18 May 2018: Today the National University of Malaysia celebrate its 48th anniversary. Lets read special message from our Vice Chancellor (in Malay language).
Ucapan Profesor Tan Sri Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali (Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia – UKM) Bersempena Hari Ulang Tahun UKM ke-48 pada 18 Mei 2018.
“Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, Warga UKM yang saya hormati,
Semoga semuanya sihat sejahtera dan dirahmati Allah SWT. Bagi yang beragama Islam, saya mengucapkan selamat menyambut Ramadhan dan marilah kita menjalankan ibadah puasa dengan penuh ketaqwaan pada Allah yang Maha Esa. Tingkatkan amal soleh dalam bulan yg penuh keberkatan ini.
Menyinsingnya sang suria 18 Mei 2018, maka genaplah usia 48 tahun universiti yang kita cintai ini. Universiti Kebangsaan ini yang terbina hasil dari titik peluh pejuang kebangsaan disulami dengan iltizam rakyat keseluruhannya kini berdiri megah dan kukuh sebagai sebuah universiti yang dihormati. Perjalanan 48 tahun meletakkan kita ditangga ke 230, dalam kategori ‘1% teratas’ didunia, dikalangan 10 yang terbaik di Asia Tenggara. Kita Warga UKM hari ini-para akademia, pentadbir dan pelaksana, para pelajar serta juga para Alumni adalah perwaris kepada misi keramat ini. Penarafan dunia pastinya membanggakan kita, namun misi kita lebih jauh dan lebih besar dari itu.
Besar tanggungjawab yang kita pikul. Lebih dari semata-mata membina kerjaya dan sumber rezki menyara kehidupan. Misi keramat ini adalah misi ‘kebangsaan’ yang begitu luas menjangkau keseluruh pelusuk negara. Mencecah setiap rakyat Malaysia. Kita Pendaulat Amanah Negara, gembira Malaysia, gembiralah kita, duka Malaysia, duka lah kita. Cemerlang Malaysia, cemerlanglah kita. Apa jua cabaran yang dihadapi, kita hadapi bersama. Kita kaji, kita selidiki, kita dalami, kita fahami, kita juarai penyelesaiannya. Malaysia dan UKM terpisah tiada. Warga UKM memegang amanah bagi memastikan kelangsungan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyatnya. UKM mesti sentiasa menjuarai aspirasi ini. Kita sentiasa tampil memastikan Malaysia terus membangun cemerlang, makmur dan sejahtera. Maju, Berilmu dan Bahagia-menutup kata Varsiti Kita.
Kesarjanaan adalah medan kita. Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan slogan perjuangan kita. Ilmu, Mutu dan Budi adalah laungan mahasiswa kita. Marilah kita bersama membugarkan semua ini dalam sanubari kita. Kita menyumbang dan berbakti bersandarkan ilmu dan kesarjanaan yang terbina. Ilmiah cara kita.
Sebagai sebuah Universiti Penyelidikan, kita tanamkan Jiwa Penyelidik dalam semua Warga, semua aspek pengoperasian kita mesti didasari dengan penyelidikan. Kita bersama memantapkan kehebatan penyelidikan secara berimpak kepada semua pemegang taruh-dunia kesarjanaan, kerajaan yang memimpin, penggerak industri dan masyarakat-dalam negara dan sejagat. Luas medan kita. Namun sejauh mana kita melangkah, negara kita, Malaysia sentiasa tersemat kukuh dalam perjuangan kita. Inilah satu-satunya ‘universiti kebangsaan’ dan kitalah Warganya.
Sebuah kerajaan baharu telah dipilih oleh rakyat dalam PRU14 yang lalu. Pengalaman sulung-bersejarah buat Malaysia dalam mengorak perjalanan sejak merdeka 60 tahun yang lalu. Sebagai Pendaulat Amanah Negara, kesemua Warga mempunyai peranan untuk memastikan kelancaran perjalanan Malaysia seterusnya. Kita sentiasa bersyukur dengan nikmat pembangunan dan kesejahteraan kehidupan yang dikecapi. Budaya berterima kasih, bersyukur dan menghormati semua yang menyumbang mesti kita sematkan. Semua pemimpin ada jasanya. Liku-liku pembangunan negara kita susur dengan penuh komitment. Marilah kita bersama memberi yang terbaik untuk Malaysia, setiap masa.
Kita terus bina kecemerlangan kesarjanaan, menjadi sebuah universiti yang mempunyai jiwa yang istimewa, jiwa UKM. Universiti yang bitara, lain dari yang lain. Universiti yang menjuarai, sentiasa terkehadapan mendahului masyarakat dan zaman. Untuk tahun 2018, marilah bersama kita menggalas Tekad 18-initiatif strategik yang akan membawa UKM ke tahap yang lebih cemerlang.
Selamat menyambut ulang tahun ke 48, penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia. Semoga UKM terus cemerlang. Semoga universiti ini dan kesemua Warganya dirahmati Allah SWT. Tahniah 48 tahun UKM! UKM Menjuarai! Salam hormat.”