IKMAS SEMINAR SERIES NO. 6/2018 : Pakatan Harapan Tewas Undi Melayu: Implikasinya Pada Masa Hadapan

 

Please click here for the poster

Isnin 11 Jun 2018 | 10 am | Bilik Seminar IKMAS

Pasca PRU14 mengundang berbagai reaksi dari masyarakat. Regim 61 tahun akhirnya tumbang. Dalam tempoh lebih kurang sebulan regim tumbang pelbagai perubahan sudah dapat dirasakan. Tapi masih terlalu awal untuk kita menjangkakan apakah perubahan yang berlaku ini membawa kebaikan atau keburukan kepada masyarakat dan tanah air kita. Namun, yang nyata perubahan juga membawa kegelisahan dan keresahan serta impian dan harapan. Di sebalik semua ini fakta yang dapat dikutip ialah Pakatan Harapan sebenarnya kalah undi popular walaupun menang kerusi parlimen. Hal yang menjadikannya lebih menarik lagi ialah sebahagian besar daripada undi Melayu-Islam berada di sebelah pihak pembangkang (UMNO dan PAS). Manakala majoriti daripada anggota parlimen Pakatan Harapan adalah terdiri daripada bukan Melayu dan bukan Islam. Dengan ruang demokrasi yang semakin terbuka di waktu-waktu transisi ini pembentangan ini cuba untuk mengupas apakah implikasinya pada masa hadapan dengan wujudnya pembangkang yang disokong oleh sebahagian  besar daripada komuniti teras politik Malaysia (Melayu-Islam) dan apakah yang perlu dilakukan untuk melunakkan politik kaum atau agama dan pada masa yang sama mengangkat naratif Malaysia baru yang lebih bersifat “keMalaysiaan”.

Pembentang

Ruhan Shahrir Abdul Halim merupakan felo di Institut Kajian Etnik (KITA), UKM. Selain itu, beliau juga merupakan calon Ph.D di Australian National University (ANU) di bawah bimbingan Profesor Anthony Milner. Penyelidikan doktoralnya ini memberi tumpuan terhadap sejarah idea yang melibatkan lima tokoh Melayu iaitu Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Mujahid Rawa, Rustam A. Sani dan Hishamuddin Rais. Selain daripada kajian Malaysia dan Melayu, minat penyelidikannya turut merangkumi teori-teori sosiologi dan antropologi seperti pemikiran Durkheim, Marx, Weber dan Bourdieu.