^ menu utama

 


Sopan di pejabat samseng di jalan

 

Oleh Ahmad Nazri Mohamad

ahmadnazri@hmetro.com.my

 

PERLUKAH kita membunuh semata-mata kerana kereta tercalar akibat bergesel di jalan raya? Besar sangatkah dosa orang yang melanggar kemek kereta kita hingga perlu menghentak kepala pemandu itu dengan pengunci stereng?

 

Malang sungguh nasib allahyarham Muhammad Nazri Ismail. Lantaran kemalangan kecil di jalan raya, beliau dipukul hingga pecah kepala dan koma 17 jam sebelum meninggal dunia pada Rabu lalu.

 

Beliau meninggalkan isteri tercinta, Normah Mohd Yusuf, 28 serta dua cahaya mata, Nur Eryna Jasmin, 3, dan Nur Edryana Farisha, 10 bulan, yang masih terlalu kecil untuk mengerti tragedi menimpa keluarga mereka.

 

Anak itu pasti merindukan bapa yang memangku dan mendukung, memeluk dan mencium mereka pada setiap pagi dan malam, sebelum peristiwa hitam 25 Januari itu.

 

Samseng jalan raya yang menghentak kepala Muhammad Nazri tentunya tidak dapat hidup dengan tenteram. Mungkin mereka tidak berniat membunuh, namun dosa yang dilakukan kini menghantui samseng jalan raya yang terlalu mengikut perasaan itu.

 

Sedarkah mereka bahawa tali gantung sedang menanti seperti termaktub dalam Seksyen 302 Kanun Keseksaan bahawa pembunuh akan menerima hukuman mandatori, gantung sampai mati!

 

Mengimbas semula kes seumpama ini, isu samseng jalan raya bukannya polemik baru kalangan rakyat Malaysia. Istilah `road bully', pembuli jalan raya atau samseng jalan raya dipopularkan media sejak 1995.

 

Isu samseng jalan raya pernah hebat diperdebatkan di kalangan media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kementerian Pengangkutan, polis trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hingga dibawa ke Parlimen.

 

Pada Disember 1995, Timbalan Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, memberitahu sidang Dewan Rakyat bahawa kementerian dalam proses pendakwaan terhadap 177 pembuli jalan raya.

 

Beliau berkata, perbuatan menyebabkan kecederaan terhadap pengguna jalan raya itu banyak berlaku di bandar besar terutama di Selangor dan Kuala Lumpur.

 

Pada 12 Oktober 1995, Harian Metro dalam laporan khas `Jejak Metro-Pembuli Jalan' melaporkan sebanyak 171 kes pembuli jalan raya dilaporkan kepada polis di Kuala Lumpur, Johor, Selangor dan Pulau Pinang dalam tempoh 1994 hingga Jun 1995.

 

Pada Jun 1996, polis Kuala Lumpur pernah menghantar kertas cadangan membatalkan atau menarik balik lesen pemandu yang bersalah dalam gejala samseng jalan raya kepada Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Rahim Noor.

 

Antara kes menarik perhatian umum membabitkan pembuli jalan raya ialah rakyat Singapura, Mohd Rafi Mohd Ibrahim, 31, hilang mata kanan akibat dipukul manakala isterinya, Khatijah Idoo, yang hamil empat minggu, ditolak dengan kasar.

 

Dalam kejadian 24 Januari 1995 di Plaza Tol Jalan Kuching, Kuala Lumpur itu, pasangan terbabit dicederakan seorang pemandu bas ekspres serta pembantunya kerana berang apabila Mohd Rafi memberi isyarat supaya memandu lebih berhati-hati.

 

Di Sungai Petani, Kedah, seorang lelaki dipercayai pembuli jalan raya, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh tanpa niat dengan menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, dalam kemalangan di Kilometer 67.5 Jalan Alor Star-Butterworth pada 17 Mac 1997.

 

Pada 26 September 2003, seorang pelajar Universiti Teknologi Mara nyaris maut akibat ditikam di leher oleh seorang pembuli jalan raya di Seksyen 14, Shah Alam, Selangor.

 

Tanggal 22 November 2004, anak tauke kedai ubat, Teo Kai Siang, 22, mati ditikam samseng jalan raya selepas bertengkar mengenai satu perlanggaran di Kilometer 20 Jalan Pontian-Johor Bahru, Skudai, Johor.

 

Adakah pengguna jalan raya tidak takut pada undang-undang?

 

Mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, memandu secara melulu dan berbahaya hingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain boleh dihukum penjara lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau kedua-duanya.

 

Seksyen 41 (1) APJ iaitu memandu hingga menyebabkan kemalangan menyebabkan kematian orang lain, boleh dihukum penjara mandatori antara dua tahun hingga 10 tahun dan denda hingga RM20,000 dan digantung lesen memandu setahun.

 

Kanun Keseksaan pula mempunyai pelbagai peruntukan untuk menghukum samseng jalan raya termasuk Seksyen 323 (segaja mencederakan) Seksyen 324 (sengaja mencederakan dengan senjata) atau Seksyen 326 (mengakibatkan cedera parah dengan senjata).

 

Malah, tindakan sengaja menyebabkan kecederaan di atas provokasi juga turut terkandung dalam kanun ini melalui Seksyen 334 atau Seksyen 335 (kecederaan parah). Semua kesalahan mengikut ini boleh membawa hukuman penjara, didenda dan disebat.

 

Bagi kejadian lebih serius membabitkan kematian, selain Seksyen 302, Seksyen 304 membunuh tanpa niat atau Seksyen 307 cubaan membunuh boleh dihukum penjara hingga 20 tahun.

 

Mengapa pengguna jalan raya boleh bertindak sedemikian rupa?

 

Pada April 1996, Pakar Perunding Psikiatri, Dr Im Lai Hung, pernah menyifatkan pembuli jalan raya sebagai pemandu bermuka dua iaitu seorang yang bersopan santun di pejabat atau rumah tetapi bertukar menjadi `raksasa' apabila memegang stereng kenderaan.

 

Menurut Pengerusi Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Aminuddin Mohd Yusof, tekanan akibat kesesakan jalan raya di bandar besar menjadi faktor penting yang melahirkan pembuli.

 

Katanya, kesesakan jalan raya menyebabkan pemandu menjadi tidak sabar, cepat marah, agresif dan tidak dapat mengawal perasaan apabila berlaku perkara tidak diingini walaupun berpunca dari kemalangan kecil.

 

Sebenarnya, banyak petua untuk mengelakkan pemandu berubah personaliti dan menjelma kepada pembuli atau samseng jalan raya.

 

Antara tip pakar psikologi yang boleh dijadikan panduan ialah pemandu perlu lebih bersabar, tidak cepat marah, tidak gopoh atau terdesak. Jika marah atau penat, berehat seketika.

 

Perjalanan perlu dirancang supaya dapat menghidari kesesakan jalan raya, dan jika sudah terperangkap dalam kesesakan, pasangkan radio atau mainkan kaset atau cakera padat supaya dapat meringankan ketegangan. Malah, pemandu digalakkan memandu sambil menyanyi supaya tidak bosan.

 

Membunyikan hon dan menghimpit kenderaan lain adalah perbuatan yang perlu dihindari kerana ia boleh mengundang kemarahan pemandu lain selain tidak lupa memastikan kenderaan dalam keadaan baik supaya perjalanan lancar.

 

Pokok pangkal kepada persoalan pembuli jalan raya adalah sikap pemandu kita. Sepuluh tahun lalu, kita pernah membicarakan masalah sama. Pelbagai cadangan dan idea yang dikemukakan seolah-olah lesap ditelan masa. Begitu mudah kita lupa.

 

Seharusnya, tragedi ini kembali membuka mata dan minda kita, supaya insan yang bernama Muhammad Nazri tidak terkorban sia-sia. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

 

 

 


^ menu utama