^ menu utama

 


Kegagalan pelajar - Punca dan cara mengatasi

[Utusan 25 April 2005]

CALON Ujian pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) gagal mendapat `A' kerana lemah mengurus diri, masa serta kurang menguasai strategi belajar.

``Bukan kerana mereka lemah atau tidak cerdas, tetapi tidak mengurus diri dengan baik,'' kata penasihat Portal Pendidikan Bestari, Dr. Ismail Zain.

Beliau yang juga pakar motivasi yang mengendalikan sendiri program Motivasi Utusan - menambah:

``Setiap pelajar mempunyai potensi berjaya dalam diri masing-masing dan mereka boleh belajar jika diajar.''

Beliau menegaskan demikian ketika mengendalikan Kursus Pengurusan Pembelajaran Strategik (KPPS) dan Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4, Johor, baru-baru ini.

``Inilah tiga komponen kemahiran yang menjadi inti pati KPPS untuk disampaikan kepada pelajar-pelajar.''

Turut serta dalam kursus selama dua hari ini ialah murid-murid SK Masai, Johor.

Sebanyak 160 peserta bengkel itu telah diberi kemahiran belajar, suntikan semangat serta bengkel strategi menggunakan bahan akhbar Pendidikan Bestari Utusan Malaysia dalam proses mengulang kaji.

Pada akhir kursus, satu sesi wacana ilmu bersama ibu bapa telah dijalankan untuk berbincang strategi pemantauan ke arah kecemerlangan anak-anak.

Gigih

Guru Besar SK Pasir Gudang 4, Musa Mastor berkata, kelemahan murid boleh diatasi dengan adanya peranan ibu bapa yang lebih baik serta usaha guru yang gigih di sekolah dengan mengadakan pelbagai program termasuk kelas tambahan dan sebagainya.

Kenyataan ini mendapat sokongan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Mohd. Nor Abdullah.

Guru penyelaras program KPPS, Zalina Salleh berkata, KPPS telah banyak memberi input yang berguna kepada pelajar dalam proses mewujudkan suasana belajar yang berkesan.

Oleh itu, murid sendiri harus mengamalkan apa yang telah dipelajari untuk menentukan kejayaan.

Murid terbaik sepanjang kursus, Muhammad Fahmi Mohd Fauzi berpendapat, KPPS banyak memberi petua ke arah kejayaan.

``Saya akan cuba mengamalkan apa yang saya belajar sehingga berjaya,'' ujarnya.

Pelajar Azmira Sazali berkata:''kursus ini amat menarik, saya harap ia menjadi dorongan kepada saya untuk mencapai kejayaan.''

Program Motivasi Utusan akan memulakan program khas untuk calon UPSR mulai Julai ini dalam usaha membantu pelajar mencapai kecemerlangan terutamanya murid-murid luar bandar.

Dua program tersebut iaitu Strategi Ambang Peperiksaan (SAP) yang dikendalikan oleh Dr. Ismail menumpukan ke arah memberi petua, persiapan dan suntikan semangat pada saat-saat akhir menanti hari peperiksaan.

Kedua ialah Seminar Strategi Menjawab Soalan 2005 (SSMS 2005) yang merupakan penerangan, bimbingan dan teknik menjawab soalan peperiksaan secara tepat sepertimana yang diperlukan dalam jawapan yang sebenar.

Murid akan dibimbing oleh guru pakar yang dilantik khas, dan berpengalaman dalam penggubalan dan pemeriksaan.

Program dua hari ini boleh diikuti secara berasingan atau serentak.

Pihak sekolah atau badan luar yang ingin mengadakan kursus ini di tempat masing-masing, boleh menghubungi Dr. Ismail melalui talian 019-5713745 untuk mendapat maklumat lanjut serta tempahan tarikh kursus.


^ menu utama