PUSAT HAL EHWAL PELAJAR

PUSAT HAL EHWAL PELAJAR

Timbalan Pengarah (Perkhidmatan)

Dr. Shahrul Nazmi Sannusi berasal dari Sungai Besar, Selangor Darul Ehsan. Beliau berkelulusan ijazah Sarjanamuda Komunikasi (Kewartawanan) dari Universiti Sains Malaysia (USM), ijazah Sarjana Sastera Komunikasi (USM) dan ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Malaya.

Beliau memulakan kerjaya sebagai wartawan kanan di Utusan Melayu (M) Berhad dibawah beberapa buah akhbar dan majalah terbitannya. Kerjaya beliau mencapai ke kemuncaknya apabila memperolehi beberapa anugerah berprestij industri media negara seperti Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas (Kategori Penulis Rencana Terbaik) dalam pembongkaran Isu Tanah Wakaf Terbiar di Pulau Pinang, serta (Kategori Kewartawanan Terbaik) dalam mengupas isu Pembedahan Forensik Mayat Mengikut Cara Islam.

Selain itu, kupasan analitikal beliau tentang isu Perbankan Islam Dari Kacamata Bukan Islam juga berjaya menarik perhatian juri untuk Anugerah Media Islam Negara (Kategori Penulis Rencana Terbaik) pada tahun 2007. Selain itu beliau juga turut memenangi anugerah penulis terbaik dalam Anugerah Media Pengguna KPDNKK pada tahun 2008.

Dalam konteks akademik, beliau kini telah menghasilkan lebih 30 artikel jurnal berwasit dan juga Scopus serta berjaya menerbitkan 3 buah buku terbitan penerbit tersohor selain berjaya menyelia tesis pelajar peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) yang mengkhusus kepada penyelidikan berkaitan Kewartawanan dan Perekonomian Media.

Sehingga kini, beliau masih aktif menulis dalam akhbar dan menjadi kolumnis bulanan untuk akhbar Kosmo sejak tahun 2014. Jaringan serta pengalaman dengan pihak industri media yang luas juga membantu beliau memberi banyak pendedahan kepada para pelajarnya tentang industri media semasa dalam dan luar negara.

Pengalaman menjadi Ketua Editor bagi majalah Varsiti Hal-ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) telah mendorong beliau untuk lebih dekat dan memahami secara keseluruhan nic pelajar UKM. Pada 15 Julai 2018, beliau secara rasminya telah dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Pengurusan) di Pusat Pengurusan dan Pembangunan Mahasiswa (SISWA-UKM). Tugas beliau fokus kepada pemantauan aktiviti dan penerbitan, kebajikan dan penajaan serta pengurusan pelajar.