Nadwah Ulama Nusantara VII: Ulama dan Pemikiran Wasatiyyah Malaysia

Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam UKM dan Institut Wasatiyyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri akan menganjurkan Nadwah Ulama Nusantara VII pada 8 & 9 Ogos 2017 bertempat di Bilik Senat dan Bilik Majlis Universiti Kebangsaan Malaysia. Beberapa tokoh agamawan terkemuka tanahair akan turut hadir dalam nadwah ini serta membentang kertas-kertas kerja mereka. Mereka termasuklah Profesor Ulung Tan Sri Mohd Kamal Hassan, Prof. Dr. Wan Kamal Mujani, Dato’ Mohamad Abu Bakar, Dr Mahayudin Yahaya dan Dr. Samsu Rijal. Selain tokoh-tokoh dari Malaysia, beberapa orang pengkaji dan akademia serantau turut dijemput untuk turut serta membentang pandangan mereka seperti Khairudin Aljuneid dan Mohamed Faris Bakaram dari Singapura, Ahmed Omar Chapakia dari Thailand dan Pehin Mufti Kerajaan Brunei Darussalam.

Antara tema-tema kertas kerja yang akan dibincangkan dalam nadwah pada kali ini ialah ulama dan wasatiyyah; biografi ulama dan sumbangan mereka; sejarah ketokohan ulama Nusantara; ulama dan epistemologi Nusantara; ulama dan kebangkitan Islam; jaringan ulama Nusantara dan Timur Tengah; ulama dan cabaran pemikiran Islam semasa; ulama dan isu-isu politik; ekonomi dan kemasyarakatan; ulama dan isu akidah, perundangan, dakwah dan pendidikan; dan ulama dan transformasi negara.

Pihak sekretariat nadwah telah mewujudkan laman sesawang bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang nadwah ini di pautan: www.ukm.my/nun.