UKM Juara Risisita Ratisia 2019

 

BANGI, 25 Oktober 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengungguli Risisita Ratisia 2019, iaitu pertandingan puisi Bahasa Melayu untuk pelajar antarabangsa sempena Hari Apresiasi Puisi Cinta antara Universiti Semalaysia yang diadakan di Persada Canselori, Bangunan Pentadbiran, UKM baru-baru ini.

Samiha Susmit, pelajar dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) yang berasal dari Bangladesh telah dinobatkan sebagai Johan pertandingan tersebut bagi kategori solo, manakala Sm Nizam Uddin (Bangladesh) dan Sabrun Edi (Indonesia) telah dinobatkan sebagai juara bagi kategori berpasangan dan semua mereka adalah daripada UKM.

Samiha berkata, beliau belajar Bahasa Melayu melalui Kursus Citra di Pusat Citra UKM.

“Sebenarnya saya mula belajar Bahasa Melayu sejak berumur 14 tahun selepas mengikuti keluarga berhijrah ke sini (Malaysia), tetapi penggunaan Bahasa Melayu saya masih tidak fasih kerana di rumah kami sekeluarga menggunakan bahasa Bangladesh.

“Apabila saya belajar di UKM, saya terus mengambil Kursus Citra Bahasa Melayu bagi menajamkan lagi penguasaan Bahasa Melayu saya,” katanya selepas pertandingan itu berakhir.

Beliau berkata, guru Bahasa Melayu beliau di Pusat Citra yang mencadangkan supaya Samiha menyertai pertandingan tersebut, dan guru itu sentiasa membimbingnya dari segi menguasai lenggok puisi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Ir Dr Hamisah Tapsir berkata, pertandingan puisi tersebut adalah satu platform yang terbaik kepada pelajar-pelajar antarabangsa dalam memantapkan lagi penguasaan dan kefasihan dalam berbahasa Melayu.

“Melalui puisi seperti ini, mereka akan lebih menghayati lagi Bahasa Melayu dan klausa-klausa yang disebutkan kerana mereka perlu mendalami maksud klausa-klausa tersebut sebelum membaca puisi tersebut,” katanya.

Beliau berharap pertandingan itu akan diteruskan ke tahun-tahun akan datang kerana ia akan menjadi program signature di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia dan Universiti Awam.

Pertandingan yang diadakan buat julung kalinya itu menampilkan 18 peserta solo dan 18 peserta berpasangan dari 11 Universiti Awam dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta.

Antara universiti lain yang menyertai pertandingn ini ialah Universiti Utara Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Teknologi Mara, Universiti Antabangsa Al-Bukhary dan Universiti Putra Malaysia.