05 April 2018 terpahat sebagai hari bersejarah dengan pemeteraian Memorandum Perjanjian (Memorandum of Agreement MOA) diantara UKM dan UPNM bagi kerjasama strategik dan berteraskan ‘collegiality’ yang menyaksikan seramai 20 orang kadet UPNM menyambung pengajian Ijazah Sarjana Undang-undang dengan kepujian di Fakulti Undang-undang (FUU) UKM. MOA ditandatangani oleh Profesor Dr. Mohd Ekhwan Toriman (Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UKM) bersama sama dengan Profesor Dr. Tengku Mohd Tengku Sembok (Timbalan Naib Canselor UPNM) dan Profesor Dr Zinatul Asyiqin Zainol (Dekan FUU UKM) bersama Kolonel (B) Abdul Latif Harun (Dekan Fakulti Pengajian & Pengurusan Pertahanan UPNM) mewakili fakulti masing-masing. MOA ini akan berkuatkuasa selama lima (5) tahun dan melibatkan implikasi kewangan iaitu yuran pengajian pelajar UPNM yang akan ditanggung oleh pihak Kementerian Pertahanan Malaysia.