jqma

Journal of Quality Measurement and Analysis

Nombor ISSN: 1823-5670
Kekerapan : 2 keluaran setahun
Pengindeksan: MyAIS, Google Scholar

Keluaran Terkini
Keluaran Lepas

Dari Meja Sidang Penyunting

Assalamu’alaikum wrt. & Salam Sejahtera.

Pertama-tamanya syukur kami ke hadrat Ilahi, dan terima kasih kami kepada semua pihak yang telah memberi sumbangan dan sokongan dalam menjayakan penerbitan ulung Jurnal Pengukuran Kualiti dan Analisis (JQMA daripada Journal of Quality Measurement and Analysis), sebuah jurnal dwi-bahasa. JQMA diharapkan akan memperluaskan wadah yang akan menggabungkan semua penerbitan bersifat sains matematik amnya, dan khususnya yang bersabit dengan segala macam pengukuran kualiti seperti pengukuran kualiti perkhidmatan, pengurusan, pengoptimuman, pengkomputasian, pensimulasian, kecekapan dan seumpamanya yang jelas terangkum di bawah nama besarnya ‘Pengukuran Kualiti’. Aspek sains matematik secara amnya pula diliputi dalam namanya yang kedua itu, iaitu ‘Analisis’, yang meliputi aspek teori sains matematik seperti matematik dan statistik (tulen dan gunaan), sains aktuari, serta analisis dan pembangunan teknik atau kaedah baru. Bagaimanapun, keutamaan akan diberi kepada makalah dalam kajian terkini dan menepati skop utama jurnal ini, serta yang dipercayai akan diminati ramai dan memberikan dampak penting kepada kajian yang berkaitan. Makalah yang diterima akan diwasit dan disunting agar menepati skop dan format jurnal seperti yang diperjelaskan dalam bahagian yang berkenaan dalam jurnal ini.

JQMA juga bersifat jurnal berbayar, iaitu penyumbang makalah akan dikenakan sejumlah bayaran tertentu. Ini adalah selaras dengan langkah ke arah mempergiatkan usaha mendapatkan dana penyelidikan di kalangan penyumbang makalah kerana kos penerbitan adalah dibiayai dalam dana sedemikian. Ia juga mengambil iktibar daripada konsep seminar yang menerbitkan prosiding rata-ratanya mengenakan bayaran. Diharapkan konsep ini akan membantu dalam menjamin kesinambungan dan keberkalaan penerbitan jurnal ini. Kadar yang dikenakan telah dihalusi dan dipercayai bersesuaian dengan kadar semasa kerana satu daripada objektif utama jurnal ini adalah sebagai wadah ke arah menggalakkan penerbitan di kalangan pelajar pasca-siswazah sains matematik khususnya, dan bidang yang berkaitan amnya. Bukanlah hasrat kami untuk mengambil keuntungan daripada penerbitan ini.

Adalah menjadi harapan kami agar usaha murni dan kesepakatan utuh yang telah ditunjukkan oleh sidang penyunting dalam menjayakan jurnal ini akan terus dipertingkatkan dan diberkatiNya, dan semoga JQMA akan dapat terus berkembang mengikut arus keperluan dan kerelevenan sains matematik dalam skop yang lebih luas lagi. Pihak ketua penyunting dan penyunting pengurusan juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan tahniah dan jutaan terima kasih kepada sidang penyunting yang telah banyak memberikan sokongan dan dorongan yang bersepadu dan utuh, yang merupakan motivasi penting kepada kejayaan usaha ini. Tidak lupa juga rakaman berbanyak terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak dan orang perseorangan yang telah memberi sumbangan idea dan tenaga dalam usaha ini khususnya kepada Prof. Dato’ Dr. Abdul Razak Salleh, Prof. Madya Dr. Mohd. Salmi Md. Noorani, mantan Prof. Dr. Shaharir Mohamad Zain, Puan Zarah Harun, Puan Ummul Khair Salma Hj. Din serta semua rakan dan kakitangan Pusat Pengajian Sains Matematik dan Fakulti Sains dan Teknologi yang memahami usaha kami ini.

Akhir kata, semoga JQMA akan dapat terus mempertingkatkan kualiti dan kesinambungan penerbitannya. Selamat membaca dan menulis daripada kami.

Bangi, 2005