Kelakuan Mampatan Enapcemar Neutralisation Spent Pickle Liquor (NSPL) dari Kerja-Kerja Keluli

N. N. Nik Daud, H. R. Thomas, S. Seetharam

Abstract


Pelupusan bahan sisa enapcemar perindustrian di tapak kambusan telah menjadi masalah besar terutama bahan sisa enapcemar yang mengandungi kadar air yang tinggi. Sisa enapcemar hasil daripada industri keluli dikenali sebagai Neutralisation Spent Pickle Liquor (NSPL) telah dikategorikan sebagai salah satu sisa enapcemar atau lumpur cair di dalam kejuruteraan geoteknikal dan mempamerkan masalah besar pengendalian disebabkan kandungan air yang tinggi. Sisa enapcemar NSPL dikategorikan sebagai bahan sisa yang berkelembapan tinggi dengan kepekatan bahan pepejal yang rendah. Objektif utama kertas kerja ini ialah untuk membentangkan satu kajian mengenai kelakuan mampat bahan sisa enapcemar NSPL yang dikenakan beban luar. Satu siri ujian mampatan yang berbeza kandungan air awal NSPL dan tekanan beban menggunakan peralatan sel Rowe telah dijalankan. Kelakuan mampatan sisa enapcemar NSPL amat kompleks, terutama pada tahap awal proses pembebanan. Setiap tokokan beban, mampatan segera berlaku tetapi tiada tekanan air liang dikesan. Pemalar kebolehtelapan amat tinggi pada minit pertama, iaitu dalam julat 10-4 – 10-5 m/s, dan berkurangan sehingga 10-10 m/s selepas 17 jam pertama ujian mampatan. Kelakuan mampatan sisa enapcemar adalah berkait terus dengan pemalar kebolehtelapannya.

Keywords


enapcemar; kandungan air tinggi; mampatan; tekanan air liang; pemalar kebolehtelapan