IKMAS Seminar Series No.1/2020

Masa Tak Berlalu Pergi: Penggunaan Memori dalam Tradisi Masyarakat Iran Kontemporari
(The past doesn’t go away: The use of memory in the tradition of contemporary Iranian society)

Date: 4 February 2020
Time: 10.00am – 12.00pm
Venue: IKMAS Meeting Room, UKM Bangi
Speaker: Dr Teo Lee Ken, Universiti Alzahra, Tehran

 

Abstrak

Forough Farokhzad dalam sebuah petikan enigmatik mengertikan kesyahidan pernah mengungkap, “In the martyrdom of a candle flame is a luminous secret known best to that last tallest glimmer.” Persoalannya: apa bezanya antara memori dan sejarah? Mengapa memori memiliki pengaruh yang begitu mendalam, berdaya dan berkudrat dalam tradisi dan budaya sesebuah masyarakat? Apa penting memori? Salah satu jawapannya adalah kerana kekuatan memori untuk menjadi penanda kepada makna dan identiti bagi suatu konteks mahupun kelompok. Namun, selain itu, memori turut penting kepada idealisme dan visi bahkan kebenaran yang dianggap oleh suatu kelompok sebagai sakral. Menerusi perspektif ini, maka pembentangan ini membincangkan perkembangan serta peranan memori dalam masyarakat Iran. Ini dilakukan dengan menjelaskan bentuk lapangan dan tradisi di mana memori memainkan peranan utamanya, terutamanya dalam ruang kebudayaan, politik dan pembangunan negara-bangsa. Dalam masa yang sama, pembentangan ini juga menelusur asal muasal penggunaan memori ini dalam tradisi wacana dan naratif keagamaan dalam masyarakat Iran. Hasilnya, kita akan dapat memahami betapa memori sebenarnya memberikan tenaga sosial yang luar biasa kepada masyarakat Iran, sekaligus menepati kalimat keramat “yeki bud, yeki nabud”.

 

Biodata

Dr. Teo Lee Ken merupakan felo pasca doktoral di Universiti Alzahra, Tehran. Beliau memperoleh PhD (Pengajian Melayu) di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS). Tumpuan kajian beliau merangkumi sejarah idea, sosiologi agama, pemikiran intelektual Melayu, Indonesia dan Iran. Beliau juga merupakan antara pengasas kumpulan wacana Diskopi yang berpusat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta kolumnis untuk laman web Naratif Malaysia (NM). Beliau boleh dihubungi menerusi teoleeken@yahoo.com.