LAWATAN INDUSTRI DAN PENDEDAHAN KEUSAHAWANAN SISWA SESI 2019/2020

Lawatan Industri Dan Pendedahan Keusahawanan Siswa 2019 merupakan sebuah program tahunan yang dilaksanakan oleh Kelab Usahawan Dato’ Onn (KUSDO). Program lawatan ini berlangsung pada 14 Disember 2019 di Kilang Domino’s Pizza, Kilang Chocolate Beryl’s dan Kilang Beryl’s Cookies serta telah disertai oleh 40 orang pelajar. Bertemakan “Selangkah ke Arah Dunia Keusahawanan “, program ini telah berjalan dengan jayanya. Tujuan lawatan ini dilakukan adalah untuk memberikan pendedahan kepada siswa Kolej Dato’ Onn kepada dunia keusahawanan. Melalui pelaksanaan program ini, mahasiwa dan mahasiswi yang ingin bergelar usahawan suatu hari nanti dapat mempelajari kaedah dan pelan pemasaran pintar melalui lawatan berorientasikan kepada bidang pengindustrian makanan.

Antara objektif utama pelaksanaan program ini ialah pertama, memberikan peluang kepada siswa untuk mempelajari pelan pemasaran yang berkualiti serta berkesan untuk memajukan sesuatu perniagaan. Kedua, melahirkan insan yang bermutu, berwawasan dan celik keusahawanan serta bersifat kreatif dan inovatif. Ketiga, mendedahkan dunia keusahawanan kepada mahasiswa dan mahasiswi seterusnya memupuk minat mereka untuk terlibat di dalam bidang keusahawanan.

Secara keseluruhannya, program ini mendapat sambutan yang baik daripada kalangan pelajar kerana mereka dapat mempelajari ilmu berasaskan kepada bidang keusahawanan dan perniagaan. Program ini juga akan diteruskan oleh KUSDO bagi memberikan pendedahan keusahawanan dengan menggunakan pendekatan yang berbeza.

Disediakan oleh : Hafizal Aiman