Pejabat Naib Canselor

 

Bicara NC > Selamat Menyambut Tahun Baharu 2016

Selamat Menyambut Tahun Baharu 2016

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Warga UKM yang dikasihi sekalian,

Kini, kita sudah berada di ambang 2016. Setahun yang dilalui sepanjang 2015, diwarnai pelbagai peristiwa, pencapaian, kejayaan dan cabaran. Semuanya menjadi ramuan untuk kita terus mendewasa sebagai warga sebuah universiti agung bangsa dan watan ini.

Kita melangkah masuk 2015 dengan pengukuhan enam keberhasilan strategik utama (6 KRA) sebagai kerangka gerak azam Pendaulat Amanah Negara. Kita mengakar dan merimbunkannya ke seluruh kampus di semua pringkat untuk membolehkan UKM terus menyediakan tawaran bernilai tinggi, unik dan dapat dibezakan kehebatannya, memenangi persaingan di persada kebangsaan dan antarabangsa. Keseiringan kita, walau apa jua peranan yang diamanahkan, adalah ramuan yang amat penting untuk membolehkan UKM terus bergerak pantas.

Pasak kepada semua usaha ini ialah pemahaman dan penghayatan kita akan satu persoalan utama- ‘Mengapa UKM’? Apakah harapan negara, rakyat, golongan akademia, sektor awam dan swasta, serta masyarakat sejagat terhadap kita? Bagaimanakah kita dinilai dan dihargai oleh setiap pemegang taruh ini? Setiap langkah yang kita ambil dalam pengajaran, penyelidikan, perkhidmatan dan pengoperasian universiti ini mesti didahului dengan pasak yang kukuh bagaimana hasilnya kelak menjawab persoalan ‘Mengapa UKM’?

Tahun 2015 menyaksikan pelbagai kejayaan yang mengharumkan nama universiti. Seluruh warga berasa bangga dan sama-sama meraikannya. Setiap pencapaian adalah inspirasi untuk menyemarakkan dorongan menggapai kejayaan oleh warga yang lain. Menakkuli semua kejayaan tersebut, saya mengajak seluruh warga untuk terus berusaha meraih kejayaan yang lebih banyak, signifikan dan berimpak tinggi, agar UKM terus kekal relevan dan dihargai. Impak kesarjanaan kita perlu dirasai oleh semua. UKM mesti mendahului masyarakat dan zamannya. Mengilham harapan, mencipta masa depan. Itu gagasan kita.

Kualiti pendidikan tinggi adalah antara pengukur utama kejayaan mentransformasikan negara. Pelan Pembangunan Pendidikan (Pengajian Tinggi) yang dilancarkan pada April 2015 menggariskan teras-teras utama lonjakan pengajian tinggi negara. Kita telah melaksanakan pemetaan agar 6 KRA UKM menepati wawasan negara ini. Sebagai Pendaulat Amanah Negara, UKM perlu menjadi penggerak utama kepada inisiatif mentransformasikan negara. Kita mesti menjuarai cabaran-cabaran utama negara untuk menjayakan proses transformasi ini. UKM mesti menjuarai. Kita akan menggerakkan initiatif Cabaran Perdana bagi menjadikan UKM sebagai penyelesai permasalahan negara dan global yang menjadi rujukan dan dihormati.

Kejayaan negara mesti dirasai dan dapat disertai semua. Masyarakat di luar sana meletakkan harapan yang tinggi keatas UKM untuk menjadi suara menzahirkan keresahan mereka dengan pelbagai isu dan persoalan yang menggugat kelangsungan negara, medan memunculkan inovasi dan kreativiti baharu, wadah menyelesaikan permasalahan serta institusi contoh yang memancarkan keunggulan nilai murni dan integriti.

Dalam masa yang sama, universiti juga dinilai masyarakat sejagat. Kedudukan UKM dalam senarai penarafan universiti dunia perlu kita perkukuhkan sebaik yang mungkin. Ini adalah realiti persaingan hari ini. Kita perlu bergerak secara strategik, memenuhi tuntutan global tanpa menjejaskan tanggungjawab terhadap matlamat penubuhan kita. Kita harus meneliti dan menentukan rentak dan gerak yang perlu diambil bagi memastikan universiti ini terus berada pada kedudukan yang membanggakan negara. Setiap Warga UKM ada peranan dalam menjayakan misi mengukuhkan penarafan ini. Tampil dengan penuh tanggungjawab dan kesungguhan untuk kita melonjakkan kedudukan global ini.

Tahun hadapan akan menyaksikan lebih banyak tuntutan yang harus dipenuhi. Kesediaan dan keupayaan kita untuk berinovasi, bergerak atas model baharu perlu ditingkatkan. Teruskan citra mencabar kelaziman yang kita semai demi mencapai tahap yang lebih hebat. Garapkan sesuatu yang luar dari kebiasaan. Galakkan eksperimentasi idea baharu. Kita memasuki tahun 2016 dengan semangat, kesefahaman dan sasaran yang dipersetujui bersama. Pastikan sasaran dan tindakan jelas pada semua. Seluruh warga di pelbagai peringkat perlu lebih berdedikasi, lebih kreatif, mencipta inovasi dan berfikir secara strategik bagi merealisasikan sasaran ini.

Justeru, pada penghujung 2015 ini, saya mengajak seluruh warga universiti untuk bergerak sederap dengan penuh tekad, menuju destinasi yang pasti berlandas misi suci UKM mengolah kejayaan untuk membina kemakmuran dan kelangsungan negara yang lebih teguh dan utuh pada 2016 nanti.

Saya dan rakan-rakan pengurusan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua atas segala sumbangan menjayakan 2015. Semoga apabila kita melangkah pada hari pertama 2016, kita lebih bersemangat, berkeazaman dan beriltizam melonjakkan UKM kepada kedudukan jauh lebih tinggi daripada tahap yang ada sekarang.

Selamat Tahun Baharu 2016.

Salam hormat,

Noor Azlan Ghazali
Bertarikh 31 Disember 2016 / 19 Rabiulawal 1437H