Perbandingan Ralat ‘Multipath’ bagi Data Cerapan GPS Stesen MASS dan Stesen RTK
Abstract
Ralat multipath merupakan salah satu sumber ralat utama dalam pengukuran kod dan fasa pembawa isyarat GPS yang mengurangkan tahap ketepatan bacaan dalam aplikasi GPS. Ralat multipath berlaku apabila isyarat yang merambat dari pemancar ke penerima melalui pelbagai laluan yang berbeza disebabkan oleh pantulan dan penyerakan isyarat. Kertas ini menerangkan kajian penganalisaan kesan ralat multipath yang terdapat di antara stesen MASS (Malaysia Active GPS System) dan stesen rujukan GPS RTK (GPS Real Time Kinematic). Data yang dianalisis adalah dari 15 buah stesen MASS dan 27 buah stesen rujukan GPS RTK, di mana kesemua stesen ini terletak secara strategik merentasi seluruh Malaysia. Kajian ini juga bertujuan untuk mengenalpasti stesen yang dipengaruhi oleh kesan multipath bagi keduadua julat pseudo L1 (1575.42 MHz) dan L2 (1227.60 MHz) isyarat GPS di antara stesen MASS dan stesen rujukan GPS RTK. Dalam kajian ini, perisian TEQC (Translating, Editing and Quality Checking) telah digunakan bagi memperolehi ralat multipath bagi kedua-dua isyarat GPS tersebut. Berdasarkan hasil kajian, ia menunjukkan kesan ralat multipath dipengaruhi oleh julat pseudo dengan lebih besar pada frekuensi pembawa L2 berbanding frekuensi pembawa L1, dan ini konsisten dengan hasil penyelidikan yang telah dijalankan sebelum ini. Kajian juga mendapati bagi L1, kesan ralat multipath paling mempengaruhi data GPS RTK dan paling tidak mempengaruhi data dari stesen MASS. Analisis bagi L2pula menunjukkan data GPS paling mempengaruhi data dari stesen MASS dan paling tidak mempengaruhi data dari stesen rujukan GPS RTK. Bagi kajian pada masa hadapan, lebih banyak data perlu digunakan bagi tujuan analisis dengan menggunakan kaedah yang lebih baik untuk mendapatkan keputusan yang lebih tepat.
Keywords
GPS RTK; MASS; Multipath; TEQ