SEJARAH

Keris Mas

 

Keris Mas

KAMALUDIN MUHAMMAD, terkenal dengan nama penanya, Keris Mas. Beliau merupkan tokoh kesusasteraan pertama yang dianugerahi gelaran Sasterawan Negara pada 26 April 1981. Beliau merupakan pemimpin Asas 50 yang berpegang pada konsep “Seni untuk Masyarakat”. Beliau juga merupakan orang yang mengembangkan genre cerpen dalam kesusasteraan melayu moden pada awal tahun 1920. Cerpen pertama beliau, “Wasiat Orang Bangsawan”, disiarkan dalam Suluh Malaya pada 1 Jun 1946. Sehingga pada akhir tahun 1960, beliau telah menghasilkan sebanyak 60 buah cerpen yang telah dimuatkan dalam beberapa buah antologi seperti Mekar dan Segar (1959), Dua Zaman (1963), Pertentangan (1968) dan sebagainya.

Keris Mas merupakan anak kelahiran Kampung Ketari, Bentong, Pahang. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Benus, Pahang sebelum meneruskan pelajaran menengah di Tawaliah School, Sumatera dan diploma perguruan di Kolej Kulliahtul Muallmin al-Islamiah, Sumatera. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran di Pitman College, Singapura untuk membolehkan beliau mengambilkan peperiksaan Matrikulasi Universiti London, tetapi pelajaran beliau tergendala kerana Perang Dunia Kedua.

Keris Mas memulakan kerjayanya sebagai guru Madrasah Khairiah di Temerloh, Pahang (1946 – 1947). Pada masa yang sama, beliau bertugas sebagai Pengawai Penerangan, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Pada tahun 1947 hingga 1953, beliau menjadi Anggota Sidang Pengarang Utusan Melayu, Singapura. Beliau bertanggungjawab memajukan Majalah Mastika dan Akhbar Utusan Melayu ketika di Utusan Melayu. Beliau kemudian berpindah ke Warta Negara Pulau Pinang (1953 – 1954) dan kembali semula bertugas di Utusan Melayu Singapura pada akhir tahun 1955.

Pada tahun 1956, beliau menerimapelawaan Ungku Aziz, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk berkhidmat dengan DBP yang pada ketika itu beribu pejabat di Johor Bahru. Pada 1 Disember sehingga 31 Oktober 1962, beliau dilantik sebagai Pengarah Umum, kemudian dilantik menjadi Ketua Pengarang dan dinaikkan sebagai Ketua Bahagian Pengarang bermula dari Julai 1966 hingga 30 Jun 1971.

Selain Anugerah Sasterawan Negara, beliau juga menerima beberapa anugerah lain seperti Anugerah Pejuang Sastera (1976), Anugerah Asean (1987) dan Ijazah Kehormatan Doktor Persuratan (D.Lit) Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang (1989).

 

Beliau bersara wajib pada 10 Jun 1977. Selepas bersara, beliau menjadi Penulis Tamu di Universiti Malaya dan DBP. Keris Mas yang telah dilahirkan pada 10 Jun 1922 akhirnya meninggal dunia pada 9 Mac 1992.