INSTITUT ALAM DAN TAMADUN MELAYU

INSTITUTE OF THE MALAY WORLD AND CIVILIZATION

Sekretariat Penyelidikan

Sekretariat Penyelidikan

Penyelidikan yang menggabungkan tenaga dari luar UKM serta memerlukan pengurusan lebih terstruktur, diletakkan di bawah entiti “Sekretariat”. Terdapat tujuh sekretariat penyelidikan berpangkalan di ATMA.

Sekretariat Penyelidikan Tekstil Alam Melayu (SEPETAM)
SEPETAM merupakan program dialog bersama (gabungan) penyelidik – sarjana tekstil Alam Melayu. Objektif penubuhan SEPETAM ialah menampil para penyelidik dan sarjana dalam bidang tekstil dan busana Alam Melayu khususnya wilayah budaya tekstil di Semenanjung Sabah, Sarawak dan Kepulauan Melayu Nusantara.

Tautan Tamadun (Bridging Civilisation)
Kumpulan ini merupakan himpunan penyelidik dari pelbagai institut fokus kemanusiaan di UKM, khusus menumpu kepada kajian interaksi tamadun. Interaksi tamadun dilihat dari perspektif positif, bugar dan membina, justeru nama “Tautan Tamadun” atau nama Inggerisnya Bridging Civilisation. Dalam keadaan dunia yang makin celaru dan saling mencemburui tamadun, aspek tautan tamadun diharap dapat menyediakan jawapan kepada resolusi konflik. Tautan tamadun meliputi Nusantara, Eropah, Asia Barat, Asia Tengah dan Asia Timur.

Penyelidikan Laluan
Terdapat 10 laluan tras-semenanjung utama di Semenanjung Malaysia yang mengimpak kepada politik, sejarah, dagang serta budaya. Kajian dicadang dalam aspek sejarah, budaya lisan, geografi, geologi, etnobiologi dan teknologi watan. Kajian laluan akan dibahagikan kepada dua kumpulan utama:
Penyelidikan Laluan Segenting Kera yang akan menyelidik laluan Takuapa-Bay melalui Sungai Takuapa dan Griststra.
Penyelidikan Laluan Air Dalaman (Inland waterway routes) yang akan meneliti 6 laluan air dalaman negeri-negeri Melayu dan bermula dengan Laluan Penarikan iaitu laluan air dalaman dari kuala Sungai Muar hingga ke kuala Sungai Pahang.

Muzium Warisan Teknologi Alam Melayu
Idea tentang pembinaan Taman Warisan Teknologi Alam Melayu bermula pada tahun 2007. Taman yang dicadangkan ini bertujuan mempamerkan pelbagai hasil kerja berkaitan warisan teknologi Melayu. Bangunan-bangunan yang akan didirikan di taman tersebut terdiri daripada rumah-rumah tradisional Melayu dan etnik Alam Melayu. Kompleks berpusat Istana Tengku Puteri akan menjadi pusat pelbagai kegiatan, termasuk studio pengajaran, galeri dan tapak penyelidikan hunian Melayu.

Sekretariat Etnobotani Alam Melayu (EBAM)
Projek ini cuba mengukuhkan kajian-kajian lepas yang dikendalikan di UKM pada tahun 80-an, terutamanya dalam bidang etnografi di Sabah. Ia mengandungi 3 komponen yang asas, iaitu (a) Ekologi komuniti Melayu di Malaysia dan Nusantara; (b) Kajian etnobiologikal Melayu dan kaitannya dengan flora dan fauna; (c) Kajian yang sistematik tentang etnobotani di kalangan Melayu dan Orang Asli. Kajian ini bertujuan untuk menjana data dan ilmu lanjutan tentang sains dan teknologi Melayu.

Sekretariat Seni Rupa Alam Melayu (SERAYU)
SERAYU buat masa ini merancang untuk mewujudkan pangkalan data bagi pelukis-pelukis Melayu, di samping perancangan mengadakan pameran lukisan dengan kerjasama galeri-galeri luar atau persendirian terutamanya dari Singapura dan Filipina.

Sekretariat Seramik Tradisional Asia Tenggara (SERATA)
Suatu artifak penanda zaman atau tamadun ialah seramik. Seramik artifak penting kehidupan masyarakat Asia Tenggara dan diguna sebagai bekas bahan binaan, arca serta peralatan. SERATA menggabung ahli ATMA dan pengkaji Fakulti Sains dan Teknologi serta Fakulti Kejuruteraan, mengkaji aspek seni, sejarah dan teknologi seramik.

Skip to content