Calon Doktor Falsafah dari FEP menang 3MT

Calon Doktor Falsafah Perakaunan, Ahmad Zainal Abidin, telah memenangi Pertandingan Akhir 3MT (tesis 3 minit) peringkat UKM. Pertandingan ini telah berlangsung pada 4 April 2017 di Dewan Kuliah Pusat Siswazah UKM dan dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dato` Ir. Mohd. Marzuki Bin Mustafa, Pro Naib Canselor Strategi dan Pembangunan Korporat UKM.

Seramai 18 orang peserta dari Gugusan Sains dan Teknologi, Sains Sosial dan Kejuruteraan telah mengambil bahagian dan 3 pemenang dari setiap gugusan telah berjaya memenangi tempat pertama, kedua dan ketiga. Seramai 3 orang calon telah terpilih bagi mewakili UKM ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada 18 Mei 2017 di USM.

Kemenangan Ahmad meraih tempat pertama gugusan Sains Sosial dan tempat kedua keseluruhan turut diraikan oleh jawatankuasa penyeliaan beliau, yang dipengerusikan oleh Prof Madya Dr Zakiah Muhammadun Muhamad yang baru sahaja meninggal dunia pada 7 April 2017. Ahli jawatankuasa penyeliaan beliau termasuk Prof Madya Dr Noradiva Hamzah (FEP) dan Prof Madya Dr Zurina Shafii (Universiti Sains Islam Malaysia).

Fakulti Ekonomi dan Pengurusan juga diwakili pada pertandingan peringkat akhir di UKM ini oleh Wan Farisan Wan Sulaiman, calon Doktor Falsafah Ekonomi. Jawatankuasa penyeliaan beliau dianggotai oleh Prof Madya Dr Zulkefly Abdul Karim (pengerusi), Dr Norlin Ahmad dan Dr Riayati Ahmad.

Tahniah diucapkan kepada para pemenang Pertandingan Akhir 3MT UKM 2017, khususnya Ahmad Zainal Abidin.