Pejabat Naib Canselor

 

UCAPAN SELAMAT TAHUN BARU 2018

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Warga UKM yang saya hormati,

Semoga semua sihat sejahtera dan dirahmati Allah SWT.

Tahun 2017 telah menutup tirainya, dan kita kini melangkah ke tahun 2018. Masa itu amat tinggi nilainya, pantas berlalu, tidak boleh dibawa kehadapan dan kebijaksanaan kita dituntut bagi mengisi masa yang dianugerah Allah. Sekitar dua tahun lagi, pada tarikh keramat 18 Mei 2020, UKM akan menyambut ulang tahun Jubli Emas.

Kita bersyukur dengan kecemerlangan dan kejayaan yang dicapai sepanjang 2017. Setiap bulan sepanjang tahun 2017 kita meuar-uarkan '3 Cerita' kecemerlangan sebagai hebahan kepada semua melalui HIT UKM. Sila layari HIT 2017 sebagai imbasan kecemerlangan kita (http://www.ukm.my/strategi-ukm/hit-ukm/). Pastinya banyak lagi kejayaan yang dicapai oleh para pensyarah, pelajar, pentadbir dan pelaksana UKM yang membanggakan universiti. Tahniah semua yang mengukir kecemerlangan buat UKM.

Pastinya seluruh Malaysia, dari puncak kepimpinan negara hinggalah setiap rakyat akan turut gembira menyaksikan universiti yang dibina dengan perjuangan rakyat berteraskan aspirasi kebangsaan yang memuncak kini hampir mencecah usia 50 tahun.

Kecemerlangan yang dilakar semenjak penubuhannya, siswazah hebat yang dilahirkan yang dijangka mencecah 200,000 orang pada tahun 2020, kedudukan dalam kategori Top 1% dalam kalangan universiti dunia, dan pelbagai program penyelidikan dan kemasyarakatan di seluruh Malaysia dan ASEAN, serta rangkaian jaringan industri dan global yang meluas sehingga ke benua Amerika Latin, menjadikan UKM sebuah universiti kebangsaan yang hebat dan dekat dengan semua.

Kita memikul amanah 'kebangsaan' yang besar, memastikan pembangunan ilmu berteraskan acuan kebangsaan dibina kukuh. Membina kesarjanaan dan meneroka ilmu yang mendahului masyarakat dan zamannya - maju, berilmu dan bahagia. Itulah kita, Pendaulat Amanah Negara!

Saya mengucapkan setinggi tahniah dan terima kasih kepada semua atas usaha gigih menjulang nama baik universiti ini. Setiap Warga adalah aset penting buat UKM. Anda adalah pendokong utama kepada amanah besar yang kita pikul. Kita sejelekit membina kebitaraan universiti ini -- hebat dan unik, bernilai tinggi dan luar biasa tawarannya.

Tiada sesiapa yang dapat menjanjikan kita akan kekal relevan dan bernilai selamanya. Keutamaan, keperluan dan kehendak masyarakat sejagat terus berubah dengan pantas. Overhead projector yang dahulunya 'mesti ada' kini menjadi bahan lupus. Era 'power point' sebagai bahan utama pengajaran juga sudah lapuk. Proses pengajaran dan pembelajaran direkabentuk semula dengan pelbagai metodologi yang kreatif dan berinovasi mengaplikasikan teknologi digital dan menenuhi citra generasi terkini.

Revolusi Industri ke-4, yang kini hangat diperkatakan, membawa peluang dan cabaran yang sama hebatnya. Merekabentuk semula universiti terus menjadi hambatan utama untuk kita. Kerelevanan UKM boleh kita pertahan dan perkukuhkan sekiranya kita semua bersedia untuk melaksanakan perubahan dengan pantas dan teratur.

Berubah bukan mudah dan ada risikonya. Walaubagaimanapun, perubahan mesti kita laksanakan supaya kita kekal relevan dan bernilai tinggi dikaca mata masyarakat hari ini. Supaya kita sentiasa mendahului dan menjuarai.

Saya mengajak kita semua membuat penilaian ke atas setiap aktiviti dan tugasan yang dilaksanakan: adakah ia masih seperti dahulu atau sudah diubah dengan cara dan pendekatan terkini? Inovasi adalah nadi kecemerlangan era Revolusi Industri ke-4. Ambil peluang untuk berbincang bersama rakan-rakan tentang aspek-aspek yang boleh kita rekabentuk semula.

Kepada para pelajar, saya mengajak anda untuk menilai semua aktiviti kemahasiswaan, khususnya proses pembelajaran yang anda lalui. Bagaimana nilai siswazah UKM dapat dipertingkatkan? Apa tindakan strategik yg dapat kita laksanakan?

Metafora kita, Payung Merah UKM, menuntut kita melakar strategi untuk menghasilkan mahasiswa yang unik dan bernilai tinggi, yang tidak mungkin diperolehi di kampus lain selain UKM; graduan yang sentiasa keterhadapan dan tidak mungkin diciplak. Itulah kebitaraan yang dituntut.

Lakarkan strategi anda untuk tahun 2018! Kongsikan idea, strategi dan sasaran anda bersama kepimpinan universiti, fakulti, institut dan kepengetuaan di kolej masing-masing, serta para pensyarah. Semua pihak mesti jelas peranan masing-masing. Impikan kejuaraan.

Para akademia, kesarjanaan adalah kekuatan kita. Hebat kesarjanaan kita, hebatlah UKM dan cemerlanglah universiti ini. Dengan penyusunan semula fakulti, kesarjanaan yang kita sasarkan seharusnya lebih terserlah. Apakah kekuatan yang akan kita bina? Apakah permasalahan dan cabaran yang akan kita tangani? Penyelidikan kita mesti lebih berfokus, berskala, menghasilkan impak kesarjanaan dan juga pemahaman serta penyelesaian yang berkesan. Kita mesti bitara dan diiktiraf sebagai juara. Kita mendahului sebagai pemegang taruh yang dirujuk dan dihormati.

Tanya diri anda, di manakah anda dalam gagasan penyelidikan Cabaran Perdana? Cabaran Perdana dibina dengan sifat dinamik yang boleh berkembang dan dilentur. Kita akan menilai secara berterusan dan memungkinkan cabaran baru diterap dalam gagasan universiti penyelidikan kita.

Universiti adalah sebahagian dari ekosistem masyarakat moden. Tiada sempadan antara kita dan segmen masyarakat yang lain. Kita perlu memastikan jaringan 'quadra-helix' UKM-Kerajaan-Industri-Masyarakat yang mantap dan berkualiti. Susun strategi untuk memikat keyakinan dan kepercayaan para pemegang taruh terhadap UKM. Kita menjana dengan kesarjanaan yang disegani. Dengan kesarjanaan yang dihormati, insyaAllah, setiap segmen masyarakat akan bersama kita dalam pengajaran, penyelidikan, dan perkhidmatan.

Universiti adalah organisasi yang besar dan kompleks. Pentadbiran pengoperasian, pengurusan kewangan dan kemantapan sumber serta prasarananya adalah pelincir kepada gerak kerja kesarjanaan akademia dan pelajarnya.

Para pentadbir dan pelaksana, anda adalah tonggak utama kecemerlangan universiti. Nilai cara kita beroperasi, semak garis panduan dan peraturan, ukur kepantasan serta keberkesanan tindakan kita. Cari ruang berinovasi dan bertindak secara kreatif. Keefisienan institusi memerlukan kita semua peka dan sentiasa memikirkan cara yang lebih baik dan berkesan. Jangan memerangkap diri dengan amalan terdahulu yang mungkin sudah tidak sesuai untuk di aplikasikan hari ini. Sebaliknya, berinovasi, dan cari jalan baru, dan bersedia mencabar kelaziman.

Sebagai Warga UKM, kita semua - para akademia, pelajar, pentadbir dan pelaksana - perlu bitara, lain dari biasa, istimewa dan tinggi nilai tawarannya, disegani dan dirujuk kewibawaanya. Pastikan etika dan integriti sentiasa diutamakan dalam semua tindakan kita. Kita mesti bersedia membuat berubahan untuk mendahului dan menjuarai.

Saya mendoakan kesejahteraan buat semua. Semoga Allah memberkati usaha kita dan menjadikan 2018 sebagai tahun yang lebih hebat buat semua. Selamat menyambut tahun baharu kepada semua Warga UKM yang saya hormati.

Kita mendahului dan menjuarai.

Terima kasih semua.

Salam hormat,

Prof. Tan Sri Dato' Seri Dr. Noor Azlan Ghazali
Naib Canselor / Vice-Chancellor
Universiti Kebangsaan Malaysia (The National University of Malaysia)
43600 Bangi, Selangor
MALAYSIA