Sekapur Sirih

Selamat datang diucapkan kepada semua pelajar-pelajar baru di Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Walaupun FST baru sahaja ditubuhkan pada 19 Julai 1999, namun sejarah kewujudan pengajian sains di UKM telah bermula 40 tahun dahulu semasa UKM ditubuhkan. Ini bermakna sejarah dan juga penglibatan FST dalam pendidikan dan penyelidikan sains telah bermula 40 tahun dahulu semasa Fakulti Sains yang asal ditubuhkan pada tahun 1970.

Untuk menangani pendidikan sains dan teknologi yang lebih mencabar di alaf baru, FST telah menyediakan pelbagai program prasiswazah dan pascasiswazah yang menyajikan pendekatan pendidikan sains yang lebih menyeluruh dan lebih menarik.

Fakulti Sains dan Teknologi adalah antara fakulti yang terbesar di UKM yang menawarkan 17 program pengajian prasiswazah yang merangkumi lebih daripada 20 bidang pengkhususan sains tulen dan sains gunaan melalui lima  Pusat Pengajian. Pelajar prasiswazah bukan sahaja dapat mendalami bidang sains yang mereka ceburi tetapi berpeluang untuk mendapat ilmu dalam berbagai bidang sains yang lain dan juga dalam pengajian sains kemasyarakatan di samping mengikuti kursus-kursus untuk meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam pengurusan, komunikasi dan komputer.

Pada keseluruhannya program prasiswazah FST menyajikan satu pakej yang membolehkan graduannya untuk berdaya saing dan berkemampuan untuk menempuh alam pekerjaan dalam berbagai bidang dan menghadapi cabaran alaf baru ini. FST mempunyai kepakaran dalam hampir semua bidang sains yang menjadikan pengajian sains dan sains gunaan di FST lebih menyeluruh dan lebih menarik. Saya yakin pengalaman yang ditimbai semasa pengajian oleh para pelajar di FST akan memberikan kesan yang amat positif sekali.

Pelajar pascasiswazah diberi peluang untuk mengikuti dan menjalankan berbagai penyelidikan yang diselia oleh para akademik FST yang mempunyai minat dan kecenderungan penyelidikan dalam bidang sains terkini. FST sentiasa mementingkan kemajuan dalam penyelidikan untuk menjana ilmu baru dan penemuan sains yang boleh digunakan untuk kemajuan dan pembangunan negara.

Para akademik FST amat aktif dalam penyelidikan dan telah memperoleh lebih daripada RM20 juta geran penyelidikan luar untuk menampung aktiviti tersebut di samping memberi pelajar kemudahan yang terkini dalam penyelidikan mereka. Kemampuan FST dalam penyelidikan sains dan teknologi telah terbukti apabila ahli akademiknya telah memperoleh berbagai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sains dan teknologi akan memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan lagi kemajuan negara dalam Alaf Baru ini dan FST menyahut cabaran ini dengan penuh keyakinan melalui program pengajian dan penyelidikannya.

Profesor Dr. Mohammad B. Kassim
Dekan