Pejabat Naib Canselor

 

Selamat Meraikan Majlis Konvokesyen ke-43

konvo ukm 43

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Warga UKM yang dihormati,

Mulai hari ini, kampus diwarnai dengan suasana keceriaan, menjelang Majlis Konvokesyen ke-43. Lebih 5,000 graduan akan menerima ijazah masing-masing di samping UKM menganugerahkan gelaran akademik berprestij kepada beberapa tokoh yang berjasa besar, dalam pembinaan dan pengembangan ilmu bidang tertentu. Pelbagai kejayaan dipaparkan dan diceritakan kepada para pengunjung, ibu bapa dan para pemegang taruh. Apa ertinya semua ini kepada kita, warga UKM yang bestari?

Bagi kepimpinan Universiti, ini adalah petunjuk kepada segala komitmen dan iltizam kita selama ini, yang telah memerah seluruh potensi dan kebijaksanaan, melahirkan daya sumber insan yang kita letakkan harapan, bagi mereka meneruskan proses pembangunan tanah air, dengan misi segar sebagai pembangun yang telah disuburkan dalam jiwa.

Kita telah mendidik mereka untuk muncul sebagai penerus, malah peneraju kepada inovasi baharu dalam pelbagai bidang dan dimensi, untuk membawa negara kepada tahap lebih cemerlang dan dihormati. Bagi graduan dari luar negara, pastinya pencapaian mereka turut menjadi kebanggaan UKM, kerana kita adalah sebahagian daripada kegemilangan yang mereka persembahkan buat negara mereka.

Namun demikian, di sebalik kegembiraan itu, ada isyarat-isyarat tertentu yang perlu dikesan. Antaranya, ribuan pemburu pekerjaan dengan syarat kelayakan yang tidak kurang daripada graduan kita, sedang berlumba dan bersaing.

Pelbagai cabaran dan tuntutan para pemegang taruh ke atas graduan yang dihasilkan. Banyak ungkapan yang kadangkala sangat sinikal, mempersoal kerelevanan program pendidikan tinggi dengan keperluan kontemporari. Ada rungutan terhadap ketidakupayaan graduan berkomunikasi dan berbahasa dunia dengan berkesan, serta kedangkalan ketrampilan dalam menganalisis dan mengolah persoalan semasa, secara berperspektif.

Ini bagi saya adalah antara cabaran perdana yang tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja. Kita harus bersedia mendengar daripada sesiapa sahaja asalkan kita dengan terbuka mahu melakukan perubahan. Kita tidak perlu mengambil sikap apologetik dan memperlihatkan sindrom penafian. Yang terpenting adalah kesungguhan seluruh warga universiti memikul tanggungjawab negara, melahirkan insan sempurna beraspirasi kebangsaan, kompeten, memiliki ketrampilan bersaing dan sentiasa berupaya berfikir dengan pendekatan baharu dalam situasi yang memerlukannya bertindak sedemikian.

Justeru, saya mengajak seluruh warga Universiti untuk sama-sama berbangga atas  kejayaan hasil didikan yang diterapkan. Maka, luangkanlah waktu menghadiri sidang Majlis Konvokesyen berkaitan, bertemu mereka, mengucapkan tahniah dan mendoakan kejayaan mereka berhadapan cabaran masa mendatang. Pengurusan juga berharap warga Universiti dapat sama-sama menunjukkan penghargaan terhadap kreativiti para pelajar yang disinergi menghidupkan buat pertama kalinya Karnival Konvokesyen dengan paparan dan persembahan yang berbeza daripada konvensional.

Selamat meraikan Majlis Konvokesyen ke-43, kerana majlis ini adalah cerminan perjuangan kita bersama.

Sekian, salam hormat.

Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali
Bertarikh: 29 Oktober 2015/16 Muharam 1437H