INSTITUT KAJIAN ETNIK β€’ 𝘐𝘯𝘴𝘡π˜ͺ𝘡𝘢𝘡𝘦 𝘰𝘧 𝘌𝘡𝘩𝘯π˜ͺ𝘀 𝘚𝘡𝘢π˜₯π˜ͺ𝘦𝘴

 

Latar Belakang

Institut Kajian Etnik (KITA) telah ditubuhkan secara rasmi oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 8 Oktober 2007, bersamaan tarikh pelantikan Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin sebagai Pengarah Pengasasnya.

KITA merupakan satu-satunya institut penyelidikan di Malaysia yang sepenuhnya memfokuskan kajian terhadap etnik dan etnisiti. Walaupun orientasi akademiknya bersifat kajian tematik, namun KITA didukung kuat oleh orientasi kajian disiplin dan kajian wilayah, justeru itu KITA menggalakkan kajian silang-disiplin yang melibatkan tiga sektor utama masyarakat iaitu, sektor awam, sektor swasta dan sektor komuniti. Ini bermakna, KITA melaksanakan kegiatannya dengan menggunakan pendekatan inclusivist.

Umum mengetahui bahawa, secara global, kajian etnik kebanyakannya muncul daripada keadaan atau situasi sosial yang traumatik, malah bergelora dengan keganasan. Namun di Malaysia, persoalan yang sering ditanyakan ialah β€œbagaimana ia mampu mengekalkan hubungan antara etnik yang secara relatifnya lebih stabil dan harmoni?”. Usaha pencarian jawapan-jawapan ilmiah kepada soalan-soalan sebegini menjadi motivasi kepada penubuhan KITA.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, apa yang lebih penting ialah berlakunya peningkatan globalisasi dan pergerakan tenaga buruh transnasional dalam skala besar yang menyumbang kepada peningkatan kemajmukan etnik dalam masyarakat di seluruh dunia, seterusnya mengakibatkan timbulnya cabaran konseptual-teoretikal dalam memahami fenomena sosial baharu di peringkat analisis akademik mahupun advokasi sosial dan polisi.

Dalam ucapan Belanjawan 2018 oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada hari Jumaat, 27 Oktober 2017, Institut Kajian Etnik (KITA-UKM) telah diumumkan penaiktarafannya kepada sebuah institut kebangsaan di bawah Pe-Tunjang Kelapan: Mengimbangi Par Excellence Duniawi dan Par Excellence Ukhrawi.