Ucapan Timbalan Naib Canselor

KATA-KATA ALUAN TIMBALAN NAIB CANSELOR

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dan Salam Sejahtera.

Pembangunan dan pendidikan keusahawanan merupakan agenda penting dalam memastikan sistem pendidikan tinggi negara sentiasa berdaya saing dan melangkah ke hadapan mengikut permintaan pasaran pada masa kini. Dasar dan Pelan Strategik Keusahawanan IPT oleh Kementerian Pendidikan Malaysia telah memfokuskan kepada penerapan dan pendedahan kepada budaya dan nilai-nilai keusahawanan terhadap pengukuhan ekosistem dalam melahirkan graduan yang mempunyai orientasi pemikiran keusahawanan dan graduan yang cenderung terhadap kerjaya sebagai usahawan dan mencipta peluang pekerjaan.

Peranan dan kepentingan kumpulan enablers yang terdiri daripada ahli akademik yang kompeten dan mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan keusahawanan serta pentadbir yang berpengetahuan dalam aspek pengurusan dan pentadbiran juga diberi perhatian dalam merangka strategi bagi memastikan agenda keusahawanan di UKM dapat dilaksanakan sebaik mungkin. Sokongan dan komitmen berterusan dari pengurusan tertinggi UKM sentiasa ada bagi meneliti semula kaedah pelaksanaan yang membolehkan UKM melaksanakan strategi bersifat pro-keusahawanan.

Perjalanan transformasi untuk merealisasikan matlamat dalam merangkul universiti keusahawanan bermula daripada kerjasama secara efektif, koordinasi yang mapan, serta komitmen dan sokongan daripada pelbagai pihak berkepentingan. UKM-CESMED sentiasa bersedia membina hubungan kerjasama yang seimbang di antara rakan strategik secara kolektif.

Akhir kata, saya yakin UKM-CESMED dapat memainkan peranan yang tersusun dan efektif sebagai pusat tanggungjawab yang berupaya merancang, menilai dan memantau pelaksanaan program dan aktiviti pembangunan dan pendidikan keusahawanan serta bertindak sebagai pusat sehenti bagi agenda keusahawanan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Sekian, terima kasih.

 

YBHG. PROF. DATO’ Ir. DR. OTHMAN A. KARIM

Timbalan Naib Canselor

(Hal Ehwal Pelajar)

Universiti Kebangsaan Malaysia