Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA)

BANGI, 5 Ogos 2020 – Pelajar-pelajar program Ijazah Sarjana muda Sains Citra Dengan Kepujian (Sm Sn Citra)  berpeluang untuk menjalani kursus industri sambil bekerja dengan termeterainya Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan 16 Rakan Industri dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Senat, Bangunan Canselori, baru-baru ini.

Majlis dihadiri oleh Pengerusi UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Naib Canselor UKM, Prof, Dato’ Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa, Prof Dato’ Ir Dr Mohd Marzuki Mustafa dan Pengarah Pusat Citra, Prof Dato’ Dr Harlina Halizah Siraj.

Prof Dato’ Dr Mohd Hamdi menandatangani bagi pihak UKM manakala Ketua Pegawai Eksekutif 16 Rakan Industri mewakili industri masing-masing.

Program Ijazah Sm Sn Citra Dengan Kepujian adalah program yang pertama ditawarkan di Malaysia bersifat struktur kurikulum fleksibel dan rentas disiplin dengan pelaksanaan mod pengajian 2u2i dengan komponen berasaskan kerja work-based-learning (WBL).

Pengambilan pelajar kumpulan pertama pada Sesi 2018/2019 seramai 88 orang dan pengambilan kumpulan kedua seramai 55 orang pelajar.

Terdahulu, Prof Dato’ Ir Dr Mohd Hamdi dalam ucapannya, melahirkan rasa bangga atas komitmen rakan industri yang memberikan kepercayaan kepada UKM secara serentak untuk menjalinkan kerjasama yang amat bermakna kepada universiti.

Katanya, kerjasama seumpama ini bukan sahaja dapat memastikan pertukaran ilmu dan kepakaran tetapi juga memenuhi keperluan negara melalui keterlibatan berteraskan pengetahuan merentasi penyelidikan, pendidikan dan perkhidmatan.

Beliau berkata, UKM menyedari dalam tanggungjawab kebolehpasaran graduan justeru itu program yang disandar pada masa hadapan memberi pilihan kepada pelajar untuk memilih dua atau tiga bidang pengkhususan yang dapat meningkatkan daya saing pelajar dalam menghadapi saingan dalam pekerjaan.

“Sebagai universiti penyelidikan, UKM sentiasa bersedia menawarkan kepakaran untuk menjadi pakar rujuk dalam pelbagai bidang.  UKM mengajak rakan industri melalui kerjasama ini untuk mencari peluang penyelidikan bersama melalui kepakaran, kemudahan dan sumber untuk membangunkan ekosistem inovasi, menyelesaikan masalah perniagaan, meningkatkan produktivii penyelidikan dan mengukuhkan pendapatan syarikat”, ujar beliau.

Enam belas rakan industri yang terlibat mengadakan kerjasama ini ialah Brahim SATs Food Services, Maybank Berhad, Trans Eco Development, Mesiniaga Berhad, Wasiyyah Shoppe Berhad, Hadis Solutions Group, 1337 Ventures, Aftal Jannah, ARBA Travel, DD Animation, DFZ Talent Ignite, IPay88 Malaysia, NLPM Center, Tranning Cube International, ARNA Waqaf Foundation dan MyHarapan – Youth Trust Foundation.