Pejabat Naib Canselor

 

Pejabat Naib Canselor > Bicara Naib Canselor

Bicara Naib Canselor

Memaparkan beberapa siri ucapan Naib Canselor yang dipilih daripada facebook dan laman web UKM.

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Warga UKM yang saya hormati,

Semoga semua sihat sejahtera dan dirahmati Allah SWT.

Tahun 2017 telah menutup tirainya, dan kita kini melangkah ke tahun 2018. Masa itu amat tinggi nilainya, pantas berlalu, tidak boleh dibawa kehadapan dan kebijaksanaan kita dituntut bagi mengisi masa yang dianugerah Allah. Sekitar dua tahun lagi, pada tarikh keramat 18 Mei 2020, UKM akan menyambut ulang tahun Jubli Emas.

Kita bersyukur dengan kecemerlangan dan kejayaan yang dicapai sepanjang 2017. Setiap bulan sepanjang tahun 2017 kita meuar-uarkan ‘3 Cerita’ kecemerlangan sebagai hebahan kepada semua melalui HIT UKM. Sila layari HIT 2017 sebagai imbasan kecemerlangan kita (http://www.ukm.my/strategi-ukm/hit-ukm/). Pastinya banyak lagi kejayaan yang dicapai oleh para pensyarah, pelajar, pentadbir dan pelaksana UKM yang membanggakan universiti. Tahniah semua yang mengukir kecemerlangan buat UKM.

Pastinya seluruh Malaysia, dari puncak kepimpinan negara hinggalah setiap rakyat akan turut gembira menyaksikan universiti yang dibina dengan perjuangan rakyat berteraskan aspirasi kebangsaan yang memuncak kini hampir mencecah usia 50 tahun.

Kecemerlangan yang dilakar semenjak penubuhannya, siswazah hebat yang dilahirkan yang dijangka mencecah 200,000 orang pada tahun 2020, kedudukan dalam kategori Top 1% dalam kalangan universiti dunia, dan pelbagai program penyelidikan dan kemasyarakatan di seluruh Malaysia dan ASEAN, serta rangkaian jaringan industri dan global yang meluas sehingga ke benua Amerika Latin, menjadikan UKM sebuah universiti kebangsaan yang hebat dan dekat dengan semua.

Kita memikul amanah ‘kebangsaan’ yang besar, memastikan pembangunan ilmu berteraskan acuan kebangsaan dibina kukuh. Membina kesarjanaan dan meneroka ilmu yang mendahului masyarakat dan zamannya – maju, berilmu dan bahagia. Itulah kita, Pendaulat Amanah Negara!

Saya mengucapkan setinggi tahniah dan terima kasih kepada semua atas usaha gigih menjulang nama baik universiti ini. Setiap Warga adalah aset penting buat UKM. Anda adalah pendokong utama kepada amanah besar yang kita pikul. Kita sejelekit membina kebitaraan universiti ini — hebat dan unik, bernilai tinggi dan luar biasa tawarannya.

Tiada sesiapa yang dapat menjanjikan kita akan kekal relevan dan bernilai selamanya. Keutamaan, keperluan dan kehendak masyarakat sejagat terus berubah dengan pantas. Overhead projector yang dahulunya ‘mesti ada’ kini menjadi bahan lupus. Era ‘power point’ sebagai bahan utama pengajaran juga sudah lapuk. Proses pengajaran dan pembelajaran direkabentuk semula dengan pelbagai metodologi yang kreatif dan berinovasi mengaplikasikan teknologi digital dan menenuhi citra generasi terkini.

Revolusi Industri ke-4, yang kini hangat diperkatakan, membawa peluang dan cabaran yang sama hebatnya. Merekabentuk semula universiti terus menjadi hambatan utama untuk kita. Kerelevanan UKM boleh kita pertahan dan perkukuhkan sekiranya kita semua bersedia untuk melaksanakan perubahan dengan pantas dan teratur.

Berubah bukan mudah dan ada risikonya. Walaubagaimanapun, perubahan mesti kita laksanakan supaya kita kekal relevan dan bernilai tinggi dikaca mata masyarakat hari ini. Supaya kita sentiasa mendahului dan menjuarai.

Saya mengajak kita semua membuat penilaian ke atas setiap aktiviti dan tugasan yang dilaksanakan: adakah ia masih seperti dahulu atau sudah diubah dengan cara dan pendekatan terkini? Inovasi adalah nadi kecemerlangan era Revolusi Industri ke-4. Ambil peluang untuk berbincang bersama rakan-rakan tentang aspek-aspek yang boleh kita rekabentuk semula.

Kepada para pelajar, saya mengajak anda untuk menilai semua aktiviti kemahasiswaan, khususnya proses pembelajaran yang anda lalui. Bagaimana nilai siswazah UKM dapat dipertingkatkan? Apa tindakan strategik yg dapat kita laksanakan?

Metafora kita, Payung Merah UKM, menuntut kita melakar strategi untuk menghasilkan mahasiswa yang unik dan bernilai tinggi, yang tidak mungkin diperolehi di kampus lain selain UKM; graduan yang sentiasa keterhadapan dan tidak mungkin diciplak. Itulah kebitaraan yang dituntut.

Lakarkan strategi anda untuk tahun 2018! Kongsikan idea, strategi dan sasaran anda bersama kepimpinan universiti, fakulti, institut dan kepengetuaan di kolej masing-masing, serta para pensyarah. Semua pihak mesti jelas peranan masing-masing. Impikan kejuaraan.

Para akademia, kesarjanaan adalah kekuatan kita. Hebat kesarjanaan kita, hebatlah UKM dan cemerlanglah universiti ini. Dengan penyusunan semula fakulti, kesarjanaan yang kita sasarkan seharusnya lebih terserlah. Apakah kekuatan yang akan kita bina? Apakah permasalahan dan cabaran yang akan kita tangani? Penyelidikan kita mesti lebih berfokus, berskala, menghasilkan impak kesarjanaan dan juga pemahaman serta penyelesaian yang berkesan. Kita mesti bitara dan diiktiraf sebagai juara. Kita mendahului sebagai pemegang taruh yang dirujuk dan dihormati.

Tanya diri anda, di manakah anda dalam gagasan penyelidikan Cabaran Perdana? Cabaran Perdana dibina dengan sifat dinamik yang boleh berkembang dan dilentur. Kita akan menilai secara berterusan dan memungkinkan cabaran baru diterap dalam gagasan universiti penyelidikan kita.

Universiti adalah sebahagian dari ekosistem masyarakat moden. Tiada sempadan antara kita dan segmen masyarakat yang lain. Kita perlu memastikan jaringan ‘quadra-helix’ UKM-Kerajaan-Industri-Masyarakat yang mantap dan berkualiti. Susun strategi untuk memikat keyakinan dan kepercayaan para pemegang taruh terhadap UKM. Kita menjana dengan kesarjanaan yang disegani. Dengan kesarjanaan yang dihormati, insyaAllah, setiap segmen masyarakat akan bersama kita dalam pengajaran, penyelidikan, dan perkhidmatan.

Universiti adalah organisasi yang besar dan kompleks. Pentadbiran pengoperasian, pengurusan kewangan dan kemantapan sumber serta prasarananya adalah pelincir kepada gerak kerja kesarjanaan akademia dan pelajarnya.

Para pentadbir dan pelaksana, anda adalah tonggak utama kecemerlangan universiti. Nilai cara kita beroperasi, semak garis panduan dan peraturan, ukur kepantasan serta keberkesanan tindakan kita. Cari ruang berinovasi dan bertindak secara kreatif. Keefisienan institusi memerlukan kita semua peka dan sentiasa memikirkan cara yang lebih baik dan berkesan. Jangan memerangkap diri dengan amalan terdahulu yang mungkin sudah tidak sesuai untuk di aplikasikan hari ini. Sebaliknya, berinovasi, dan cari jalan baru, dan bersedia mencabar kelaziman.

Sebagai Warga UKM, kita semua – para akademia, pelajar, pentadbir dan pelaksana – perlu bitara, lain dari biasa, istimewa dan tinggi nilai tawarannya, disegani dan dirujuk kewibawaanya. Pastikan etika dan integriti sentiasa diutamakan dalam semua tindakan kita. Kita mesti bersedia membuat berubahan untuk mendahului dan menjuarai.

Saya mendoakan kesejahteraan buat semua. Semoga Allah memberkati usaha kita dan menjadikan 2018 sebagai tahun yang lebih hebat buat semua. Selamat menyambut tahun baharu kepada semua Warga UKM yang saya hormati.

Kita mendahului dan menjuarai.

Terima kasih semua.

Salam hormat,

Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali

Assalamualaikum dan salam sejahtera, Warga UKM yang saya hormati,

18 Mei, 2016 – Hari yang amat istimewa buat semua yang bergelar Warga UKM. Universiti yang diimpikan keseluruhan rakyat Malaysia, semua lapisan, semua daerah, semua bangsa, kini mencecah 46 tahun usia penubuhannya.

Kita memanjatkan syukur ke hadrat Illahi, UKM semakin hari semakin matang, semakin kukuh dan yang paling utamanya, kita semua kini bergelar Warga UKM, menyambung perjuangan merealisasikan aspirasi yang dibenih 46 tahun yang lalu.

Amanah yang kita pikul adalah amanah besar negara. Sebagai warga sebuah universiti ‘kebangsaan’, kita berbeza, kita adalah Pendaulat Amanah Negara. Universiti ini bagai nyawa untuk negara ini terus membangun, dihormati dunia dan meningkatkan kesejahteraan untuk semua.

Misi ‘Mencari Nordin’ baru-baru ini mengingatkan kita bahawa universiti ini adalah pertaruhan semua. Ditahun 1968, anak muda berusia 13 tahun dari Terengganu bernama ‘Nordin’ mengirim RM1 untuk tabung penubuhan UKM. Sedikit demi sedikit Nordin menabung wang saku sekolahnya untuk dihantar membantu penubuhan universiti ini. Benak hati Nordin terpanggil apabila gurunya menceritakan usaha kerajaan untuk menubuhkan sebuah universiti kebangsaan yang bakal membawa negara yang baru merdeka dan masih bergelumang dengan kemiskinan ketahap kesejahteraan yang lebih tinggi. Nordin terpanggil. 46 tahun berlalu-apakah pertaruhan Nordin menjadi? Adakah ‘jiwa Nordin’ terus kekal membakar semangat kita?

Marilah kita memegang amanah ini dengan kukuh-semua kita-staf akademik, staf pentadbiran dan pelaksana, dan pelajar malah semua yang pernah bersama UKM sejak 46 tahun dahulu. Kita bersama memenuhi tuntutan amanah ini. Kecemerlangan kita, lebih dari setakat kemajuan kerjaya diri. Kecemerlangan kita adalah kecemerlangan negara yang kita cintai ini-pendorong utama yang menggerakkan tindakan kita.

Dari tahun ke tahun, persekitaran dan cabaran turut berubah. Kelangsungan kecemerlangan UKM menuntut kita semua melaksanakan perubahan yang membolehkan kita terus mengukuhkan kerelevenan dan mengukir nama. Tawaran nilai UKM dalam semua aspek pengoperasian kita-pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan-mestilah mempunyai nilai yang tinggi yang meyakinkan semua pihak berkepentingan-rakyat, kerajaan, akademia, industri, penaja, ibu-bapa, dan masyarakat sejagat-bahawa UKM peka dan sentiasa bersedia untuk berubah menepati masa, namun kekal kukuh dengan amanah asal penubuhannya.

Hari ini kita semua perlu sejenak mengimbau, apa yang telah dan akan kita laksanakan demi memastikan kelangsungan kecemerlangan ini? Apakah tindakan kita untuk menggerakkan 6 teras pengoperasian (6 KRA-keberhasilan utama) kita sejaya yang mungkin? Seketika kita bermuhasabah:

Bagaimana kita dapat menghasilkan siswazah yang cemerlang, hebat, bernilai tinggi, berakhlak mulia dan menepati keperluan semasa dan mendatang?

Bagaimana kecemerlangan penyelidikan dan inovasi kita berupaya menghasilkan idea dan penyelesaian yang memberi impak kesarjanaan, meningkatkan kualiti kehidupan dan prestasi pihak berkepentingan?

Bagaimana dapat kita pastikan UKM kekal relevan untuk semua dan diiktiraf sebagai ‘rakan strategik’ yang bernilai tinggi dan mampu menghasilkan kecemerlangan bersama?

Bagaimana kecekapan pentadbiran dan pengoperasian institusi kita dapat melancarkan dan memudahcara semua keperluan untuk kecemerlangan universiti ini?

Bagaimana kesarjanaan dan semua kekuatan serta aset kita dapat digembelingkan untuk mengukuhkan penjanaan, kelestarian kewangan dan kecemerlangan universiti?

Bagaimana kita dapat menyediakan infrastruktur dan semua kemudahan kampus yang terbaik dan kondusif untuk sebuah komuniti keilmuan mengejar kecemerlangan yang diimpikan?

Terima kasih semua atas segala sumbangan dan bakti yang dicurahkan untuk universiti yang kita cintai ini. Semoga diberkati Allah SWT.

Selamat menyambut ulang tahun penubuhan ke 46 UKM. Dirgahayu UKM! Ayuh sederap kita mengungguli kecemerlangan! Salam hormat.

Assalamualaikum warga UKM yang saya hormati,

Menerima pelajar baharu adalah satu proses yang amat penting dalam perjalanan kita untuk menjadi sebuah universiti yang hebat dan disegani.  Pelajar adalah pemegang taruh utama dan strategik yang akan menentukan kejayaan kita. Kehadiran mereka amat penting dan bermakna buat kita semua.

Kita telah sedaya upaya melaksanakan proses pemilihan yang inovatif untuk memastikan pelajar yang terbaik dipilih. Seramai hampir 9,000 calon telah meletakkan UKM sebagai pilihan pertama mereka, tetapi sekitar 4,000 sahaja yang terpilih untuk mengikuti pengajian pra-siswazah mereka di UKM, antara universiti yang ulung di Malaysia.

Sekarang, kita menjemput mereka untuk menyertai perjalanan agung kita sebagai Pendaulat Amanah Negara yang Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan. Mereka menerima jemputan kita dengan penuh kegembiraan dan keghairahan, serta ternanti-nantikan episod istimewa dalam perjalanan hidup masing-masing. Ibu bapa, abang, kakak, adik, atuk, nenek, dan saudara mara, semua tumpang gembira. Kita mesti hargai kegembiraan ini dan memastikan keputusan mereka memilih UKM adalah tepat.

Alu-alukan kedatangan mereka dalam satu suara dan satu semangat! Galakkan mereka untuk berinteraksi dengan kita di universiti dan antara satu sama lain dengan berkongsi pandangan, harapan dan cita-cita. Pastikan mereka tahu status UKM sebagai salah sebuah universiti penyelidikan berprestij di Malaysia. Kongsi bersama mereka amanah, aspirasi, harapan dan cara UKM. Merekalah yang bakal menyinari persada dunia dan membawa nama UKM ke semua benua. Inilah pelajar yang dipilih oleh akademia UKM.

Setiap satu daripada kita memainkan peranan yang amat penting. Marilah kita semua bersama-sama membuat persediaan serapi mungkin. Setiap hari adalah hari yang berharga. Sediakan mereka untuk hadir ke kampus.

Saya harap, kita semua jelas dengan mesej hari pertama (Day One) UKM dan tanggungjawab masing-masing. InsyaAllah, kita akan menjadikan keseluruhan proses kemasukan pelajar baharu ini sebagai sesuatu yang bersejarah dan bitara sifatnya. Cara dan gaya unik UKM yang berimpak bagi menyediakan pelajar yang terhebat.

Pelajar hebat, disambut oleh akademia hebat, ditadbir oleh pentadbiran dan pelaksana hebat, didokong oleh alumni hebat dan pastinya menjadikan UKM sebuah universiti yang hebat.

Terima kasih semua dan selamat menyambut kehadiran pelajar baharu sesi akademik 2017/2018 dengan cara yang baharu.

Salam Hormat,

Profesor Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali  

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera,

Menjelang Syawal yang mulia ini, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga UKM yang akan meraikannya bersama keluarga dan sanak saudara serta rakan taulan yang tercinta.

Sayugiya, ingin saya mengingatkan, bersempena cuti sambutan perayaan yang panjang ini, marilah kita bersama-sama memastikan agar keselamatan pejabat dan kampus UKM dijaga dengan sebaik-baiknya.

Saya juga ingin berpesan kepada warga Universiti yang ingin pulang jauh ke kampung halaman untuk berhari raya bersama keluarga agar berhati-hati semasa memandu dan bersabar sehingga selamat sampai ke destinasi yang dituju.

Akhir kata, semoga kita semua dapat menyambut Hari Lebaran ini dengan penuh keinsafan dan mengukuhkan lagi tali silaturrahim antara kita bersama.

Salam Aidilfitri dari saya dan keluarga. Maaf zahir dan batin. Minal ‘Aidin Wal Faizin  Salam hormat.

13902698_1137401509649938_1431138468662736833_nAssalamualaikum semua Dekan, Pengarah, Pengetua, dan semua Warga UKM akademik, pentadbir dan staf sokongan yg amat saya hormati,

Sehari dua ini ramai anak muda, ibubapa, adik abang kakak yang bakal tersenyum girang menerima surat tawaran memasuki UKM. Pastinya ada yang melinang air mata dan melompat suka mendapat berita yang dinanti sekian lama.

Ada yang berlari kesawah, ke kedai, ke kebun, ada yang menanti kepulangan mak ayah dari laut, dari ladang, dari pejabat. Ada yang menadah berdoa buat mak ayah yang mungkin sudah tiada. Tak sabar menyampai berita ‘besar’, terkedu dalam hati mengenang hasrat yg telah pergi-mak ayah…saya dapat masuk UKM!

Soon in few weeks time they will be arriving to meet us in Bangi. Each new admission will add to the list of Warga UKM, and InsyaAllah soon Alumni Hebat UKM.

‘Day One’ kita hampir bermula. Hari pendaftaran pelajar baru is a VERY critical day for the students, their parents n families n MORE so for all of us.

Setiap mereka punya impian n harapan. Setiap mereka punya latar kehidupan masing-masing. Apa yang bakal kita sajikan pada pertemuan pertama dan diminggu-minggu awal dan seterusnya akan menyentuh hati sabubari para pelajar ini.

‘Lagu & Irama’ yang kita dendangkan akan menjadi sajian penting membentuk perspektif, tingkahlaku dan pemikiran dan kesediaan semua yang bakal menjengah.

Apa yang UKM tawarkan? Apa yang UKM harapkan? Apa yang UKM utamakan? Apa yang UKM impikan? Apa yang UKM nilaikan?

We all to receive them VERY soon. Let’s get ready. Bersedia dengan penuh kesungguhan dan azam. Kita ada amanah. Kita ada tanggungjawab. Marilah kita tunaikan dengan penuh semangat dan iltizam utk beri yang terbaik.

Ajak semua di PTJ masing-masing bersedia menyambut kumpulan ahli baru keluarga UKM yang besar ini dengan ‘lagu & irama’ yang sehati dan bersemangat. Bersedia menyambut kedatangan para pelajar serta ibubapa dan keluarga mereka. Kenali mereka sebelum mereka sampai ke UKM.

Welcome on board, menyertai misi besar kita selaku Pendaulat Amanah Negara.

iM4U Central dirasmikan oleh PM hari ini (10 April 2016). Anak muda adalah aset negara. Platform untuk remaja menyumbang melalui aktiviti kesukarelawanan dan pelbagai aktiviti lain yang bermanfaat.

UKM turut terlibat sama menjadi rakan strategik iM4U sebagai ‘outreach center’. Pelajar UKM sebahagian besarnya adalah remaja. Manfaatkan plaform iM4U ini sebanyak yang mungkin. Ingat metafor ‘payung merah’ UKM-bina kekuatan dan keunikan diri agar menjadi insan bernilai tinggi. Selain dari kecemerlangan akademik, siapakah diri anda?

Kita amat bangga dengan penglibatan mahasiswa UKM hari ini. Begitu terasa sekali kehadiran para pelajar UKM dalam majlis hari ini. Ramai yang menyampaikan rasa kagum lihat penampilan pelajar UKM yang begitu gah sekali. Nampak PM ‘happy’ dengan kehadiran UKM dalam majlis pagi ini dan juga kesungguhan kita turut serta mengukuhkan nilai siswazah UKM.

iM4U-1

Terima kasih semua yang menyumbang. Khususnya para pensyarah yang pekat darah ‘Pendaulat Amanah Negara’ dalam diri mereka. PM Dr Roslee, PM Dr Suzereen, PM Dato Dr Mad Hussin, Dr Aizat dan juga Prof Dato Aziah serta pegawai-pegawai HEPA yang gigih menyumbang.

Setiap kita boleh menyumbang dengan pelbagai cara. Universiti tempat untuk semua. Tampil dengan kekuatan masing-masing. Enam keberhasilan strategik kita-siswazah berkualiti, penyelidikan berimpak, jaringan strategik, warga dan institusi cemerlang, penjanaan yg kukuh dan infra yg hebat, memerlukan kita semua bergerak serentak. Ayuh, tampil, jadilah Warga UKM yang mengilham harapan dan mencipta masa depan. Universiti ini ada tanggungjawab. Silakan.

Setelah menjelajah ke 5 zon seluruh negara, Karnival Pendidikan Tinggi Negara 2016 (KPTN 2016) menutup tirainya di kampus UKM hari ini (3 April 2016). Program berjenama dan berimpak tinggi KPT dengan kerjasama semua IPT awam dan swasta dan agensi-agensi berkaitan. Jumlah pengunjung kesemuanya dijangka menjangkau 300 ribu kesemuanya. Saya pasti rakyat segenap lapisan menghargai dan memanfaatkan siri jelajah ini. Tahniah YB Dato Sri Idris Jusoh, kepimpinan KPT dan kesemua warga Pendidikan Tinggi Negara!

Pendidikan tinggi negara adalah tulang belakang pembangunan negara. Masyarakat berilmu adalah ramuan utama untuk meningkatkan pembangunan dan kesejahteraan dan kualiti kehidupan. Terima kasih pada semua pengunjung, para pelajar dan ibubapa yang berkunjung ke 6 siri jelajah KPTN 2016-Alor Star, Kuala Terengganu, Johor Bharu, Kota Kinabalu, Kuching dan hari ini Bangi.

KPTN-4 KPTN-3
KPTN-2 KPTN-1

Bertenaga sekali YB Dato Sri selaku ‘show anchor’ KPTN. Soaring Upwards-berkumandang seluruh negara. Riuh sekali setiap siri KPTN dengan laungan ‘Soaring Upwards’-janji untuk terus menjulang meningkatkan kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

UKM berterima kasih pada semua yang terlibat menjayakan majlis penutup ini dan juga sekitar 60 ribu pengunjung yang dijangka bertandang ke kampus hari Sabtu & Ahad.

Pada para pelajar yang akan memohon untuk kemasukan ke IPT Sesi 2016/17 ini, pastikan anda membuat keputusan yang sebaik mungkin. Dapatkan maklumat dan nasihat yang terbaik.

Saya dan Warga UKM amat mengalu-alukan saudara dan saudari untuk menyertai kami selaku Pendaulat Amanah Negara yang Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan. Sertailah Universiti Kebangsaan Malaysia dengan aspirasi yang hebat, bernilai tinggi dan komitment yang jitu untuk bersama mendokong misi universiti ini. Kami menanti saudara dan saudari September yang akan datang. Silakan!


(sumber: fb Noor Azlan Ghazali)

Alhamdullilah. Dua tugasan di Johor selesai hari ini (27 Mac  2016). Saya membentang pelaksanaan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri dan wakil-wakil Pegawai Daerah dan PBT negeri Johor.

Disebelah pagi saya sempat singgah ke SK Nam Heng di Ulu Tiram menjengah mahasiswa PERMAJ UKM menjalankan aktiviti kemasyarakatan. Tahniah PERMAJ.

Begitu tersentuh hati saya menyaksikan kegigihan Guru Besar Pn Hjh Rozita, YDP PIBG En Saadon dan guru-guru di sekolah berkenaan berusaha meningkatkan tahap pendidikan anak-anak komuniti ini yang agak jauh dari pembangunan. Sebuah sekolah dikelilingi ladang kelapa sawit mula beroperasi 1954. Masih jauh dalam konteks pembangunan.

Tanggungjawab siapa untuk membantu anak-anak dan masyarakat disini? Terusik hati saya melihat wajah ibubapa yang tampil menjadi keluarga angkat kepada hampir 30 pelajar UKM. Sekadar yang termampu mereka menyambut mahasiswa UKM dengan penuh riang dan harapan agar UKM akan tampil untuk meningkatkan kesejahteraan kehidupan mereka-pendidikan, kesihatan, peluang pendapatan, kerohanian, belia, komuniti, warga emas, keusahawanan, dll.

Kegiatan komuniti UKM mesti mensasarkan impak yang jelas. Komuniti ladang Nam Heng memerlukan kita-UKM-Pendaulat Amanah Negara yang Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan. Universiti yang dibina dengan aspirasi rakyat.

Saya paparkan 4 wajah anak-anak SK Nam Heng yang dengan yakin tampil ketika saya berbual mesra bertanyakan cita-cita dan harapan mereka:

1 2 3 4
MUHAMMAD IQBAL HAIQAL BIN ABU BAKAR MOHAMMAD AKMAL BIN AZMAN SITI NUR FITRI ATIQAH BINTI ABDULLAH NUR ALLYA ATIQAH BINTI SAWAL
10 tahun 9 tahun 7 tahun 9 tahun
cita-cita : polis cita-cita : polis cita-cita : doktor cita-cita: pilot

Saya gembira melihat senyuman dan tawa riang mereka menyambut UKM sampai ke kampung mereka tetapi hati saya kedu memikirkan bagaimana kesarjanaan UKM yang dibina 46 tahun lamanya mampu dimanfaatkan anak-anak dan komuniti ini. Kita ada keupayaan dan ruang untuk menyumbang.

Tampillah Warga UKM! Gerakkan tenaga agar kesarjanaan yang kita bina mampu meningkatkan kesejahteraan insan diluar sana. Kesejahteraan kehidupan adalah ukuran penting dalam menilai impak kesarjanaan kita.


(sumber: fb Noor Azlan Ghazali)

Kualiti siswazah UKM. Keberhasilan yang amat penting bagi kita.

KPT mempergiatkan lagi program CEO@Faculty dengan pengiktirafan keatas CEO yang terlibat untuk tahun 2015 dan penglibatan 31 lagi tokoh kepimpinan awam dan korporat. Interaksi mereka dengan warga kampus mampu meningkatkan kualiti hasilan universiti. YAB TPM tetamu istimewa majlis. UKM menerima 3 CEO Faculty yang baru; Tan Sri Dr Irwan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Dato Izaddin, UEM Bhd, n Mr Leonard, CCM Bhd. Nantikan program yang bakal diatur. Welcome on board!

ceo-michelaCEO@Faculty UKM, Ms Michaela, Novartis dianugerah sebagai antara 3 CEO yang paling aktif utk tahun 2015. Congratulation Michaela n urus setia yang terlibat.

‘Payung Merah’ menjadi metafor untuk semua pelajar UKM untuk berusaha meningkatkan kualiti diri masing-masing. Lebih dari menimba ilmu bidang, semua mesti berusaha meningkatkan kualiti, nilai dan kompetensi diri. Di mana Payung Merah anda?

Saya berkesempatan singgah berkongsi aspirasi dengan pensyarah Fakulti Undang-Undang dan meninjau ruang Koleksi YM Raja Aziz Adrusse yang hampir siap dibina di Perpustakaan FUU. Koleksi bernilai tinggi hampir 6,000 naskah!

ceo-fsskKemudiannya bersama pelajar mengikuti program Insan Budiman-program khusus untuk pelajar FSSK meningkatkan dayasaing. Melakonkan watak secara spontan meningkatkan kreativiti dan keyakinan diri pelajar. Singgahlah ke FSSK setiap Rabu petang-jenguk-jenguk program Insan Budiman. Tahniah FSSK!

Sambil-sambil sempat juga membeli dadih dari sekumpulan pelajar FSSK yang menjalankan program keusahawanan. Sebelum ini makan hasil bakery mantan pelajar yang mengikuti program keusahawanan CESMED di ruang pelajar FST. Kedua-duanya sedap-boleh cuba lagi!

ceo-sispaMenarik dapat berinteraksi dengan Majlis Tertinggi Kor Sispa UKM. Hampir 200 pelajar menganggotai SISPA. Kemahiran menyelamat dan bertindak ketika kecemasan dan bencana satu keistimewaan pada kadet SISPA. Menarik mendengar pengalaman pelajar yang mengikuti program lawatan ke Jepun melihat dan mempelajari bagaimana negara Jepun begitu bersedia, berdisiplin dan berpengetahuan dalam menghadapi bencana. Itu Payung Merah!

Istimewa sekali hari ini (14 Mac 2016)! Hampir 3 jam saya ‘menjelajah’ kampus dari Bangunan Kimia FST menyusuri Alur Ilmu, melalui DAM, Pusat Kuantitatif, Perpustakaan Tun Sri Lanang, Pusanika, FSSK hinggalah balik ke Canselori semula.

Memang boleh buat program ‘treasure hunt’ kampus kita. Memang unik kampus kita ini, dibina dan disusun sedemikian rupa agar kita semua boleh berjalan kaki dari FPI hinggalah ke Bangunan Kimia FST, tak kena hujan dan panas!

Sambil-sambil saya menjengah kuliah yang sedang berjalan, makmal, pejabat, bilik siswazah dan bertemu pensyarah muda, kepimpinan Persatuan Pelajar FST, pelajar-pelajar yang sedang berbincang dan bersantai. Kiranya ala terjah saja! Ooops maaf sekiranya mengganggu.

Pada pelajar-di mana ‘payung merah anda?’ Nasihat saya gunakan sepenuh masa kehidupan di kampus untuk menimba ilmu dan juga meningkatkan kualiti, kompetensi dan nilai diri. Libatkan diri dengan pelbagai aktiviti di kampus. Macam-macam ada! Semua mesti bersiap sedia berhadapan dengan persaingan di luar sana.

14 Mac 2016-Lawatan Naib Canselor ke Fakulti Sains dan Teknologi. (sumber:fb Noor Azlan Ghazali) ukm-2 14 Mac 2016-Lawatan Naib Canselor ke Fakulti Sains dan Teknologi. (sumber:fb Noor Azlan Ghazali)

Seronok dan ada kepuasan yang berbeza bertemu warga UKM sebegini santai. Beberapa minggu yang lalu saya ke Kejuruteraan dan Ekonomi & Pengurusan. InsyaAllah, saya dan rakan-rakan Canselori akan tingkatkan lagi pertemuan sebegini.

Terima kasih semua Warga Akademik dan pelajar yang saya temui hari ini. Tahniah saya ucapkan atas kesungguhan semua menjayakan diri dan universiti kita ini.

Jumpa lagi, insyaAllah.


(sumber: fb Noor Azlan Ghazali)

Terkedu hati saya menyaksikan YAB PM melancarkan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor. Satu tugasan yang diamanahkan oleh YAB Menteri Besar Johor. Pelan yang di garab hasil kepakaran perunding UKM.

johor-5 johor-1 johor-2

Pelan ini mensasarkan kemuafakatan bagi mewujudkan kesaksamaan pembangunan diseluruh negeri Johor. Pertumbuhan bakal digerakkan berdasarkan kekuatan daerah. UKM akan terus memastikan masyarakat memanfaatkan kepakaran yang terkumpul. Fasa pelaksanaan seterusnya memerlukan lebih ramai Warga UKM menyumbang kepakaran termasuk juga mahasiswa. PERMAJ akan turut sama tampil menyumbang.

Inilah Pendaulat Amanah Negara yang Mengilhamkan Harapan Mencipta Masa Depan. Tahniah buat Johor Darul Takzim. InsyaAllah, Johor bakal muncul sebagai kuasa ekonomi negara (economic powerhouse) dengan cara tersendiri-cara Johor-the Johor Way-kata PM.

Setinggi terima kasih kepada kepimpinan negara dan negeri serta keseluruhan rakyat Johor yang memberi kepercayaan pada UKM.


sumber:fb Noor Azlan Ghazali

bicaraperdana-1

Alhamdullilah, Bicara Perdana NC:UKM Sederap Menungguli Kecemerlangan selesai dilaksanakan. Setinggi terima kasih pada semua yg bertungkus lumus membuat persediaan dan juga semua yg sudi hadir bersama.

Ke manakah kita Warga UKM? Universiti yg kita banggakan ini dengan pelbagai kejayaan yang saya kongsikan, insyaAllah, akan terus menyinar dan cemerlang sekiranya kita sederap dan sejelekit bersama ‘mengungguli’ kecemerlangan. Kita perlu melangkah dari kelaziman kearah mengungguli kecemerlangan-menawarkan sesuatu yang berbeza, unik dan bernilai tinggi.

Semua ada peranan. Seazam kita semua menjulang nama baik universiti kebangsaan ini.

kpt-1Majlis Ramah Mesra YB Menteri dengan kepimpinan mahasiswa institusi pengajian tinggi (universiti awam dan swasta) di UKM hari ini (1 Mac 2016). Terima kasih kepimpinan KPT dan IPT dan semua Mahasiswa yg hadir menjayakan majlis.

Dengan gaya bersahaja YB Menteri berkongsi misi dan aspirasi pendidikan tinggi negara. Banyak ‘mesej besar’ disampaikan. Soaring Upwards bergema dalam DECTAR. Cabaran buat semua Warga Pendidikan Tinggi untuk melaksanakan 10 anjakan PPM (PT). InsyaAllah, kita akan laksanakan dengan penuh komitment dan akauntabiliti.

Tahniah pada semua kepimpinan mahasiswa.UKM berbangga dengan Sdra Farhan dan PMUKM yang begitu berwibawa. Setinggi terima kasih kepada Warga UKM dan KPT yg menyumbang tenaga bersama menjayakan majlis hebat ini.

UKM Pendaulat Amanah Negara yang Mengilham Harapan dan Mencipta Masa Depan.

Assalamualaikum dan salam sejahtera Warga UKM,

Selamat menyambut ulang tahun ke 45 Universiti Kebangsaan Malaysia.

Marilah kita semua mensyukuri penubuhan universiti yang kita cintai ini. Marilah kita menanam azam setinggi gunung untuk terus memberi yang terbaik bagi menjulang nama baik universiti ini.

18 Mei, 1970, impian segenap lapisan masyarakat dijelmakan. Gegaran penubuhan UKM terasa diseluruh pelusuk negara. Tidak dapat digarab dengan perkataan apa yang terdetik di sanubari setiap rakyat disaat penubuhan UKM 45 tahun yang lalu. Harapan yang begitu tinggi. Hampir separuh isi rumah negara pada ketika itu masih bergelumang dengan kemiskinan, mengharapkan kehidupan yang lebih selesa. Malaysia meletakkan harapan yang tinggi keatas UKM untuk mencorakkan masa depan negara. Membina kesarjanaan yang memanfaatkan semua.

Warga UKM yang saya hormati, marilah kita mendukung citra penubuhan universiti ini, menjadi Pendaulat Amanah Negara. Universiti yang membawa negara ini dan rakyatnya maju kehadapan dengan kersarjanaan yang disegani dan dihormati. Universiti yang Mengilham Harapan dan Mencipta Masa Depan yang gemilang untuk semua.

Ukurlah kejayaan kita merealisasikan amanah dan misi ini dalam setiap tindakan kita. Sejauh mana amanah negara telah kita tunaikan? Sebanyak manakah harapan yang telah kita ilhamkan? Apakah masa depan yang telah kita ciptakan? Ini tanggungjawab kita semua yang bergelar Warga UKM. Bukan calang-calang amanah dan misi yang kita dukung. Berat sekali, namun insyaAllah dapat kita tunaikan kiranya kita laksanakan bersama.

45 tahun telah mendewasakan UKM. Amanah dan harapan negara perlu ditafsir seiring dengan cabaran semasa dan mendatang. Tahap sosio-ekonomi yang lebih tinggi, keperluan dan kehendak masyarakat yang lebih canggih, lanskap persekitaran dan persaingan yang lebih getir memerlukan kita semua bersedia dan berani untuk membuat perubahan dan memikul tanggungjawab baru yang umumnya lebih mencabar.

Banyak kelaziman yang terbina perlu dinilai dan dicorakkan semula. Kita mesti memastikan UKM terus relevan, dirujuk dan dihormati kewibawaannya. Menjadi pencetus, peneraju dan pendorong untuk seluruh negara berganjak ke era pembangunan yang baru.

Kekuatan setiap warga perlu digembeling bersama sebanyak yang mungkin. Kita perlu tingkatkan integrasi ilmu, kepakaran dan kesarjanaan merentasi disiplin bagi mencipta penyelesaian yang bermakna dan tawaran yang bernilai tinggi. Kita perlu struktur pengoperasian yang menggalakkan integrasi ini. Kita mesti meletakkan penghasilan impak yang tinggi untuk semua pemegang taruh. Mencabar kelaziman secara sistematik dengan daya inovasi dan kreativiti yang tinggi perlu menjadi lumrah dikalangan kita. Enam (6) keberhasilan strategik yang digariskan menjadi teras kepada tindakan-tindakan kita.

Sama-samalah kita menjayakan universiti ini. Kepada Allah SWT kita berharap dan mendoakan agar UKM terus berdiri gagah, cemerlang dan memberi manfaat kepada semua.

Terima kasih dan salam saya pada semua Warga UKM, yang dahulu dan semasa. Selamat menyambut ulang tahun ke 45 UKM. Semoga diberkati Allah SWT semuanya.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Warga UKM yang dihormati,

Pada kesempatan ini, saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh warga UKM. Bagi setiap umat Islam, saya pasti kita berasa sebak kerana Ramadhan yang penuh rahmat, keampunan dan kebebasan daripada siksaan hampir meninggalkan kita. Kita hanya mampu berdoa, semoga Allah menerima segala amal kebaikan yang kita lakukan.

Ramadhan adalah suatu tempoh ujian yang mendidik kita semua untuk memperkukuh iman dan memperkasa taqwa. Keprihatinan terhadap yang lemah, kesuburan semangat untuk memberi, ketinggian iltizam mempertingkat ibadah dan kesabaran menempuh cabaran telah menjadikan kita terus utuh sebagai petugas di universiti. Sepanjang sebulan Ramadhan. dengan penuh kesedaran, tanggungjawab terus dilaksanakan tanpa berkurang sedikit pun. Malah kita terus menggerakkan universiti dengan memastikan terbentuk kesempurnaan pada tahap yang lebih tinggi.

Kini, Eidul Fitri menjelang tiba. Kegembiraan kita bukan kerana sudah melepasi kesukaran ujian Ramadhan, tetapi justeru kita merasakan kita kini kembali kepada fitrah yang menjadikan kita lebih pasrah dan tunduk kepada tuntutan Ilahi. Semoga acuan yang terbentuk dalam diri hasil didikan Ramadhan, terus kukuh untuk dizahirkan dalam kehidupan kita yang seterusnya.

Marilah kita meraikan Eidul Fitri ini dengan bertasbih, bertahmid dan bertakbir sebagai tanda kesyukuran di atas nikmat yang dianugerahkan Allah dalam pelbagai bentuknya. Pereratkan tali silaturrahim, perteguhkan ikatan kekeluargaan dan perkukuhkan persahabatan dengan melebarkan kasih sayang.

Saya juga menyeru seluruh warga universiti, berhati-hati dalam perjalanan ke kampung halaman. Bagi saya, pulang ke kampung halaman ibarat kembali kepada akar jati diri kita. Di situlah kita berasal dan dengan kesedaran itu pulanglah ke kampus dengan semangat yang berkobar-kobar untuk menabur bakti dan menggalas tanggungjawab membela agama, masyarakat dan negara. Ini amatlah sesuai dengan gagasan kita UKM Pendaulat Amanah Negara. Semoga kita bertemu lagi dengan semangat dan harapan yang baharu, menjana kecemerlangan berterusan untuk universiti tercinta demi negara yang disanjungi.

Sekian, terima kasih.
Salam hormat,
Noor Azlan Ghazali
Bertarikh 14 Julai 2014/27 Ramadhan 1436H

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Salam Pendaulat Amanah Negara,

Saudara dan saudari Warga UKM yang amat saya hormati,

1 September 2015. Tarikh istimewa buat semua kita warga UKM. Kepada pelajar prasiswazah baharu yang akan  mendaftar untuk Sesi 2015/16, juga pelajar siswazah yang baru mendaftar, selamat datang dan setinggi-tinggi tahniah diucapkan. Saudara dan saudari adalah sekumpulan kecil yang terpilih daripada puluhan ribu yang mengimpikan tempat untuk menjadi mahasiswa UKM. Saudara dan saudari memilih dan dipilih untuk bersama-sama saya dan seluruh warga UKM bagi memikul amanah besar selaku Pendaulat Amanah Negara. Kita Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan untuk Malaysia dan masyarakat sejagat.

Saudara dan saudari adalah insan bertuah kerana bakal menyertai hampir 34,000 warga UKM semasa (sekitar 24,000 pelajar, 2,000 ahli akademik dan 8,000 pentadbir serta staf pelaksana) dan seramai sekitar 170,000 alumni UKM yang kini berada di serata tempat dalam dan luar negara, mencurah bakti dan menyumbang jasa demi kesejahteraan dan kemakmuran Malaysia, menyubur kehidupan sejagat.

Sebagai Pendaulat Amanah Negara, setiap insan yang bergelar warga UKM pastinya sentiasa bermatlamatkan misi untuk mencapai kecemerlangan yang memanfaatkan kerjaya diri dan semua pihak di sekeliling kita. Ibu bapa, ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga, masyarakat, rakyat dan negara semuanya menaruh harapan ke atas kita warga UKM. Kita akan bersama-sama mengerah daya mengilham harapan, mencipta masa depan agar kehidupan kini dan mendatang lebih makmur dan berkualiti.

1 September 2015 pastinya bertambah istimewa dengan kita selaku rakyat Malaysia baharu sahaja menyambut Hari Kebangsaan 2015, genapnya tanah air tercinta  merdeka selama 58 tahun. Mana mungkin sebuah Universiti Kebangsaan terpisah dengan Hari Kebangsaan. Tiga belas tahun selepas kemerdekaan, 18 Mei 1970,  impian melihat tertubuhnya sebuah Universiti  Kebangsaan terlaksana. Denyutan kemerdekaan ini sentiasa tersemat disetiap sanubari warga UKM.

Kini 45 tahun sudah perjalanan UKM. Mana mungkin universiti ini tidak menjunjung dan memegang kuat amanah yang dimandatkan rakyat dan negara sebagai sebuah gedung ilmu kebangsaan yang menjadi pencetus kecemerlangan buat agama, bangsa dan negara. UKM Sehati Sejiwa dengan Malaysia. Universiti Kebangsaan Malaysia, sejarah penubuhannya begitu hebat, seiring kegetiran menuntut kemerdekaan tanahair.

Perjalanan kita selama 45 tahun yang lalu padat dengan pengalaman berharga dan liku-liku yang mencabar. Perjalanan seterusnya  semakin getir dengan persekitaran yang semakin kompleks, ‘very demanding’ sifatnya. Semoga perayaan kemerdekaan ini memberi nafas baru dan semangat yang lebih kuat untuk kita terus berusaha. Tiada rintangan yang menghalang perjalanan kita yang tidak dapat kita rentasinya. Sehati sejiwa kita bergerak ke hadapan.

Seperti semua warga UKM yang lain, saudara dan saudari mahasiswa UKM yang baharu peganglah dua perenggan lirik lagu Varsiti Kita yang berikut dengan kemas:

Inilah Varsiti kita
Ditengahkan hasrat rakyat kita
Dari mula untuk semua
Bagai tanda perjuangan kita

Bangun berbakti membela
Memupuk insan jiwa bertakwa
Memimpin manusia semua
Kenal akan adat unggulnya
Membina negara sentiasa
Maju berilmu dan bahagia

Disinilah tapak untuk saudara dan saudari bermula dalam melakar perjalanan seterusnya selaku warga UKM. Kecemerlangan kita mesti diukur bukan sahaja atas kemajuan diri sendiri tetapi sejauh mana kecemerlangan ini dapat dikecapi oleh semua pihak di sekeliling kita.

Manfaatkan peluang yang amat istimewa ini, jadilah seorang mahasiswa yang cemerlang, berdaya saing, bertanggung jawab dan beretika. InsyaAllah, saya dan seluruh warga UKM akan memberi yang terbaik buat saudara dan saudari. Bermula hari ini, saudara dan saudari adalah warga UKM. Kita adalah satu pasukan yang akan sama-sama merealisasikan kecemerlangan yang diimpikan dan menggalas mandat selaku Pendaulat Amanah Negara yang Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan.

Kepada semua warga UKM, selamat menyambut Hari Kebangsaan 2015 dan marilah kita bersama-sama meneruskan usaha untuk menzahirkan UKM sebagai sebuah universiti yang dihormati dan disegani kecemerlangannya. Selamat memulakan Sesi Pengajian 2015/2016.

Bagi saudara dan saudari mahasiwa baharu UKM, sekali lagi setinggi-tinggi tahniah, selamat menuntut ilmu dan berikan yang terbaik demi membina sahsiah dan minda yang hebat.

Selamat datang dan terima kasih kerana memilih Universiti Kebangsaan Malaysia. Saya doakan keberkatan Allah SWT jua buat kita semua.

Sekian, terima kasih.
Salam hormat,

Noor Azlan Ghazali
Bertarikh: 1 September 2015/17 Zulkaedah 1436H

konvo ukm 43

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Warga UKM yang dihormati,

Mulai hari ini, kampus diwarnai dengan suasana keceriaan, menjelang Majlis Konvokesyen ke-43. Lebih 5,000 graduan akan menerima ijazah masing-masing di samping UKM menganugerahkan gelaran akademik berprestij kepada beberapa tokoh yang berjasa besar, dalam pembinaan dan pengembangan ilmu bidang tertentu. Pelbagai kejayaan dipaparkan dan diceritakan kepada para pengunjung, ibu bapa dan para pemegang taruh. Apa ertinya semua ini kepada kita, warga UKM yang bestari?

Bagi kepimpinan Universiti, ini adalah petunjuk kepada segala komitmen dan iltizam kita selama ini, yang telah memerah seluruh potensi dan kebijaksanaan, melahirkan daya sumber insan yang kita letakkan harapan, bagi mereka meneruskan proses pembangunan tanah air, dengan misi segar sebagai pembangun yang telah disuburkan dalam jiwa.

Kita telah mendidik mereka untuk muncul sebagai penerus, malah peneraju kepada inovasi baharu dalam pelbagai bidang dan dimensi, untuk membawa negara kepada tahap lebih cemerlang dan dihormati. Bagi graduan dari luar negara, pastinya pencapaian mereka turut menjadi kebanggaan UKM, kerana kita adalah sebahagian daripada kegemilangan yang mereka persembahkan buat negara mereka.

Namun demikian, di sebalik kegembiraan itu, ada isyarat-isyarat tertentu yang perlu dikesan. Antaranya, ribuan pemburu pekerjaan dengan syarat kelayakan yang tidak kurang daripada graduan kita, sedang berlumba dan bersaing.

Pelbagai cabaran dan tuntutan para pemegang taruh ke atas graduan yang dihasilkan. Banyak ungkapan yang kadangkala sangat sinikal, mempersoal kerelevanan program pendidikan tinggi dengan keperluan kontemporari. Ada rungutan terhadap ketidakupayaan graduan berkomunikasi dan berbahasa dunia dengan berkesan, serta kedangkalan ketrampilan dalam menganalisis dan mengolah persoalan semasa, secara berperspektif.

Ini bagi saya adalah antara cabaran perdana yang tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja. Kita harus bersedia mendengar daripada sesiapa sahaja asalkan kita dengan terbuka mahu melakukan perubahan. Kita tidak perlu mengambil sikap apologetik dan memperlihatkan sindrom penafian. Yang terpenting adalah kesungguhan seluruh warga universiti memikul tanggungjawab negara, melahirkan insan sempurna beraspirasi kebangsaan, kompeten, memiliki ketrampilan bersaing dan sentiasa berupaya berfikir dengan pendekatan baharu dalam situasi yang memerlukannya bertindak sedemikian.

Justeru, saya mengajak seluruh warga Universiti untuk sama-sama berbangga atas  kejayaan hasil didikan yang diterapkan. Maka, luangkanlah waktu menghadiri sidang Majlis Konvokesyen berkaitan, bertemu mereka, mengucapkan tahniah dan mendoakan kejayaan mereka berhadapan cabaran masa mendatang. Pengurusan juga berharap warga Universiti dapat sama-sama menunjukkan penghargaan terhadap kreativiti para pelajar yang disinergi menghidupkan buat pertama kalinya Karnival Konvokesyen dengan paparan dan persembahan yang berbeza daripada konvensional.

Selamat meraikan Majlis Konvokesyen ke-43, kerana majlis ini adalah cerminan perjuangan kita bersama.

Sekian, salam hormat.

Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali
Bertarikh: 29 Oktober 2015/16 Muharam 1437H

Selamat Menyambut Tahun Baharu 2016 Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, Warga UKM yang dikasihi sekalian, Kini, kita sudah berada di ambang 2016. Setahun yang dilalui sepanjang 2015, diwarnai pelbagai peristiwa, pencapaian, kejayaan dan cabaran. Semuanya menjadi ramuan untuk kita terus mendewasa sebagai warga sebuah universiti agung bangsa dan watan ini. Kita melangkah masuk 2015 dengan pengukuhan enam keberhasilan strategik utama (6 KRA) sebagai kerangka gerak azam Pendaulat Amanah Negara. Kita mengakar dan merimbunkannya ke seluruh kampus di semua pringkat untuk membolehkan UKM terus menyediakan tawaran bernilai tinggi, unik dan dapat dibezakan kehebatannya, memenangi persaingan di persada kebangsaan dan antarabangsa. Keseiringan kita, walau apa jua peranan yang diamanahkan, adalah ramuan yang amat penting untuk membolehkan UKM terus bergerak pantas. Pasak kepada semua usaha ini ialah pemahaman dan penghayatan kita akan satu persoalan utama- ‘Mengapa UKM’? Apakah harapan negara, rakyat, golongan akademia, sektor awam dan swasta, serta masyarakat sejagat terhadap kita? Bagaimanakah kita dinilai dan dihargai oleh setiap pemegang taruh ini? Setiap langkah yang kita ambil dalam pengajaran, penyelidikan, perkhidmatan dan pengoperasian universiti ini mesti didahului dengan pasak yang kukuh bagaimana hasilnya kelak menjawab persoalan ‘Mengapa UKM’? Tahun 2015 menyaksikan pelbagai kejayaan yang mengharumkan nama universiti. Seluruh warga berasa bangga dan sama-sama meraikannya. Setiap pencapaian adalah inspirasi untuk menyemarakkan dorongan menggapai kejayaan oleh warga yang lain. Menakkuli semua kejayaan tersebut, saya mengajak seluruh warga untuk terus berusaha meraih kejayaan yang lebih banyak, signifikan dan berimpak tinggi, agar UKM terus kekal relevan dan dihargai. Impak kesarjanaan kita perlu dirasai oleh semua. UKM mesti mendahului masyarakat dan zamannya. Mengilham harapan, mencipta masa depan. Itu gagasan kita. Kualiti pendidikan tinggi adalah antara pengukur utama kejayaan mentransformasikan negara. Pelan Pembangunan Pendidikan (Pengajian Tinggi) yang dilancarkan pada April 2015 menggariskan teras-teras utama lonjakan pengajian tinggi negara. Kita telah melaksanakan pemetaan agar 6 KRA UKM menepati wawasan negara ini. Sebagai Pendaulat Amanah Negara, UKM perlu menjadi penggerak utama kepada inisiatif mentransformasikan negara. Kita mesti menjuarai cabaran-cabaran utama negara untuk menjayakan proses transformasi ini. UKM mesti menjuarai. Kita akan menggerakkan initiatif Cabaran Perdana bagi menjadikan UKM sebagai penyelesai permasalahan negara dan global yang menjadi rujukan dan dihormati. Kejayaan negara mesti dirasai dan dapat disertai semua. Masyarakat di luar sana meletakkan harapan yang tinggi keatas UKM untuk menjadi suara menzahirkan keresahan mereka dengan pelbagai isu dan persoalan yang menggugat kelangsungan negara, medan memunculkan inovasi dan kreativiti baharu, wadah menyelesaikan permasalahan serta institusi contoh yang memancarkan keunggulan nilai murni dan integriti. Dalam masa yang sama, universiti juga dinilai masyarakat sejagat. Kedudukan UKM dalam senarai penarafan universiti dunia perlu kita perkukuhkan sebaik yang mungkin. Ini adalah realiti persaingan hari ini. Kita perlu bergerak secara strategik, memenuhi tuntutan global tanpa menjejaskan tanggungjawab terhadap matlamat penubuhan kita. Kita harus meneliti dan menentukan rentak dan gerak yang perlu diambil bagi memastikan universiti ini terus berada pada kedudukan yang membanggakan negara. Setiap Warga UKM ada peranan dalam menjayakan misi mengukuhkan penarafan ini. Tampil dengan penuh tanggungjawab dan kesungguhan untuk kita melonjakkan kedudukan global ini. Tahun hadapan akan menyaksikan lebih banyak tuntutan yang harus dipenuhi. Kesediaan dan keupayaan kita untuk berinovasi, bergerak atas model baharu perlu ditingkatkan. Teruskan citra mencabar kelaziman yang kita semai demi mencapai tahap yang lebih hebat. Garapkan sesuatu yang luar dari kebiasaan. Galakkan eksperimentasi idea baharu. Kita memasuki tahun 2016 dengan semangat, kesefahaman dan sasaran yang dipersetujui bersama. Pastikan sasaran dan tindakan jelas pada semua. Seluruh warga di pelbagai peringkat perlu lebih berdedikasi, lebih kreatif, mencipta inovasi dan berfikir secara strategik bagi merealisasikan sasaran ini. Justeru, pada penghujung 2015 ini, saya mengajak seluruh warga universiti untuk bergerak sederap dengan penuh tekad, menuju destinasi yang pasti berlandas misi suci UKM mengolah kejayaan untuk membina kemakmuran dan kelangsungan negara yang lebih teguh dan utuh pada 2016 nanti. Saya dan rakan-rakan pengurusan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua atas segala sumbangan menjayakan 2015. Semoga apabila kita melangkah pada hari pertama 2016, kita lebih bersemangat, berkeazaman dan beriltizam melonjakkan UKM kepada kedudukan jauh lebih tinggi daripada tahap yang ada sekarang. Selamat Tahun Baharu 2016. Salam hormat, Noor Azlan Ghazali Bertarikh 31 Disember 2016 / 19 Rabiulawal 1437H