UKM dan Empat Institusi Kerjasama dalam Perniagaan Sosial Yunus

BANGI, 27 Februari 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin kerjasama menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) dengan empat institusi lain dalam memperluaskan penyelidikan sosial Yunus dalam pelbagai aspek untuk masyarakat setempat.

Institusi-institusi berkenaan ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Institute Technology Petronas (ITP) Sdn Bhd, Yayasan Amanah Belia (YAB)  dan Institut Darul Ridzuan (IDR).

UKM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah manakala USM oleh naib Canselornya, Prof Datuk Dr Asma Abdullah, ITP Naib Canselornya, Datuk Ir Dr A Rahim Hashim, YAB oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nurfaini Daing dan IDR oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mazalan Kamis.

Majlis Mou tersebut diadakan pada 17 Februari baru-baru ini di Kelab Petroleum, Tower 2, Petronas Twin Tower, Kuala Lumpur.

Prof Datuk Dr Imran dalam ucapannya berkata, kerjasama ini merangkumi bidang yang luas seperti pendidikan, keciciran dan kemiskinan yang rata-ratanya berkait rapat dengan masyarakat setempat.

Beliau percaya gabungan semua institusi ini, termasuk UKM, akan dapat memberikan impak yang berkesan kepada sebarang penyelidikan yang dibuat menerusi Pusat Perniagaan Sosial Yunus.

“Saya percaya setiap institusi ini ada kepakaran masing-masing dan ia memberikan hasil yang bermanfaat untuk mengatasi segala masalah yang berkait rapat dengan masyarakat,” kata beliau.