kerana bahasa yang mereka gunakan menjadi model ikutan pendengar terutamanya kanak-kanak dan remaja yang masih baru dalam memahami bahasa, struktur bahasa, istilah bahasa, logik bahasa, dan psiko-sosial bahasa dalam komunikasi. Oleh itu jika penyampai atau pengacara “gila-gila” dalam berbahasa dengan ungkapan atau struktur bahasa yang tidak kemas dan penuh dengan pencemaran, maka ia akan diambil dan dijadikan ikutan oleh penonton dan pendengar.

Ahli panel atau mereka yang dijemput ke rancangan radio dan TV juga tidak terlepas dalam fenomena gila-gila bahasa ini. Ada orang yang dijemput tidak menggunakan bahasa Melayu yang betul dan tidak kemas boleh meninggalkan kesan yang tidak baik kepada penonton atau pendengar dari sudut penggunaan bahasa.

Bahasa rojak, bahasa basahan, bahasa kolokial, bahasa Melayu rendah, bahasa Melayu tinggi, bahasa rasmi, dan bahasa tidak rasmi adalah antara perkara yang akan dibahaskan dalam Wacana Cendekiawan ATMA bertajuk Gila-Gila Bahasa dalam Media Penyiaran anjuran ATMA UKM pada 25 Ogos 2020 yang diadakan secara bersemuka di UKM dan dalam talian.

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA)
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 Bangi
www.atma.ukm.my
pghatma@ukm.edu.my