Pustaka Komuniti Kg Kachau Luar, 27 Januari 2019

PUSTAKA KOMUNITI KG KACHAU LUAR, SEMENYIH
Projek Literasi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris

Satu projek usahasama
Persatuan Disleksia Sarawak (DASwk, Kuching),
Institut Kajian Etnik, UKM (KITA-UKM) &
Multimedia University Melaka (MMU Melaka)

Projek mengadakan β€˜Pustaka Komuniti Kampung Orang Asli Kampung Kachau Luar, Semenyih’ adalah satu aktiviti lanjutan daripada program pemerkasaan kanak-kanak dan remaja orang asli Temuan melalui literasi untuk keterangkuman dan mobiliti sosial, yang bermula pada tahun 2016. Projek ini adalah projek usahasama Persatuan Disleksia Sarawak (DASwk, Kuching), Institut Kajian Etnik (KITA), UKM Bangi dan Multimedia University Melaka.

Program Literasi Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu (BM) dijalankan di Kg Kachau Luar, Semenyih pada tahun 2016, sementara program literasi BM dilaksanakan di Kg Gabai, Dusun Tua pada tahun 2017. Pembiaya adalah US Department of State Federal Assistance Award (melalui US Embassy Kuala Lumpur). Program literasi ini menggunakan modul pengajaran & pembelajaran yang dikembangkan oleh Persatuan Disleksia Sarawak (DASwk). Modul Bahasa Inggeris dinamakan SMARTER*phonics and modul BM bernama foniks*PINTAR. Pendekatan asas adalah penggunaan bunyi-huruf (dan bukan nama-huruf) untuk membaca.

Pada tahun 2017, DASwk menerima geran daripada The EDGE Education Foundation di bawah peruntukan The EDGE Kuala Lumpur Rat Race 2017 untuk program β€œEmpowering Children of Two Marginalized Communities through Literacy for Social Inclusion and Mobility” (Program Pemerkasaan Dua Komuniti Terpinggir Melalui Literasi untuk Keterangkuman dan Mobiliti Sosial).

Program pemerkasaan ini merangkumi dua siri kem literasi Bahasa Melayu (BM) untuk kanak-kanak & remaja Temuan di Selangor dan Penan di Tegulang dan Metalun, Murum, Sarawak. Untuk kanak-kanak & remaja Temuan, Selangor, kem literasi BM siri pertama (Kem 1.0) telah diadakan pada 16-22 Mac 2018 di PLKN Kem Millennium, Beranang, Selangor. Kem literasi BM siri kedua (Kem 2.0) berlangsung dari 18-24 Ogos 2018 di Kolej Dato Onn, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor (kod projek UKM: RE-2018-002). Untuk kanak-kanak & remaja Penan di Tegulang dan Metalun, kem literasi BM siri pertama (Kem 1.0) diadakan pada 13-19 Mei 2018 sementeara kem literasi BM siri kedua (Kem 2.0) berlangsung pada 2-7 Julai 2018. Tempat kedua-dua kem tersebut adalah Kuarters Sarawak Energy Berhad (SEB), Murum.

Salah satu rancangan masa hadapan untuk kanak-kanak dan remaja Orang Asli Temuan adalah program β€˜library on wheels’ atau perpustakaan bergerak di Kg Kachau Luar, Semenyih. Ideanya adalah untuk memulakan β€˜community library’ di kampung, di mana kanak-kanak, remaja dan juga orang dewasa mempunyai kesampaian kepada perpustakaan kecil/bilik sumber di kampung sendiri, justeru peluang meminjam buku cerita dan membacanya di rumah masing-masing.

Berkat keizinan Tok Batin Zainal bin Kilong, pada 27 Januari 2019, β€˜PUSTAKA Komuniti Kg Kachau Luar’ mula bertapak di Kg Kachau Luar, dengan tiga kota plastik besar yang mengandungi buku-buku cerita Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Sementara waktu ini, buku-buku ini diletakkan di halaman rumah Puan Sarinah bt Ambi. Rakaman penghargaan kepada semua penderma buku dan penyokong projek ini. Terima kasih.

Laporan disediakan oleh:

Prof. Dr. Ong Puay Liu
KITA

Lagi gambar di Facebook KITA (klik di sini)