Portal Rasmi Unit Audit Dalam UKM

 BEBAS, OBJEKTIVITI, INTEGRITI

Sekapur Sireh

 

Assalamualaikum wbt

Saya mengambil kesempatan disini untuk mengucapkan syabas dan tahniah di atas pencapaian yang telah dicapai oleh kita semua terutama dalam memenuhi sasaran objektif kualiti dan yang lebih penting dapat melaksanakan 87% program audit yang telah dirancang pada tahun 2022.  Ada 3 program (13%) tidak dapat dilaksanakan mengikut perancangan adalah disebabkan kekangan waktu oleh pihak auditi.  Dari sudut perjawatan juga alhamdulillah kerana daripada 9 orang penolong akauntan seramai 7 orang telah dinaikkan pangkat kepada W32 dan daripada 4 orang pegawai yang bertindak sebagai penyelia kumpulan audit, 3 orang telah berada di jawatan W48.  Walaupun ada yang menyandang jawatan tersebut berdasarkan KUPD dan mengikut tahun perkhidmatan tetapi ianya menjadi pendorong dan semangat kepada kita untuk terus melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan ini sebagai tanggungjawab dan ibadah yang perlu dilakukan dengan sebaik mungkin.

 

Selepas 5 bulan kita mengharungi tahun 2023, ianya turut memberi pengalaman yang baru kepada kita selaku warga UAD.  Pertama kali saya mengetuai UAD pada 2010, Mesyuarat Jawatankuasa Audit UKM Bil. 1/2023 hanya dapat diadakan pada bulan Mei. Jika tidak sebelum ini pada bulan Mei kita telah melaksanakan 2 kali Mesyuarat Jawatankuasa Audit. Cabaran negara mendapat kepimpinan kerajaan baru turut memberi kesan kepada pelaksanaan dan penstrukturan komposisi Ahli Lembaga Universiti dan ini turut memberi kesan kepada Jawatankuasa Audit Universiti.  Walaubagaimanapun rintangan tersebut tidak mengganggu perancangan dan pelaksanaan audit UAD UKM.  Kecekalan kita untuk terus menjayakan program audit yang dirancang pada tahun 2023 amat membanggakan walaupun menghadapi masalah kelulusan dan pertukaran tajuk disaat akhir.

 

Peningkatan kualiti perkhidmatan pengauditan memang sentiasa dilakukan supaya pengauditan yang dilakukan oleh UAD sentiasa relevan dan memberi impak kepada mutu perkhidmatan Universiti.  Pensijilan ISO SPK3P yang telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2023 merupakan sesuatu penambahbaikan kepada universiti dan kepada UAD secara tidak langsung.  Ini akan memudahkan pengauditan yang dilakukan kerana pelaksanaan SPK3P ini membolehkan penggunaan polisi, peraturan dan garis panduan yang telah dipersijilkan perlu diikuti dan dilaksanakan disemua PTJ di dalam universiti.

 

Tahun ini juga kita akan menjalani QAR yang merupakan program peningkatan kualiti pengauditan yang berasaskan IPPF yang digunapakai oleh IIA Global.  Aktiviti ini juga merupakan cabaran kepada kita sebagai warga UAD bagi membuktikan bahawa pengauditan yang dilakukan selama ini memenuhi standard yang telah dipersetujui diperingkat global.  Ianya penting kepada kita kerana ianya sebagai bukti kepada pihak universiti dan pemegang taruh universiti bahawa pengauditan yang dilakukan UAD adalah mengikut piawaian antarabangsa yang diiktiraf dunia.

 

Apa yang dinyatakan di atas adalah diantara beberapa perkara yang perlu dilakukan oleh kita selaku warga UAD sehingga akhir tahun 2023.  Sebaik-baik perancangan dibuat, ketentuan Allah mengatasi semuanya.  Oleh itu diharapkan kita terus berdoa bagi mengekalkan komitmen bukan sahaja untuk tugasan di pejabat tetapi tugas di rumah dan yang penting adalah tugasan hakiki terhadap diri sendiri dan agama. Jadilah peribadi yang hebat bukan untuk sesiapa tetapi untuk kejayaan diri sendiri baik di dunia mahupun di akhirat. Teruskan 4U demi kemajuan diri dalam kerjaya pengauditan.

 

Sekian, terima kasih

Ishak Md Saboo
Ketua Audit Dalam
Universiti Kebangsaan Malaysia

 

Translate »