Systematic Approach For Developing As-Built Schedule For Construction Projects

Zubair Ahmed Memon, Muhd Zaimi Abd Majid, Nur Izzi Md. Yusoff, Mushairry Mustaffar

Abstract


Industri pembinaan merupakan satu industri yang kompleks dan melibatkan banyak maklumat yang perlu diproses. Walau bagaimanapun, perkembangan terkini ke arah kepelbagaian projek mega telah meningkatkan permintaan pemerhatian dan penilaian yang cekap serta efektif daripada mereka yang berkepentingan di dalam projek tersebut. Masalah yang berterusan dalam pembinaan adalah dalam mendokumentasikan perubahan-perubahan yang berlaku di tapak dan menyediakan jadual ketikabina. Teknologi komputer dengan gabungan 3D CAD menawarkan satu penyelesaian yang berpotensi digunakan untuk menghasilkan lukisan ketika-bina. Walau bagaimanapun, penyelidikan yang dilakukan baru-baru ini menunjukkan terdapat kelemahan dari segi pengawasan dan penilaian yang sistematik serta berautomasi dalam projek pembinaan. Tujuan kajian ini dilakukan adalah untuk mengenal pasti teknik yang digunakan untuk pengawasan dan penilaian kemajuan fizikal dalam projek pembinaan dan seterusnya menentukan bagaimana penggunaan teknologi perkomputeran yang terkini boleh diaplikasikan dalam pengawasan kemajuan fizikal di tapak pembinaan. Kertas kerja ini menampilkan Model Pemantauan Pembinaan Digital yang merupakan satu sistem interaktif yang mengintegrasikan CAD dan aplikasi yang berkaitan dengan pembinaan untuk menyelesaikan masalah pengawasan dan membangunkan kaedah laporan kemajuan dalam peringkat pembinaan. 3D CAD digunakan secara meluas sebagai perisian reka bentuk untuk projek pembinaan di mana imej digital boleh digunakan untuk menyediakan data yang diperlukan secara tepat untuk dokumen jadual ketika-bina. Pelbagai usaha dan percubaan praktikal telah banyak dibangunkan oleh para penyelidik untuk mengautomasikan proses penghasilan jadual ketika-bina dengan mengaplikasikan teknik fotogrametri terkini kepada gambar. DCM juga memainkan peranan sebagai penghubung untuk menyimpan maklumat reka bentuk struktur dalam sistem pengurusan pengkalan data yang berkaitan dengan pembinaan berintegrasi yang boleh dikongsi dengan beberapa aplikasi komputer. Model DCM merupakan sebahagian daripada membangunkan sistem pengurusan kawasan tapak pembinaan yang mengambil status kerja pembinaan semasa dan memberi carta bar perkembangan semasa. Satu kajian rintis tempat letak kereta Masjid Larkin telah dilakukan bagi mengesahkan model DCM tersebut. Penggunaan model DCM bagi memantau perkembangan projek membolehkan kumpulan pengurusan projek untuk menentukan dan mengawal produktiviti serta menyediakan mekanisma yang lebih baik bagi pengurusan projek.

Keywords


pengurusan pembinaan; jadual ketika-bina; autoCAD; foto digital; kawasan pembinaan