Pusat Pembangunan Keusahawanan & EKS

 Centre for Entrepreneurship and Small & Medium Enterprises Development

Latar Belakang

Pengenalan UKM-CESMED

Pusat Pembangunan Keusahawnan dan EKS (UKM-CESMED) telah ditubuhkan pada Oktober 2010 sebagai peneraju keusahawanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pusat ini telah dirasmikan pada 31 Januari 2011 oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Khaled bin Nordin yang merupakan Menteri Pengajian Tinggi pada ketika itu.

UKM-CESMED diwujudkan untuk menjadi pusat kecemerlangan keusahawanan yang menggabungkan pendidikan dan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana di UKM. Pusat ini beroperasi dalam ekosistem yang baik dengan melibatkan kelab pelajar, kolej kediaman, fakulti serta pusat pengajian dalam menjalankan aktiviti keusahawanan secara bersama. Fokus utama adalah kursus akademik berkredit yang ditawarkan kepada pelajar pra-siswazah dan siswazah serta program-program keusahawanan yang melibatkan pelajar, pensyarah, penyelidik dan kakitangan UKM.

Pembentukan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi pengajian Tinggi (PTK-IPT) 2021-2025 yang telah dilancarkan pada 19 Februari 2020 oleh Yang Berhormat Dato’ Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia merangkakan tiga teras utama iaitu memantapkan ekosistem keusahawanan yang bersinergi dan holistik, memperkasa jaringan keusahawanan yang berimpak tinggi dan menekankan kepada keusahawanan yang berteraskan inovasi dan teknologi.

Ekosistem yang bersinergi dan holistik boleh dilaksanakan dengan memperkasa sistem sokongan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan keusahawanan. Ia juga perlu untuk menghasilkan pelajar yang mampu menjana peluang pekerjaan melalui bidang keusahawanan. Selain itu, penambahan bilangan pendidik yang berkemahiran dalam bidang keusahawanan juga perlu dititikberatkan dalam memberi impak pembelajaran secara berterusan dalam bidang keusahawanan.

Jaringan keusahawanan bersama dengan agensi, industri serta usahawanan termasuk alumni adalah diperkasakan bagi membentuk program yang mempunyai impak yang signifikan kepada pelajar, kakitangan dan universiti. Sistem pembiayaan perniagaan juga diaktifkan dengan membuat padanan bersama industri dan agensi pembiayaan yang berkaitan. UKM-CESMED telah menubuhkan tabung keusahawanan pelajar melalui platform GIVE2UKM yang mana tabung ini akan memberi manfaat kepada usahawan pelajar yang memerlukan pembiayaan bagi memulakan atau mengembangkan perniagaan

Bidang inovasi dan teknologi sedang giat diperkembangkan dengan menghasilkan program-program  keusahawanan yang berteraskan teknologi dengan membentuk pelajar menjadi usahawan yang memanfaatkan bidang teknologi dan inovasi. Di samping itu, UKM-CESMED juga giat menggalakkan pelajar menyertai pertandingan keusahawanan dipacu inovasi dan teknologi yang diadakan di peringkat universiti, kebangsaan mahupun antarabangsa. Selain itu, UKM-CESMED menawarkan peluang kepada pelajar untuk menubuhkan syarikat pemula (start-up) melalui platform digital seperti Shopee, Lazada, laman web dan platform media sosial seperti facebook Page, Instagram, dan lain-lain dengan bimbingan program-program keusahawanan dengan penglibatan industri dan alumni usahawan.

UKM-CESMED menjalinkan kerjasama yang erat bersama dengan kementerian, pelbagai agensi serta industri dalam mengembangkan pembelajaran dan pengajaran dalam bidang keusahawanan seperti Kementerian pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), SME Corporation (SME Corp.), CELCOM, Isoveritas Sdn. Bhd., IM Possible Solutions Sdn. Bhd., Meeka Intl Sdn. Bhd., Return Legacy Group dan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Indonesia.

Translate »