Siri Wacana Warisan Nasional: Warisan Siam Kelantan Sempena Memperingati Siri Neng Buah, 8 Mac 2018

Tanggal Khamis 8 Mac 2018 KITA telah bekerjasama dengan Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya dan Kluster Perpaduan Nasional, Majlis Profesor Negara (MPN) menganjurkan Siri Warisan Nasional: Warisan Siam Kelantan Sempena Memperingati Siri Neng Buah. Wacana ini adalah bertujuan untuk menyerlahkan bagaimana pembinaan negara bangsa di Malaysia berlaku dengan memperakui dan menyubur kesedaran dan jati diri etnik sesuatu kumpulan berpandukan kepada pelantar integrasi yang berpasakkan ketamadunan payung anak watan dalam masyarakat kepelbagaian. Tumpuan wacana kali ini ialah kepada warisan komuniti Siam di Kelantan yang jarang diserlahkan walaupun mempunyai sejarah, amalan sosiobudaya dan hubungan simbiosis yang rapat dengan masyarakat setempat. Wacana ini menjadi lebih istimewa kerana diadakan untuk meraikan mendiang Siri Neng Buah bersempena ulang tahun pertama pemergiannya pada bulan April 2017. Mendiang Siri Neng Buah yang pernah menerima anugerah Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup pada tahun 2013, merupakan contoh terbaik yang merentas batas etnik dan warisan Siamnya untuk menyulam sama dalam kerjaya dan kehidupannya dengan warisan nasional yang mentakrif jati diri dan semangat negara bangsa Malaysia, pada dirinya.

Siri Wacana Warisan Nasional: Wacana Siam Kelantan Sempena Memperingati Siri Neng Buah terdiri daripada dua segmen. Dalam segmen pertama, Pro Naib Canselor (Penjanaan dan Prasarana) UKM YBhg. Prof. Dato’ Dr. Nor Ghani bin Md. Nor selaku wakil Naib Canselor UKM YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali telah memberi ucapan alu-aluan dengan diikuti dengan ucapan perasmian oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Profesor Negara (MPN) YBhg. Prof. Datuk Dr. Raduan Che Ros. Pengarah Pengasas KITA, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin telah menyampaikan ucaptama yang bertajuk β€œMembina Tapak Integrasi di Malaysia: Sumbangan Siam Kelantan”.

Sesi Wacana Warisan Siam Kelantan Sempena Memperingati Siri Neng Buah telah berlangsung dalam segmen kedua. Sesi wacana ini melibatkan perkongsian berkenaan topik-topik khusus oleh empat orang ahli panel yang dijemput khas. Tuan Hj. Che Adnan bin Hj. Che Kadir, penyelidik dari Persatuan Warisan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (WASPADA) telah membincangkan tentang sejarah dan masyarakat Siam di Kelantan. Ini diikuti dengan kupasan Dr. Lim Swee Tin, Sasterawan Tanahair berkenaan seni warisan Siam Kelantan khususnya menora. En. Pim a/l Chau Dam selaku Pengerusi Persatuan Masyarakat Siam Kelantan telah memberikan gambaran umum tentang warisan masyarakat Siam daripada segi ekonomi. En. E Pian a/l Pro Paul, Pegawai Perancang Bahasa dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang merupakan teman karib mendiang Siri Neng Buah, telah berkongsi riwayat dan sumbangan mendiang sepanjang hidup dan karier dalam sektor awam, khususnya dalam usaha mendiang untuk mengangkat seni warisan Siam sebagai sebahagian daripada warisan negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Sesi wacana ini telah dikendalikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Teo Kok Seong, Ketua Kluster Sejarah, Warisan & Sosio Budaya MPN dan Felo Utama KITA selaku Moderator.

Selain ucaptama dan wacana, para peserta turut disajikan dengan tayangan dua video pendek berkenaan warisan Siam Kelantan dan mendiang Siri Neng Buah. Satu pameran berkenaan warisan Siam Kelantan turut disediakan sempena wacana ini dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia.

Siri Wacana Warisan Nasional: Warisan Siam Kelantan Sempena Memperingati Siri Neng Buah yang telah berlangsung di Bilik Majlis, Bangunan Canselori UKM, telah dihadiri peserta-peserta daripada pelbagai latar belakang dan organisasi, pensyarah-pensyarah dan mahasiswa-mahasiswa IPT awam dan swasta, penggiat dan pencinta seni dan warisan, serta kenalan-kenalan mendiang Siri Neng Buah. Wacana ini lebih bermakna dengan kehadiran YB Senator Tuan Aknan Eh Took, Ahli Dewan Negara yang mewakili masyarakat Siam di Parlimen, dan juga isteri dan anak mendiang Siri Neng Buah, Puan Chiam Eh Preng dan Cik Netra Nitiarin Suksai.

Laporan oleh:

Dr. Pue Giok Hun
Felo Penyelidik KITA & Pengerusi Sekretariat Warisan Siam Kelantan Sempena Memperingati Siri Neng Buah
12 Mac 2018