Fakulti Sains Kesihatan UKM

 Peneraju Sains Kesihatan

Sarjana Psikologi Klinikal

Master of Clinical Psychology

PENGENALAN

Program Sarjana Psikologi Klinikal adalah program sarjana yang ditawarkan secara sepenuh masa selama dua tahun. Program ini memberi persediaan dan latihan profesional dalam menghasilkan ahli psikologi klinikal. Ahli psikologi klinikal terlibat dalam aktiviti mencegah, menaksir, mendiagnos serta merawat kecelaruan psikologi termasuk kecelaruan emosi, personaliti, pembelajaran serta masalah tingkah laku yang mengganggu fungsi harian dan kefungsian sosial.

Program ini mengandungi struktur kerja kursus, penyelidikan dan latihan klinikal. Subjek teras pengajian termasuklah psikologi klinikal kanak-kanak dan remaja, psikologi klinikal dewasa, ujian dan penaksiran psikologi, pendekatan psikoterapi, penilian dan terapi kognitif tingkah laku serta kaedah penyelidikan dan statistik. Pelajar akan menjalani penempatan dan latihan klinikal di Klinik Psikologi Kesihatan, UKM dan beberapa buah hospital kerajaan, hospital universiti serta institusi kesihatan mental di seluruh Negara. Sepanjang latihan klinikal pelajar dilatih untuk mengendalikan penilaian psikologi, membuat diagnosis serta menjalankan terapi individu dan terapi kelompok kepada kumpulan pesakit kanak-kanak, remaja, dewasa atau warga tua. Pelajar juga perlu menjalankan penyelidikan dalam bidang psikologi klinikal termasuk isu kecelaruan psikologi, psikogeriatik, psikoseksual, penyalahgunaan dadah dan bahan, kualiti hidup, psikologi perubatan dan rehabilitasi psikologi di bawah penyeliaan rapat ahli-ahli fakulti.

SYARAT MASUK

Calon-calon yang memohon untuk mengikuti program ini mestilah mematuhi syarat-syarat kemasukan seperti berikut:

  1. Lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dengannya dan kredit dalam Bahasa Melayu atau kepujian dalam Bahasa Malayu kertas Julai; dan
  2. Mempunyai Ijazah Sarjanamuda dalam bidang psikologi (dengan nilai PNGK tidak kurang daripada 3.00) dari Universiti Kebangsaan Malaysia atau kelulusan lain yang setaraf dengannya yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia dan diluluskan oleh Senat; atau
  3. Mempunyai Diploma Siswazah dalam bidang Psikologi atau Kaunseling dari Universiti Kebangsaan Malaysia atau institusi yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia dan diluluskan oleh Senat; dan
  4. Lulus ujian temuduga serta ujian aptitud yang dilaksanakan oleh pihak program; dan
  5. Pemohon antarabangsa perlu lulus ujian Bahasa Inggeris dengan markah minima (TOEFL 580/ TOEFL-CBT 230/TOEFL-IBT 88 ATAU aras minima IELTS 6.5)

Muat turun Soalan Lazim (FAQ) Sarjana Psikologi Klinikal DI SINI.

Muat turun Buku Panduan Siswazah Sarjana Psikologi Klinikal