Pengenalan

Fakulti Pendidikan (FPEND) bermula sebagai Jabatan Pendidikan di Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan pada tahun 1972. Jabatan ini telah dinaiktaraf kepada Fakulti Pendidikan pada 16 Oktober 1986. Fakulti Pendidikan ketika ini beroperasi di Lingkungan Kedua, Kampus Induk Bangi. Pada mulanya, Fakulti Pendidikan ditunjangi oleh Jabatan Asas Pendidikan dan Jabatan Perkaedahan dan Amalan Pendidikan bagi mengendalikan kursus-kursus di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah. Seterusnya, pada tahun 2011  dan 2017 telah menyaksikan usaha giat penstrukturan semula Fakulti Pendidikan agar fungsi dan peranan Fakulti Pendidikan mendahului zaman bersesuaian dengan moto Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) “Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan”. Bagi menjayakan usaha ini, Fakulti Pendidikan telah mengendalikan pelbagai aktiviti termasuk perbincangan dengan pakar pendidikan di dalam dan luar negara serta para stakeholders. Penstrukturan ini telah mengintegrasikan tiga komponen utama yang menjadi tunjang kepada pembangunan dan kemajuan universiti penyelidikan yang unggul iaitu “Pendidikan, Penyelidikimejfpendan dan Khidmat”. Falsafah ilmu pendidikan yang mencakupi ruang lingkup yang luas mencakupi pelbagai aspek pendidikan formal, informal dan non-formal telah menjadi tunjang penstrukturan semula Fakulti Pendidikan. Penstrukturan semula fakulti telah mencapai status kejayaan apabila Senat UKM telah memberi respon positif terhadap cadangan ini. Bemula sesi pengajian 2017/2018, jabatan-jabatan di bawah fakulti pendidikan distrukturkan menjadi enam pusat: iaitu Pusat Inovasi Pembelajaran dan Pengajaran, Pusat Kepimpinan & Polisi Pendidikan dan Pusat Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti, Pusat Penilaian Pendididikan, Pusat Kepelbagaian Pendidikan dan Pusat BITARA STEM Usaha murni penstrukturan fakulti menjadi agenda penting bagi aktiviti fakulti untuk tahun-tahun mendatang.

Fakulti Pendidikan amnya telah menyediakan pelbagai program prasiswazah dan pascasiswazah yang menyajikan pendekatan pendidikan yang lebih menyeluruh dan lebih menarik. Fakulti Pendidikan menawarkan tiga program pengajian prasiswazah iaitu Program Sarjanamuda Pendidikan (Sukan dan Rekreasi), Program Sarjanamuda Pendidikan (Pendidikan Khas) dan Program Sarjanamuda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua, TESL). Pelajar prasiswazah bukan sahaja dapat mendalami bidang pendidikan yang mereka ceburi tetapi berpeluang untuk mendapat ilmu dalam berbagai bidang lain yang telah di adun di samping mengikuti kursus-kursus untuk meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam pengurusan, komunikasi dan ICT.  Pada keseluruhannya program prasiswazah disini  menyajikan satu pakej yang membolehkan graduannya berdaya saing dan berkemampuan untuk menempuh alam pekerjaan dalam berbagai bidang yang mampu menghadapi cabaran abab ke 21. Beberapa kursus juga telah berjaya dilaksanakan secara ‘MOOC(Massive Open Online Courses). Fakulti Pendidikan adalah Fakulti yang paling banyak menawarkan kursus-kursus MOOC di Universiti.

Manakala  pelajar pascasiswazah pula diberi peluang untuk mengikuti dan menjalankan berbagai penyelidikan yang diselia oleh para akademik yang berkepakaran dalam bidang masing-masing melalui program Sarjana Pendidikan, Ijazah Doktor Falsafah dan Ijazah Doktor Pendidikan. Kami sentiasa mementingkan kemajuan dalam penyelidikan untuk menjana ilmu baru dan penemuan teori, modul, perisian, pendekatan pengajaran yang berinovasi, mampu diamalkan untuk kemajuan dan pembangunan negara. Dengan kepakaran ahli akademik Fakulti yang terdiri dari kalangan 9 orang profesor, 22 orang professor madya, 32 orang pensyarah kanan, 26 orang pensyarah dan 2 orang guru Bahasa dijangka mampu melahirkan graduan dan pendidik abab ke 21 yang SYUMUL (Siapsiaga, Yakin, Usaha, Motivasi, Unggul & Luwes)


Visi

Fakulti Pendidikan Peneraju Inovasi Pendidikan untuk Masyarakat Berilmu dan Dinamik ke Arah Kesejahteraan Sejagat.


Misi

Menjadi Fakulti Pendidikan terpilih yang inovatif, terkehadapan dan beriltizam menyediakan modal insan berkualiti untuk keperluan institusi pendidikan, industri dan masyarakat mengikut acuan kebangsaan yang memartabatkan Bahasa Melayu dan bertaraf antarabangsa sesuai dengan perkembangan sejagat.


Matlamat

Menjadi pusat ilmu pendidikan dan pengembangan modal insan yang berupaya:

  1. Melahirkan modal insan yang berkeupayaan tinggi dan menjadi pemimpin pendidikan dalam institusi pendidikan, industri dan masyarakat. 
  2. Mencipta, mengembang dan mengaplikasi ilmu pendidikan melalui penyelidikan, perundingan dan pengkomersilan produk pendidikan.
  3. Meneraju inovasi dalam ilmu pendidikan berkaitan kurikulum, pedagogi, pengurusan dan penilaian.
  4. Menjadi pemimpin ilmu pendidikan yang terkehadapan dalam pelbagai disiplin merentasi pelbagai institusi pendidikan, industri dan masyarakat.
  5. Menjadi pakar runding dan pusat rujukan ilmu pendidikan tersohor di dalam dan luar negara. 


Sebarang cadangan dan maklum balas dari pengunjung laman web ini amat dihargai.  Sila kemukakan sebarang maklum balas berikut melalui: (KLIK).