TAKLIMAT MYPORTFOLIO

MyPortfolio adalah dokumen rujukan rasmi yang mengandungi maklumat-maklumat penting berkaitan organisasi serta penjelasan mengenai deskripsi tugas, fungsi, aktiviti, prosedur dan proses kerja yang boleh dijadikan panduan dalam menjalankan tugas bagi sesuatu jawatan. MyPortfolio merupakan penambahbaikan yang telah dibuat ke atas Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja.

Sehubungan dengan itu, UKM telah memulakan langkah dalam penyediaan dan pembangunan MyPortfolio bagi semua PTj. Unit Audit Dalam (UAD) merupakan salah satu PTj dalam fasa 1B di mana tempoh pelaksanaannya bermula Januari sehingga April 2020.

Bagi memberi pendedahan kepada kakitangan UAD berkenaan MyPortfolio, satu taklimat telah diadakan pada 21 Februari 2020 yang melibatkan semua kakitangan UAD. Taklimat ini telah disampaikan oleh Encik Md. Nora Md. Don dari Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar, UKM.

Taklimat yang diberikan sedikit sebanyak telah dapat menjelaskan cara pengisian MyPortfolio kepada semua kakitangan UAD yang mana tindakan selanjutnya akan diambil untuk melengkapkan dokumen tersebut.

Hasil daripada taklimat tersebut, UAD percaya penyediaan dan pembangunan MyPortfolio akan berjaya dilaksanakan dalam tempoh yang telah ditetapkan.